Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sajak: Manusia Pandai Mencipta dan Merosakkan juga

Jun 4, 2023 | 5:30 AM
BUMI: Pembangunan dan manusia, menyaksikan kemajuan dan kerosakan seiringan (FOTO FAIL)
BUMI: Pembangunan dan manusia, menyaksikan kemajuan dan kerosakan seiringan (FOTO FAIL) - REUTERS

Manusia memang pandai mencipta

dan ramai juga yang membina

dengan cermin-cermin kehidupan

kemudian dimusnahkan. Berderai kaca

para pekerja bukan tukang kata-kata

mereka menyusun bata dan kerangka

mencipta taman di alam maya

serombong jalan raya. Berasap hitam

kita pun hanya faham tapi diam

hujan membanjir sungai. Larut racun

duka dan lara bertakung, bertahun.

Manusia berusaha memanjangkan usia

dan tidak kurang juga yang menderita

cungap nafas sekarat. Senja tenat

payung langit terkepung kelam

menusuk minyak kilang. Gas pelambam

pekerja bukan pelabur mengumpul saham

mereka membina bangunan dan jembatan

langit Tuhan terkoyak. Bumi berkerak

kita semua tahu tanpa cemburu

api membakar hutan. Lombong semakin dalam

luka dan derita bergradasi wajah alam.

Manusia gemar dipandang mulia

dan tidak sedikit yang menanggung hina

membiarkan nafsu-nafsu serakah

tubuh badan menggigil. Fikir terkial-kial

rupa mencari sempurna. Memanjang akal

para pekerja bukan peramal masa depan

mereka meratakan bukit demi perkilangan

mega-mega jadi kelabu. Langit berjerebu

tapi malam kota semakin bercahaya

semua sudah bijak berkaca mata

pandai melaram bukan melarang

haba mengisi ruang. Badan berdandan

HAMED ISMAIL

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg