Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Studio penerbitan maya dilancar tarik projek dunia ke S’pura

Jun 24, 2024 | 5:30 AM
studio
Kemudahan X3D Studio di 25 Pasir Panjang Road dengan keluasan 40,000 kaki persegi, adalah yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara. - Foto ST

Di satu ruangan bersiling tinggi di bekas stesen jana kuasa, terletak studio perintis yang cuba membangun potensi Singapura bagi memenuhi keperluan penerbitan filem berteknologi canggih daripada pembuat filem dari seluruh dunia.

Pengasas bersama X3D Studio, Cik Karen Seah, menyimpan cita-cita tinggi sebegitu apabila beliau melancarkan studio penerbitan maya itu pada 19 Jun, selepas kemudahan di 25 Pasir Panjang Road itu menjalani pengubahsuaian yang menelan belanja $8 juta.

Kemudahan X3D Studio seluas 40,000 kaki persegi itu adalah yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.

Ia menggunakan teknologi penerbitan maya sama seperti yang digunakan untuk menghasilkan seting mengasyikkan dalam filem blokbuster yang memukau dari segi visual, seperti, ‘The Mandalorian’, dan drama popular berbahasa Korea di Netflix, ‘Queen Of Tears’.

Penerbitan maya melibatkan skrin khusus, kamera, peralatan lampu dan objek maya yang berfungsi secara bersama untuk mewujudkan kesan visual dinamik dan realistik yang dipaparkan pada kamera dalam masa nyata, dan bukannya dihasilkan selepas penggambaran, kata Cik Seah.

Dengan menukar tirai latar yang dipaparkan, penggambaran boleh dilakukan di studio, dan tidak perlu dibuat di lokasi luar.

Ini dapat menjimat kos dan mengurangkan kerumitan projek penggambaran, lapor The Straits Times (ST).

“Industri ini baru mula berkembang di bahagian dunia ini, dan Singapura berpotensi menjadi pengguna awal, dan oleh itu, menerajui (industri ini),” tambah Cik Seah.

Singapura, sebagai sebuah ekonomi maju, sudah terbiasa dengan teknologi canggih, katanya.

“Singapura, sebuah tempat yang kurang ruang penggambaran, adalah bandar ideal untuk menyokong dan menjadi antara peneraju bagi penerbitan maya,” ujar Cik Seah.

X3D Studio adalah studio penerbitan maya pertama di Asia Tenggara yang mendapat pentauliahan syarikat pengeluar peralatan studio, Arri, selepas menjalani penilaian selama 10 bulan.

“Pentauliahan Arri Stage menunjukkan secara serta-merta kepada pelanggan dan prospek bahawa X3D Studio memenuhi kriteria ketat kami untuk menyampaikan kandungan penerbitan maya yang konsisten dan bermutu tinggi,” kata Naib Presiden Kanan bagi Huraian Unit Perniagaan di Arri Group, Encik Kevin Schwutke.

Studio tersebut juga dijangka mengeluarkan dua filem pendek cereka sains di laman web dan saluran YouTube studio itu pada akhir Jun, dalam usahanya memaparkan teknologi canggih yang digunakan.

Pelakon tempatan, Qi Yuwu dan Andrew Lua membintangi filem, ‘Dead End’, yang mengisahkan tentang dua sahabat yang terselamat di Singapura yang tandus, selepas satu malapetaka melanda negara.

Filem ‘Trap’ pula, yang dibintangi, Oon Shu An, mengisahkan tentang seorang saintis yang terjerat dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Penerbitan maya adalah pengalaman bersifat penyerapan yang boleh dilihat serta-merta oleh semua di set (penggambaran), membolehkan saya memberi reaksi secara langsung kepada persekitaran,” kata Qi.

Oon menambah: “(Pengalaman) dibawa ke set indah ini yang menggabung secara bersepadu dunia maya yang luar biasa dengan dunia fizikal adalah sesuatu yang cukup menyeronokkan.”

Kini, kerja penggambaran X3D Studio sudah menarik minat pemain utama peringkat serantau, walaupun Cik Seah enggan memberi lebih banyak maklumat, sambil menyatakan perkara tersebut adalah satu rundingan rahsia yang masih berjalan.

Studio tersebut juga diharap dapat mewujudkan 30 hingga 60 pekerjaan ‘gig’ baru bagi pekerja bebas pada satu-satu masa, selain membina sekumpulan bakat Singapura dalam segmen tersebut, melalui satu akademi latihan.

Walaupun bilangan pekerja berbakat dalam penerbitan maya masih berkurangan di Singapura, Cik Seah berkata rakan perniagaannya, Encik Myke Brown, telah melatih kakitangan di Vietnam dan Thailand untuk menyokong studio baru itu, sementara X3D Studio terus mencari dan membangun bakat tempatan.

Kini, X3D Studio turut menjalin kerjasama dengan Politeknik Nanyang untuk menyampaikan dua kursus dalam penerbitan maya.

Kemudahan X3D Studio juga boleh disewa untuk penganjuran acara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg