Di Singapura, seseorang boleh mengharapkan untuk rasa dihormati sebagai individu dan dilayan sama rata tanpa mengira kaum, bahasa dan agama.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dalam satu sesi dialog bersama belia pada 3 Ogos.
Itulah titik permulaan, katanya bagi menjawab soalan mengenai masih wujudnya kebimbangan mengenai insiden perkauman bersahaja di sini, dan sama ada keadaan akan bertambah baik.
“Secara umumnya, kami telah melakukan perkara yang betul,” kata Encik Lee.
Namun beliau menambah bahawa di peringkat peribadi, orang ramai perlu melayan satu sama lain dengan rasa hormat, memahami tentang sensitiviti dan tidak menyinggung perasaan orang lain.
Encik Lee berucap kepada sekitar 300 belia dalam sesi dialog di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur yang dianjurkan oleh OnePeople.sg, sebuah pertubuhan yang menggalak keharmonian kaum dan agama, lapor The Straits Times.
Dalam sesi sejam itu, peserta daripada institusi posmenengah, madrasah, sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP) serta kumpulan masyarakat dan agama mengemukakan soalan kepada Encik Lee mengenai pelbagai topik.
Ia termasuk yang menyentuh isu perkauman bersahaja dan pengaruh media sosial terhadap penyepaduan antara penduduk setempat dan pendatang baru.
“Kami perlu menyatakan rasa tidak setuju dan jika ia dilakukan dengan niat jahat, kami perlu tegas mengutuk perbuatan itu.
“Pada masa yang sama, kami juga perlu bertindak dengan cara yang sesuai dan melihat keadaannya,” kata beliau, merujuk kepada konflik yang timbul melibatkan kaum atau agama.
Rakyat Singapura tidak seharusnya bersikap terlalu sensitif, kata Encik Lee.
“Jika anda melihat apa yang berlaku di negara Barat, terdapat situasi sekarang apabila (mereka) terlalu berhati-hati untuk tidak melakukan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan sesiapa.
“Kadang-kadang, mereka juga memaklumkan bahawa (mereka) akan menyatakan sesuatu yang boleh membuat orang lain rasa tidak senang.
“Jadi, jika orang itu tidak mahu mendengarnya, orang itu boleh keluar sebelum (beliau) menyatakanya. Sangat meletihkan,” ujar beliau.
Ini bukan cara yang matang atau praktikal untuk menjalin hubungan dengan satu sama lain, kata Encik Lee.
Sebaliknya, usaha menjalin hubungan itu memerlukan sikap bertolak ansur, persefahaman, toleransi dan rasa saling menghormati.
Encik Lee turut menarik perhatian bahawa di Singapura, tetamu Cina mungkin hadir memakai sari atau pakaian India semasa Deepavali, manakala tetamu bukan Melayu pula mungkin memakai baju Melayu semasa Hari Raya.
Tujuannya adalah untuk menghormati rakan mereka dengan meraikan perayaan itu bersama.
Namun di Amerika Syarikat misalnya, perbuatan demikian boleh dianggap sebagai peruntukan budaya, katanya.
“Saya tidak fikir kita harus pergi ke arah itu,” katanya, sambil menambah bahawa golongan muda perlu mencari norma mereka sendiri dan cara mereka sendiri ke hadapan.
Encik Lee berkata: “Saya harap kita akan menemui sesuatu yang praktikal dan teguh, yang membolehkan kita menjalin hubungan dengan baik.
“Ini supaya apabila kita bertemu dengan masyarakat lain apabila mereka tidak bersikap begitu baik, sensitif dan tidak biasa dengan anda, anda tidak akan terperanjat.”
Ditanya sama ada penting untuk mengekalkan pembentukan kaum di Singapura, Encik Lee berkata pemerintah cuba untuk tidak mengganggu keseimbangan kaum, dengan Cina sebagai kaum majoriti, tetapi bukan kumpulan dominan.
Beliau berkata Singapura telah mencapai “tahap keselesaan tertentu” dengan pembentukan kaum sekarang.
“Sebagai dasar, seberapa boleh, kami ingin mengekalkan pembentukan ini rata-ratanya,” kata Encik Lee.
Meskipun perkahwinan antara pasangan yang berlainan kaum kian mengaburkan garis antara kumpulan etnik yang utama di Singapura, Encik Lee berkata beliau tidak menjangkakan perubahan ketara dalam pembentukan kaum di sini.
Mengulas tentang sama ada terdapat kemungkinan bagi dialog positif yang membina di dalam talian, Encik Lee berkata ruang di dalam talian membolehkan orang ramai berkumpul dan meluahkan perasaan mereka.
“Ia membolehkan kami – menteri dan pemimpin – untuk mendekati kumpulan yang anda tidak boleh dekati secara intensif,” tambahnya.
Namun, perbincangan di dalam talian boleh menyebabkan ruang gema (echo chambers) apabila orang hanya mendengar satu sudut pandangan, dan semakin sukar untuk membezakan berita palsu daripada berita sebenar, ujar beliau.
Memberi contoh konflik Gaza, beliau berkata adalah tidak mungkin untuk mengesahkan sama ada imej yang disebarkan di dalam talian adalah benar-benar daripada perang yang sedang berlangsung sekarang.
“Ia mungkin daripada perang di Timur Tengah sekarang ini.
“Mungkin juga dari tempat lain atau waktu lain. Dan anda tidak tahu,” kata Encik Lee, sambil menambah bahawa adalah penting untuk berwaspada terhadap sumber maklumat.
Mengenai soal imigrasi, Encik Lee ditanya bagaimana untuk memberi keutamaan peluang pekerjaan kepada rakyat Singapura sambil berlaku adil kepada pekerja asing.
Beliau berkata Singapura membawa masuk warga asing apabila terdapat keperluan ekonomi dan rakyat Singapura tidak mencukupi untuk melakukan pekerjaan berkenaan.
Terdapat rangka kerja amalan pekerjaan yang adil – Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan yang Adil dan Progresif (Tafep) – bagi melindungi daripada diskriminasi di tempat kerja dan memastikan rakyat Singapura tidak terjejas.
“Persoalannya ialah: Apakah yang boleh saya lakukan untuk memaksimumkan peluang untuk rakyat Singapura mendapat pekerjaan? Dan jawapannya ialah: Untuk membenarkan aliran terkawal pekerja asing, bakat asing dan pakar asing, dan mereka akan melengkapi kita,” ujarnya.
Meskipun Singapura mengalu-alukan warga asing, Encik Lee berkata mereka juga perlu menyesuaikan diri dengan nilai, budaya, dan peraturan negara ini.
“Apabila mereka datang, mereka mesti tahu bahawa ini adalah Singapura. Dan inilah cara (mereka) sepatutnya berkelakuan di Singapura... dan cara Singapura, semangatnya, etosnya serta rasa identiti dan kekitaan,” tegas beliau.
Encik Lee berkata identiti berbilang kaum Singapura yang unik adalah sesuatu yang tidak semua warga asing faham.
Beliau menyingkap detik beliau cuba menjelaskan kepada seorang pemimpin asing bahawa “orang Cina Singapura” berbeza daripada “orang Cina di China”, begitu juga dengan “orang India Singapura” dan “orang India di India”.
“Tetapi rakyat Singapura faham, dan itulah yang menjadikan kita satu rakyat.
“Dan itulah sebabnya apabila pendatang datang ke negara ini, mereka perlu berusaha, dan kita juga perlu berusaha untuk merapatkan jurang itu dan membantu mereka menyesuaikan diri dengan masyarakat Singapura,” jelasnya.
Encik Lee turut menarik perhatian insiden baru-baru ini mengenai sepanduk Hari Kebangsaan yang dipasang di GRC Tanjong Pagar, yang menampilkan seorang kanak-kanak perempuan yang bukan warga Singapura.
“Terdapat sedikit kekecohan kerana ada seseorang yang membangkitkan isu mengenainya, dan kemudian berkata mengapa tampilkan orang bukan warga Singapura bagi Hari Kebangsaan?” kata Encik Lee, tanpa menamakan individu itu.
Pengasas parti politik parti pembangkang, Suara Rakyat, Encik Lim Tean, baru-baru ini berkongsi hantaran di Facebook yang dimuat naik oleh kanak-kanak itu di laman Facebook beliau, hingga mengundang komen negatif daripada pengguna media sosial lain.
Encik Lee berkata: “Saya fikir ini pendekatan yang sempit, tidak bijak dan berniat jahat.
“Mereka mahu berkawan dengan kita. Mengapa kita tidak mahu berkawan dengan mereka?
“Mereka mahu meraikan (Hari Kebangsaan) bersama kita dan seharusnya kita membuka hati kita, menyambut mereka, itulah cara untuk berkelakuan sebagai rakyat Singapura.”
Pelajar tahun ketiga di Kolej Seni Lasalle, Cik Adlina Anis, 23 tahun, berkata apa yang menarik perhatiannya semasa dialog itu ialah perlunya untuk mengadakan lebih banyak peluang untuk berinteraksi secara bersemuka apabila ia melibatkan topik sensitif.
“Ramai orang mungkin berfikir bahawa media sosial menawarkan anda jangkauan komunikasi yang sangat luas, tetapi ia tidak menggalakkan anda untuk berfikir secara mendalam dan berbincang dengan rasa empati,” tambahnya.
“
“Saya harap kita akan menemui sesuatu yang praktikal dan teguh, yang membolehkan kita menjalin hubungan dengan baik. Ini supaya apabila kita bertemu dengan masyarakat lain apabila mereka tidak bersikap begitu baik, sensitif dan tidak biasa dengan anda, anda tidak akan terperanjat.”“
“Apabila mereka datang, mereka mesti tahu bahawa ini adalah Singapura. Dan inilah cara (mereka) sepatutnya berkelakuan di Singapura... dan cara Singapura, semangatnya, etosnya serta rasa identiti dan kekitaan... Dan itulah sebabnya apabila pendatang datang ke negara ini, mereka perlu berusaha, dan kita juga perlu berusaha untuk merapatkan jurang itu dan membantu mereka menyesuaikan diri dengan masyarakat Singapura.”“
“Mereka mahu meraikan (Hari Kebangsaan) bersama kita dan seharusnya kita membuka hati kita, menyambut mereka, itulah cara untuk berkelakuan sebagai rakyat Singapura.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg