Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Sekeluarga jadi sukarelawan berbakti kepada masyarakat

Menjadi relawan atau menghulurkan bantuan bukan sesuatu yang dipaksa. Ia datang daripada kemahuan setiap individu. Masyarakat bertambah baik apabila lebih ramai orang tampil untuk membantu. Berita Harian memapar dua keluarga yang meluangkan masa dan tenaga menyumbang kembali kepada masyarakat dan membantu golongan memerlukan.
Mar 18, 2023 | 05:30 AM



DIDORONG semangat ingin membantu orang lain, Cik Zawiyah Kosman giat mengajak keluarganya sama-sama menjadi sukarelawan dan menyumbang kembali kepada masyarakat.



Kini, sudah lebih 10 tahun keluarganya meluangkan masa dan menyingsing lengan membantu orang lain bersama badan-badan kemasyarakatan.



Pada mulanya, hanya Cik Zawiyah, 48 tahun, sahaja dalam keluarganya yang tampil menyumbang bakti sebagai relawan. Lama-kelamaan, beliau mengajak suaminya dan kemudian ketiga-tiga anak mereka turut 'turun padang' membantu masyarakat.



"Saya mahu anak-anak saya memahami dan membantu orang lain juga. Saya ingin memupuk tabiat membantu ini dalam diri mereka dari usia muda agar mereka memahami bahawa ada orang lain yang lebih memerlukan.



"Selain itu, anak-anak perlu memahami bahawa mereka harus bekerja keras untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan," ujar Cik Zawiyah, seorang guru, kepada Berita Harian baru-baru ini.



Menurut beliau, anaknya - berusia antara 18 dengan 21 tahun - kini akan bertanya apakah ada peluang untuk mereka menyumbang masa dan tenaga sebagai sukarelawan pada hujung minggu.



Jika tiada, barulah mereka akan membuat perancangan sendiri.



Keluarga itu mula menjadi sukarelawan bersama sejak anak sulung Cik Zawiyah berusia sekitar 10 tahun.



Walaupun anak-anaknya masih kecil pada masa itu, Cik Zawiyah membawa mereka dan memberikan tugasan kecil, seperti membantu mengagihkan habuan.



"Pada masa itu, saya rasa mereka belum memahami tetapi mereka juga seronok dibawa keluar dan memerhatikan keadaan. Saya berasa gembira kerana mereka tidak nakal dan tidak berlari sana sini.



"Setelah beberapa kali ikut dan boleh dianggap sudah besar sedikit, barulah mereka mula bertanya soalan-soalan seperti mengapa, bagaimana dan sebagainya," ujar Cik Zawiyah.



"Selain memupuk nilai-nilai murni di sekolah sebagai seorang guru, saya juga berusaha memupuknya di rumah dalam diri anak-anak saya.



"Saya ingin anak-anak saya terus sumbang kepada masyarakat. Setelah bertahun-tahun menjadi relawan, kami sedar bahawa ada pelbagai cara untuk memberi semula kepada masyarakat. Tentu ada cara untuk menyumbang," kata beliau.



Suami Cik Zawiyah, Encik Rosli Abdul Gani, seorang teknisyen dan mempunyai sebuah van. Peranan utamanya sebagai relawan adalah dari segi logistik, misalnya membantu mengangkut barangan untuk dihantar.



Antara cabaran yang dikongsi adalah apabila perlu menghantar barangan ke serata Singapura.



"Kadang-kadang tempat untuk dihantar tidak tertentu dan jauh jaraknya juga. Jadi kami harus merancang perjalanan supaya jimat masa," kata bapa berusia 49 tahun itu.



"Jika kita tampil sebagai relawan, ia memberikan peluang individu itu berasa lebih berguna. Selain menyumbang tenaga dan masa, kita juga dapat menimba pengalaman, dapat melihat kehidupan orang lain," ujar Cik Zawiyah.



"Saya rasa kalau sekecil mana pun, jika kita boleh tolong, hulurkan bantuan itu. Misalnya, kalau lihat mak cik jual tisu, walaupun beg dah banyak tisu, saya tetap belinya dan ini menyenangkan mereka lalu akan buat mereka tersenyum.



"Kalau bukan kita yang bantu, siapa lagi. Kita tidak tahu bagaimana keadaan sebenar kehidupan mereka. Mungkin dengan tindakan yang kecil sebegitu, dapat ringankan beban mereka, langsung mereka pun rasa dihargai dan lebih semangat untuk teruskan kehidupan kerana menerima sokongan-sokongan kecil seperti ini," kata Cik Zawiyah.




Saya mahu anak-anak saya memahami dan membantu orang lain juga. Saya ingin memupuk tabiat membantu ini dalam diri mereka dari usia muda agar mereka memahami bahawa ada orang lain yang lebih memerlukan.
- Cik Zawiyah Kosman, seorang guru yang menyumbang bakti sebagai sukarelawan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >