Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sumbangan besar institusi fatwa S’pura terhadap pemikiran agama

Dalam negara di mana masyarakat Islam membentuk golongan minoriti seperti Singapura, institusi fatwa di sini tetap dapat mempamerkan keupayaan tinggi dan prestasi cemerlang. Perhimpunan ulama dan pihak berkuasa dari seluruh dunia – termasuk Mufti Besar Mesir, Shaikh Dr Shawki Ibrahim Abdel-Karim Allam – mencerminkan sumbangan besar Singapura dalam memajukan pemikiran agama dalam dunia yang lebih tidak menentu dan rumit. 
Feb 10, 2024 | 5:30 AM
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir menyampaikan ucapan semasa Persidangan Fatwa dalam Masyarakat Kontemporari yang diadakan selama dua hari di Hotel Park Royal on Beach Road pada 2 dan 3 Februari.
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir menyampaikan ucapan semasa Persidangan Fatwa dalam Masyarakat Kontemporari yang diadakan selama dua hari di Hotel Park Royal on Beach Road pada 2 dan 3 Februari. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sejak berlakunya pandemik Covid-19, institusi fatwa Singapura telah mendapat perhatian serta pengiktirafan antarabangsa atas usaha menangani isu-isu dan cabaran kontemporari.

Institusi fatwa Singapura dianggotai asatizah dan ulama Islam tempatan, dan dipengerusikan oleh Mufti serta disokong oleh Pejabat Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Baru-baru ini, Muis telah mengadakan persidangan fatwa yang dihadiri oleh ulama serta mufti dan pakar dari luar negara untuk membincangkan bagaimana institusi fatwa boleh membentuk masyarakat yang yakin, teguh dan bingkas.

Antara penceramah utama yang hadir ialah Mufti Besar Mesir, Shaikh Dr Shawki Ibrahim Abdel-Karim Allam, yang telah menyampaikan Anugerah Al-Qarafi Bagi Kecemerlangan dalam Fatwa kepada institusi fatwa Singapura pada 2022.

Anugerah itu baru diperkenalkan pada tahun sebelumnya dan Singapura merupakan masyarakat Islam minoriti pertama menerimanya.

Di samping persidangan fatwa, Singapura juga menjadi tuan rumah bagi Forum Fatwa dan Penyelidikan Berkaitan Masyarakat Muslim Minoriti. Ia adalah sebuah badan antarabangsa yang baru dibentuk oleh Setiausaha Agung Institusi Fatwa Sedunia di bawah naungan Darul Ifta’ Mesir. Anggota forum tersebut termasuk ulama tersohor dari negara Islam dan bukan Islam.

Pada masa yang sama, badan fatwa antarabangsa terkemuka seperti Darul Ifta’ Mesir dan Akademi Fiqh Antarabangsa, yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi, juga telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Muis untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan fatwa.

Persidangan fatwa baru-baru ini jelas menunjukkan perhatian serta pengiktirafan dari luar negara yang semakin meningkat terhadap pendekatan Singapura yang unik dan progresif dalam mengendalikan isu sosio-agama kontemporari yang kompleks.

Lebih penting lagi, minat ini datang dari negara majoriti Muslim yang mempunyai institusi agama dan fatwa yang telah ditubuhkan jauh lebih lama.

Para penceramah dan peserta akur terhadap model kehidupan masyarakat Islam Singapura yang progresif dan cekap membuat penyesuaian mengikut konteks dan suasana, serta mencerminkan perpaduan sosial yang unik.

Salah satu faktor yang mendukung model itu adalah kesediaan pemimpin agama bekerjasama dengan masyarakat am, termasuk pemimpin-pemimpin agama lain serta pakar industri, dalam mencari huraian kepada permasalahan baru.

Sebagai contoh, dalam sesi-sesi Makmal Fatwa dalam persidangan itu, satu daya utama baru oleh Pejabat Mufti untuk menggalakkan pemikiran kreatif dan kritis bagi menangani trend dan cabaran yang mendatang, para asatizah dan cendekiawan agama duduk bersama pakar-pakar dari Sekolah Perubatan Duke-NUS, Google Cloud dan The Good Food Institute untuk bertukar-tukar fikiran dan pandangan mengenai pelbagai isu seperti saringan perubatan genetik, kecerdasan buatan (AI) dan daging kultur.

Pendekatan progresif serta berunding dalam proses pengeluaran fatwa bukanlah perkara baru bagi Singapura.

Selama lebih lima dekad, masyarakat Islam telah menghadapi isu-isu mencabar dalam kehidupan sosio-agama.

Atas visi dan pendekatan membina ulama dan mufti sebelum ini, masyarakat Islam telah membina keyakinan dan daya tahan yang tinggi dalam menghadapi perubahan seperti yang terpapar dalam sikap positif mereka tatkala mengharungi pandemik Covid-19.

Soalannya sekarang adalah sama ada institusi agama seperti institusi fatwa bersedia menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang, dan bagaimana ia mampu mempergiatkan persiapannya.

Tatkala geopolitik dunia menjadi semakin tidak menentu, dan perubahan iklim bertambah buruk, para pemimpin dan masyarakat perlu membuat pilihan yang betul tetapi sukar, berpandukan prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang betul.

Inilah yang harus menjadi matlamat kepimpinan agama yang kukuh dan berupaya.

Cara para pemimpin mengendalikan isu-isu dan cabaran baru, dan bagaimana mereka memberi respons dan panduan akan membentuk keperibadian masyarakat mereka sendiri.

Mereka boleh memupuk kehidupan beragama yang dinamik, yakin, berwawasan dan berdaya tahan, atau sebaliknya, menyebabkan masyarakat menjadi bingung, lemah, pesimis serta kurang memberi sumbangan.

Haluan ini semakin kritikal dalam dunia masa kini yang diwarnai dengan pelbagai perubahan besar di peringkat global.

Semua institusi, termasuk institusi fatwa, perlu mencapai keseimbangan antara membuat penyesuaian dengan mengekalkan nilai-nilai dan identiti asas mereka, serta meneroka cara baru bagi memperkukuhkan lagi khidmat dan usaha mereka membimbing masyarakat.

Dengan mengambil pendekatan yang lebih berbentuk usaha sama dengan para pakar, institusi fatwa Singapura telah memperkasakan persiapannya bagi mengatasi beberapa cabaran mendatang.

Sebagai contoh, persidangan fatwa kali ini telah memaparkan cara penggunaan AI generatif untuk meningkatkan proses penyelidikan fatwa.

Berbeza daripada usaha di beberapa negara untuk menggantikan fatwa atau institusi fatwa dengan kecerdasan buatan, Singapura memanfaatkan teknologi baru ini bukan untuk menggantikan ulama, tetapi meningkatkan keupayaan menghasilkan panduan agama yang menyeluruh dan kukuh, dengan memperhalusi penalaan dan kejuruteraan untuk model bahasa besar.

Satu isu besar lain yang dibincangkan adalah mengenai sumber makanan alternatif, seperti penggunaan bentuk protein baru dan daging kultur, atau yang dihasilkan di makmal.

Walaupun ada yang mempersoalkan keperluan kepada jenis makanan baru serupa itu hari ini kerana mereka merasakan masih banyak lagi makanan ‘asli’ yang wujud, institusi fatwa Singapura mengambil pendekatan membuat persiapan awal dan memimpin, bukan dipimpin atau terpaksa mengikut sahaja kerana lewat bertindak.

Sebagai institusi fatwa yang bertanggungjawab dan berwawasan, ia tidak seharusnya menunggu sehingga situasi makanan dunia menjadi buruk akibat kesan daripada perubahan iklim global dan pemanasan sejagat.

Sebaliknya, ia harus mula memikirkan tentang pilihan untuk masa depan mulai sekarang kerana bukti-bukti bagi kesan perubahan iklim sudah jelas di seluruh dunia.

Sesetengah badan fatwa masih belum bersedia membuat keputusan mengenai isu-isu kompleks demikian. Ia adalah pilihan mereka.

Dan adalah benar bahawa isu ini amat kompleks dan tidak wujud dalam sejarah perundangan agama.

Tetapi seperti semasa pandemik Covid-19, Singapura merupakan salah satu negara yang paling awal mengeluarkan panduan agama, namun fatwa-fatwanya serupa dengan yang dikeluarkan kemudiannya oleh banyak institusi fatwa di seluruh dunia.

Walaupun masyarakat Islam Singapura adalah golongan minoriti, institusi fatwanya telah memberi kesan dan impak yang lebih besar dan mendalam.

Sumbangan institusi fatwa dalam memajukan pemikiran agama dalam dunia yang tidak menentu dan kompleks telah menarik perhatian pihak berkuasa agama di luar negara.

Kelebihan masyarakat Islam di Singapura adalah kerana mereka dapat menyumbang dengan cara yang lebih besar, dalam konteks masyarakat yang lebih rencam.

Sebagai contoh, masyarakat minoriti Islam boleh bekerjasama dengan masyarakat lain untuk maslahat awam. Sumbangan mereka tidak terhad atau terbatas kepada satu golongan atau satu cara sahaja.

Semua ini menjadikan masyarakat minoriti Islam yang unik tetapi menjadi nadi penting dalam pengalaman dan kewujudan umat Islam sejagat.

Bahkan, pengalaman masyarakat minoriti Islam menonjolkan lagi nilai serta dinamisme ajaran Islam. Ia adalah bukti bagaimana agama Islam sesuai untuk pelbagai masa dan suasana.

Melalui pendekatan yang progresif dan kreatif, institusi fatwa Singapura sebenarnya telah mengubah naratif yang sering didengari bahawa masyarakat minoriti Islam bersifat lemah atau bermasalah.

Sebaliknya, melalui panduan dan penyelesaian yang mengambil kira konteks, institusi fatwa Singapura telah membuktikan bahawa masyarakat Islam di sini memiliki keyakinan dan keteguhan, serta berdaya maju untuk menyumbang kepada negara dan dunia.

Satu isu besar lain yang dibincangkan ialah mengenai sumber makanan alternatif seperti penggunaan bentuk protein baru dan daging kultur, atau yang dihasilkan di makmal. Walaupun ada yang mempersoalkan keperluan kepada jenis makanan baru sedemikian hari ini kerana mereka merasakan masih banyak lagi makanan ‘asli’ yang wujud, institusi fatwa Singapura mengambil pendekatan membuat persiapan awal dan memimpin, bukan dipimpin atau terpaksa mengikut sahaja kerana lewat bertindak. Sebagai institusi fatwa yang bertanggungjawab dan berwawasan, ia tidak seharusnya menunggu sehingga situasi makanan dunia menjadi buruk akibat kesan dari perubahan iklim global dan pemanasan sejagat. Sebaliknya, ia harus mula memikirkan tentang alternatif hari muka, mulai sekarang, kerana bukti-bukti bagi kesan perubahan iklim sudah jelas di seluruh dunia.”
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg