Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sumbang ke Wakaf Masyarakat S’pura demi kemaslahatan bersama

Pandangan
Aug 11, 2024 | 5:30 AM
Wakaf Masjid Omar Kampung Melaka yang terletak berdekatan Sungai Singapura disumbangkan oleh Syed Omar Ali Aljunied, seorang peniaga kaya dari Indonesia yang berasal dari Hadhramaut, wilayah di Yaman.
Wakaf Masjid Omar Kampung Melaka yang terletak berdekatan Sungai Singapura disumbangkan oleh Syed Omar Ali Aljunied, seorang peniaga kaya dari Indonesia yang berasal dari Hadhramaut, wilayah di Yaman. - Foto MUIS

Setelah beberapa tahun diperkenalkan dan diuar-uarkan, masyarakat Islam setempat kini sudah boleh menyumbang kepada Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) yang dilancarkan secara rasmi pada 3 Ogos.

Dengan pelancaran itu, penderma boleh membuat sumbangan menerusi laman wakaf.sg yang mana mereka diberi pilihan membuat sumbangan sekali sahaja, bulanan atau pun tahunan.

Mereka yang mahu menyumbang bagi masa depan boleh juga berbuat demikian dengan menamakan WMS atau Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebagai calon dalam penamaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) atau bayaran insurans masing-masing.

Kali pertama diperkenalkan pada 2020, WMS dibentuk dengan matlamat memenuhi keperluan jangka panjang masjid, madrasah, pembangunan asatizah selain daya usaha bagi meningkatkan masyarakat Muslim di Singapura.

Secara lebih terperinci, tujuan WMS adalah pelbagai, termasuk membiayai tempoh memperbaharui pajakan masjid/madrasah pada masa hadapan yang dijangka menelan jutaan dolar.

Kedua, ia juga akan digunakan dari segi pembangunan asatizah, yakni menampung gaji asatizah supaya mereka boleh mendapat taraf kehidupan yang sama dengan anggota masyarakat lain.

Ketiga, dari segi pembiayaan program masyarakat dengan disediakan rizab mencukupi yang dapat digunakan dalam tempoh krisis yang membolehkan masyarakat Islam menangani krisis itu.

Berucap di acara pelancaran WMS di Masjid Muhajirin, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata berdasarkan pungutan zakat, aset cair masyarakat Melayu/Islam setempat dianggarkan sekurang-kurangnya $2 bilion. Justeru, jika mengambil kira aset hartanah, nilainya pasti lebih tinggi.

WMS, katanya, juga merupakan satu lagi huraian inovatif bagi menyediakan dana sokongan yang lebih mampan.

Misalnya, sekurang-kurangnya $300 juta diperlukan untuk memperbaharui pajakan tanah bagi masjid yang bakal luput secara berturut-turut dalam masa 30 hingga 50 tahun mendatang.

Pokoknya, jumlah wang yang diperlukan itu adalah agak besar dan belum termasuk penampungan gaji asatizah dan juga rizab khas bagi pembiayaan program masyarakat.

Semasa menjadi wartawan berita dahulu, saya sering didedahkan kepada keadaan wakaf di negara ini sama ada dari segi pewakaf dan pembangunan tanah wakaf di sini. Dari segi sejarah wakaf di Singapura, kebanyakan pewakaf perintis merupakan peniaga Arab, India dan pemilik tanah rantau Nusantara di sini.

Antara wakaf terawal ialah Wakaf Masjid Omar Kampong Melaka yang didermakan Syed Omar Ali Aljunied pada 1820. Beliau juga mengasaskan Wakaf Bencoolen yang merangkumi masjid Bencoolen dan beberapa hartanah di sepanjang Bencoolen Street.

Wakaf lain termasuk Masjid Jamae (1826) dan Masjid Kassim yang diwakafkan peniaga India.

View post on Instagram
 

Umumnya, kebanyakan tanah wakaf awal diasaskan peniaga kaya di Singapura.

Namun kini dengan harga hartanah di Singapura yang tinggi – menelan belasan hingga puluhan juta dolar – telah menyebabkan amalan wakaf oleh individu jarang sekali berlaku atau hampir tiada.

Justeru, amalan mulia ini dilihat semakin ‘pupus’. Namun pada masa sama keperluan menyediakan wang untuk memperbaharui tanah pajakan masjid/madrasah pula dijangka semakin meningkat pada masa akan datang.

Jika cabaran itu tidak ditangani segera, kemungkinan masyarakat Islam akan mengalami masalah kekurangan dana yang amat besar.

Berkaitan dengan isu ini, satu amalan baik yang dilakukan masyarakat Islam sebelum ini sehingga sekarang adalah sumbangan bulanan ke Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF).

Hasilnya, masyarakat kita berjaya membiayai kos pembinaan 26 masjid di estet perumahan setakat ini.

Bayangkan, ramai anggota masyarakat Islam di sini sebenarnya mempunyai pelaburan saham akhirat dalam setiap masjid baru itu.

Perkara ini juga menjadi kebanggaan saya setiap kali ada teman dari Malaysia dan Indonesia bertanyakan tentang perihal pembinaan masjid di sini.

Saya gembira memberitahu mereka bahawa hampir setiap anggota masyarakat Islam di sini ada taruhan dan pelaburan di setiap masjid baru yang dibina, hasil sumbangan bulanan MBMF.

Selalunya tetamu negara luar akan berasa kagum.

Berbalik kepada WMS, sehingga kini, $3.8 juta telah diikrarkan kepada wakaf itu oleh beberapa pertubuhan termasuk Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan Persekutuan India Muslim (FIM) di samping individu.

Justeru, saya ingin mengajak kita sama-sama menyumbang kepada WMS.

Lihatlah ia sebagai sumbangan kepada pelaburan akhirat seperti pesan Nabi Muhammad saw, satu daripada tiga amalan berterusan setelah kita meninggal dunia adalah sedekah jariah (derma) semasa kita hidup.

Seperti generasi lalu telah memberi sumbangan tanah wakaf untuk kegunaan generasi seterusnya, kini peluang kita pula meneruskan amalan wakaf mulia ini dengan menyumbang kepada WMS – demi kemaslahatan masjid, madrasah, asatizah dan masyarakat Islam di sini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg