Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

MERAIKAN HARI WANITA ANTARABANGSA

Kaum Hawa jaya ukir kemajuan namun masih perlu tepis stereotaip

Mar 08, 2022 | 05:30 AM



Dalam siri khas sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa (IWD) yang bermula hari ini, BERITA HARIAN menampilkan beberapa isu yang sedang dihadapi wanita dalam pelbagai peranan di Singapura dan bagaimana, dengan cara tersendiri, beberapa individu sedang berusaha untuk menyahut cabaran ini.




GOLONGAN wanita Melayu/Islam telah mencatatkan kemajuan besar sepanjang tahun-tahun ini lebih-lebih lagi dari aspek pendidikan.



Malah, wanita Melayu/Islam dapat dilihat mewakili pelbagai bidang pekerjaan termasuk akademia, teknologi, dan guaman.



Namun, kedudukan wanita boleh diperbaiki lagi dan ia memerlukan usaha seluruh masyarakat untuk menepis stereotaip yang sering dikaitkan dengan kaum Hawa, menurut pemimpin masyarakat yang dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini.



Memberi contoh pencapaian wanita dari segi pendidikan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, berkata terdapat lebih ramai wanita Melayu yang tamat pengajian universiti berbanding dengan lelaki Melayu.



Pendidikan, katanya, terus menjadi salah satu "pemboleh utama" individu untuk berjaya dan wanita dilihat berkembang maju dalam alam pekerjaan sebagai karyawan dalam pelbagai bidang.



"Wanita tidak lagi terikat dengan stereotaip duduk di rumah untuk komitmen menjaga keluarga. Sedang kita akui peranan penting yang dimainkan wanita dalam membina keluarga yang kukuh sebagai isteri dan ibu, tumpuan Singapura ke atas pendidikan dan meritokrasi telah memperkasa lebih ramai wanita untuk juga melakarkan perkembangan profesional dan kemajuan kerjaya mereka," kata Cik Zuraidah.



Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, berkata bahawa walaupun Covid-19 telah mendatangkan cabaran kepada wanita dalam masyarakat, ramai yang tampil ke depan dalam tempoh krisis.



Beliau bangga dengan daya tahan serta ketabahan golongan wanita.



Sementara itu, dalam pandemik ini, sebahagian besar pegawai panjagaan kesihatan di barisan hadapan merupakan wanita, sekaligus mencerminkan peranan penting yang dipikul mereka.



Berkongsi pencapaian lain, Cik Hazlina berkata wanita Muslim juga boleh dilihat cemerlang dalam arena antarabangsa, memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita agar bercita-cita lebih tinggi.



Beliau memberi contoh Presiden Halimah Yacob yang disertakan dalam senarai 500 Muslim yang paling berpengaruh di dunia, serta Cik Shirin Abdul Hamid, yang dilantik sebagai ketua pegawai maklumat (CIO) dan pengarah jabatan teknologi maklumat (ITD) di Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).



Beliau berharap dapat melihat lebih ramai wanita "memecahkan siling kaca" ini dan mencapai lebih pada masa akan datang.



Bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk memperbaiki kedudukan wanita dalam masyarakat.



Di samping peranan pemerintah dalam memperkenalkan dasar yang mempengaruhi kedudukan wanita contohnya pengaturan kerja fleksibel, Setiausaha Parlimen (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata usaha menepis stereotaip yang terkait dengan wanita memerlukan usaha seluruh masyarakat.



Beliau berkata pendidikan ibu bapa di rumah juga menyumbang kepada pembentukan naratif wanita dalam masyarakat.



Contohnya, anak lelaki dan perempuan patut dilayan secara saksama, dan anak lelaki harus diajar bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab bersama untuk melaksanakan tugas di rumah.



Cik Hazlina, yang berkongsi pendapat serupa berkata:



"Lagi cepat kita bergerak ke arah membiasakan kerjasama berdasarkan tanggungjawab bersama, lebih-lebih lagi yang domestik, lagi cepat generasi ini bergerak selangkah lebih dekat kepada menghapuskan stereotaip peranan jantina."



Cik Zuraidah menambah bahawa masyarakat memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang, dorongan dan sokongan saksama kepada perempuan dari kecil hingga meningkat dewasa.



Meluahkan harapannya, Cik Rahayu berkata selain melihat lebih ramai wanita langkah ke sektor yang semakin berkembang seperti teknologi, beliau mahu lihat lebih banyak sokongan untuk wanita yang ingin kembali ke tenaga kerja.



"Saya tentunya mahu melihat hubungan yang sihat antara lelaki dengan wanita, hubungan yang saling menghormati," tambahnya.



Cik Hazlina berkata sedang pandemik Covid-19 telah menyebabkan majikan untuk lebih selesa dengan pengaturan kerja fleksibel, cabarannya juga meningkat.



"Bagaimanapun, keadaan di tempat kerja perlu kondusif, malah diubah suai untuk penyepaduan kerja-kehidupan yang lebih baik sebagai sebahagian usaha untuk menggalakkan lebih ramai wanita untuk terus bekerja dan mempertimbang kembali ke tenaga kerja," katanya.



Menurut Ustaz Tamliikhaa Khamsani, pengasas Islamic Value Meal dan pensyarah bebas, stereotaip masyarakat yang dikaitkan dengan golongan wanita memang sukar untuk diubah dalam sekelip mata namun mengikut ajaran Islam, kedudukan wanita setara dengan lelaki dan bukan di bawah. Malah, martabat wanita tinggi nilainya.



Penting, kata Ustaz Tamliikhaa, untuk meraikan wanita kerana lahirnya seorang anak ke muka bumi ini juga dari rahim wanita.



"Sejak sebelum lahir, kita memerlukan doa dan harapan seorang ibu. Jadi secara logik akal kita perlu raikan kehadiran wanita dalam hidup kita sejak dari kecil lagi."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >