Bumi berbahang dengan kepanasan kian mengesahkan
penanda merkuri naik menjulang
sinar terik mentari menyusup di antara jalan-jalan sesak
menambah hangat tubuh pejalan-pejalan kaki berkeliaran
sedang bangku-bangku yang tersedia
terlalu hangat buat istirahat tanpa teduhan
Bahang peperangan dibiarkan meluap
kerana senjata pembakar dan pemusnah kian memerahi dunia
kebimbangan terus melanda jiwa insan teraniaya
beberapa daerah masih diselubungi jerebu kemusnahan
keamanan seperti tertimbus bersama jasad-jasad malang
kerosakan dunia seperti memuncak kehangatan udara
Betapa kehidupan berbahang ini minta disirami
dengan simbahan air ketabahan dan ketenangan
serta sentuhan salju keredaan
dalam menghadapi ujian
kita yang ingin mengubah keadaan
terlalu kerdil dan jauh daripada kesempurnaan
namun alam yang sementara ini
biarlah tidak terus dihamburi
dengan serpihan-serpihan pencemaran
Norulashikin Jamain
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg