Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Tangani pelbagai persoalan di sebalik sistem Presiden Dipilih

Bakal Presiden Tharman peroleh kemenangan mutlak, namun isu-isu yang dibangkitkan semasa kempen Pilihan Raya Presiden lalu boleh timbul semula dalam persaingan pada masa depan
Sep 10, 2023 | 05:30 AM



Para pengundi telah memberi kemenangan jelas yang menentukan bahawa Encik Tharman Shanmugaratnam akan menjadi presiden kesembilan bagi Singapura.

Semasa temu bual selepas pilihan raya, selepas pengiraan sampel diterbitkan oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD), Encik Tharman berkata keputusan itu adalah “satu lagi peristiwa penting dalam proses evolusi” di negara kita – seorang calon bukan daripada kaum Cina mendapat 70.4 peratus undi daripada senarai calon berbilang kaum.

Ini adalah mandat yang kukuh untuk Presiden yang dipilih.

Dengan pengiktirafan terhadap kecekapannya, komitmen kepada Singapura yang inklusif dan penuh kasih, serta kedudukan antarabangsanya sebagai peneraju berpengaruh, keputusan pilihan raya ini tidak diragukan lagi bahawa populariti Encik Tharman dan mutu keperibadiannya mengatasi soal kaum.

Perubahan dalam kempen

Yang pasti, Encik Tharman tidak mendapat ‘pas percuma’ ke Istana. Dua pesaingnya – Encik Ng Kok Song dan Encik Tan Kin Lian – tidak memberikan laluan mudah dalam persaingan itu.

Masing-masing meletakkan kebolehan dan pengalaman mereka sendiri untuk jawatan itu. Mereka juga berhujah dengan tegas dan cuba meyakinkan pengundi bahawa jawatan itu paling baik diisi oleh seseorang yang bukan sebahagian daripada pemerintah atau Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah – mungkin satu-satunya ‘kekurangan’ Encik Tharman.

Terdapat beberapa liku dalam kempen itu, dengan banyak mempersoalkan sistem pilihan raya dan fungsi presiden, berdasarkan wacana awam dalam talian, media sosial dan rangkaian tertutup seperti WhatsApp.

Namun, orang awam secara meluas tidak terpengaruh dengan hujah-hujah ini.

Encik Tharman adalah seorang tokoh politik yang amat disanjung, terkenal dengan perikemanusiaan, semangat murah hati dan secara kritis memenuhi slogan kempennya – Menghormati Semua – dan tidak bermain kotor.


Seorang penentangnya malah menarik balik dakwaan kempen fitnah dari kem Encik Tharman, yang dengan penuh hormat menjelaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan taktik sedemikian walaupun ia diterima pakai oleh penyokongnya.

Soal kelayakan

Namun, adalah wajar untuk menghuraikan beberapa isu penting yang ditimbulkan dalam Pilihan Raya Presiden 2023 (PE2023) ini, sebelum bersua pada Pilihan Raya Presiden akan datang.

Pertama, berkaitan isu kelayakan calon – berkaitan dengan individu keempat yang aktif berkempen dan secara terbuka menyatakan minat untuk bertanding seawal Jun – seorang ahli perniagaan dan mantan duta bukan pemastautin ke Maghribi, Encik George Goh.

Dalam menampilkan dirinya melalui landasan pertimbangan, beliau sedar dari awal bahawa beliau bergantung kepada Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) membentangkan kriteria untuk membolehkan pengumpulan syarikat yang beliau miliki kuasa eksekutif, untuk layak menjadi calon.

Tetapi apabila pencalonan beliau tidak diterima, Encik Goh mengadu bahawa PEC tidak adil dalam hal ini kerana mengambil “tafsiran sempit terhadap syarat tanpa menjelaskan rasional di sebalik keputusannya”.

Mujur, PEC memutuskan untuk mengeluarkan suratnya secara terbuka kepada Encik Goh, menjelaskan sebab beliau tidak layak.

Walaupun PEC tidak diwajibkan menjelaskan penolakan secara terbuka, terdapat peruntukan untuk PEC berkongsi maklumat tentang pencalonan yang ditolak demi menyangkal sebarang dakwaan terhadapnya.

Ia membuktikan bahawa Encik Goh telah menerima nota yang menyatakan dengan tegas apakah peraturan itu, dan bagaimana dosiernya didapati tidak sesuai.

Ini adalah percubaan serius untuk mempersoalkan sistem, tetapi sebarang ketidakpercayaan sebahagian besarnya dapat diatasi. Adalah malang jika semasa persaingan sengit, pihak berkuasa dilemahkan secara sedemikian.

Dalam soal kelayakan, Encik Ng juga membangkitkan isu membenarkan mantan anggota pemerintah untuk menjadi calon presiden.

Menyifatkannya sebagai potensi konflik berkepentingan, Encik Ng menggesa pengundi untuk menyokong calon bukan partisan atau tidak berpihak seperti dirinya.

Bagaimanapun, peraturan jelas membenarkan penjawat jawatan Kabinet layak melaksanakan peranan ini.

Komen Encik Ng menarik perhatian ramai.

Encik Tharman menangani isu itu dengan hujah meyakinkan, dengan memetik sumbangan mendiang Presiden Ong Teng Cheong yang berfikiran bebas, dan berkata ia bukan persoalan mudah tentang label, dan menggesa orang ramai supaya melihat lebih mendalam tentang watak dan rekod prestasi calon.

Keputusan PE2023 menunjukkan bahawa ini bukan sesuatu yang menjejas keyakinan pengundi atau boleh menggagalkan percubaan Encik Tharman. Namun, faktor ini boleh timbul lagi pada masa hadapan.

Isu ketiga berkaitan dengan kelayakan ialah hakikat bahawa PEC melahirkan keyakinan bakal calon sebagai “orang yang berintegriti, berakhlak mulia dan ada reputasi” sebagai antara syarat untuk dijadikan rujukan.

Persoalannya kemudian tentang bagaimana ia melaksanakan tugas ini, apabila sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan, Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware), membangkitkan tentang perlakuan Encik Tan terhadap kaum wanita, “merendahkan mereka sebagai hanya untuk penampilan dan hiburan”.

Padahal, matlamat Aware adalah untuk memaklumkan kepada orang ramai, namun PEC berkata ia akan menyerahkan kepada pengundi untuk memutuskan sama ada catatan lama itu menjejas Encik Tan.

Bukan mudah untuk merangka cara calon yang mempunyai fahaman politik terdahulu, menggunakan pertimbangan “tanpa rasa takut atau pilih kasih, jujur atau berniat jahat, tanpa mengambil kira apa-apa gabungan sebelumnya dengan mana-mana parti politik”, sebagaimana yang diperlukan sumpah jawatan presiden. Ia adalah suatu cabaran kepada PEC untuk memastikan watak baik bakal calon, selain menggugurkan sesiapa yang mempunyai rekod jenayah atau pernah muflis.

Bagaimanapun, dalam membina institusi yang kukuh seperti presiden, mengambil masa untuk menangani isu ini dengan kajian yang kukuh atau melaraskan beberapa proses untuk diambil kira sebarang isu yang mungkin timbul boleh melicinkan perjalanan pilihan raya akan datang. Ia dapat memastikan kurang pertelingkahan mengenai penguatkuasaan peraturan yang dinyatakan.

Menimbulkan jangkaan
yang salah

Perkara kedua berhubung kempen yang hampir tersasar di luar batas ialah apabila Encik Tan berkata beliau akan memujuk pemerintah menangani isu kos sara hidup yang tinggi, kemampuan perumahan dan jaminan pekerjaan.

Walaupun beliau meyakinkan mereka yang ditemui semasa berkempen, dan sedar bahawa presiden tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan agenda dasar pemerintah, beliau menyatakan bahawa beliau mempunyai keupayaan untuk menggunakan kuasa lembut bagi menyampaikan pandangannya.

Sebaliknya, Encik Tharman lebih gemar menumpukan kempennya pada perkara yang boleh dicapai oleh Pejabat Presiden, dan melakukannya secara langsung melalui dorongan moral dan asas inisiatif, untuk memartabatkan golongan yang kurang bernasib baik. Ini adalah mesej penyatuan yang kuat.

Mungkin calon masa depan terdorong berjanji dapat membentuk dasar awam dengan cara yang berbeza, namun timbul keperluan untuk menjelaskan bahawa pendekatan dan sasaran presiden berbeza daripada pemerintah, walaupun kededuanya adalah penting.

Agak membimbangkan melihat calon presiden memberi gambaran mengelirukan tentang peranan presiden, sehingga pengundi terpengaruh dan memilih calon berdasarkan jangkaan yang tidak mampan.

Malah apabila calon secara sukarela memperakui mereka faham peranan dan batasan jawatan presiden, pertelingkahan secara tidak adil hampir tercetus, walaupun usaha terbaik dilakukan rakan-rakan calon, media dan pihak Jabatan Pilihan Raya mengelakkan berlakunya kemelut itu semasa berkempen.

Lebih banyak pendidikan awam oleh Jabatan Pilihan Raya mungkin diperlukan. Penghargaan terhadap media dan pihak ketiga lain dalam usaha mengelakkan pelanggaran ini amat dialu-alukan buat masa hadapan.

Menempatkan penyokong
dalam Majlis Penasihat Presiden

Perkara ketiga, yang paling membimbangkan semasa berkempen ialah apabila Encik Tan menyarankan untuk meletakkan penyokongnya, Encik Tan Jee Say dari Parti Demokratik Singapura, dan Pengerusi Parti Progresif Singapura, Dr Tan Cheng Bock, dalam Majlis Penasihat Presiden (CPA).

Presiden perlu berunding dengan CPA sebelum menggunakan kuasa vetonya terhadap penggunaan rizab negara, atau pelantikan jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam.

Walaupun presiden mempunyai hak prerogatif untuk melantik sehingga tiga orang dalam CPA dan tidak ada salahnya meletakkan penyokong dalam peranan tersebut, harus juga difahamkan bahawa CPA mestilah bebas daripada sikap partisan dalam menjalankan kerjanya.

Di sini, Encik Ng berani membantah tindakan sedemikian dan menunjukkan bahayanya menyuntik partisan ke dalam jawatan presiden.

Adakah memadai sekadar mengandaikan calon dan nantinya pemenang pilihan raya presiden, memahami bahawa pemilihan mereka bagi anggota CPA juga harus mematuhi semangat Jawatan Presiden.

Mereka juga harus memahami bahawa orang-orang yang mereka pilih itu mesti tahu bahawa mereka tidak harus menyebelahi mana-mana pihak dalam melaksanakan tugas tanpa mengambil kira apa-apa gabungan sebelumnya dengan mana-mana parti politik.

Ini adalah satu isu yang akan mendapat manfaat daripada refleksi yang lebih mendalam.

Pilihan Raya Presiden
bukan pilihan raya umum
pertengahan penggal

Menjelang pilihan raya presiden akan datang, usaha memperkukuh institusi Presiden Dipilih dan menangani isu-isu ini akan dapat membantu menetapkan peranan presiden di luar pengaruh politik.

Perbezaan ini bukanlah satu yang baik tetapi amat penting. Tambahan lagi, pemilihan presiden berkait dengan proses dan institusi politik yang berbeza daripada memilih pemerintah dalam pilihan raya umum.

Cabang eksekutif yang memutuskan dasar dan perundangan awam, serta mengarahkan hala tuju kewangan negara.

Presiden seharusnya datang daripada proses yang berbeza, dengan individu diundi secara tidak langsung oleh rakyat. Mereka harus memiliki nilai peribadi yang baik dan layak untuk melaksanakan peranan yang unik. Kemudian, terserah kepada para pengundi untuk membuat pilihan mereka.

Pada 1 September, kita meraikan kemenangan besar Encik Tharman yang juga menandakan satu kejayaan signifikan dalam evolusi meritokrasi berbilang kaum di negara ini.

Terdapat banyak perkara yang perlu ditangani PEC dan Jabatan Pilihan Raya menjelang pilihan raya akan datang – bagi memastikan proses kelayakan, peranan presiden dan sistem berpresiden itu sendiri berfungsi dengan betul.

Tetapi terdapat juga keyakinan baru terhadap jawatan presiden yang dipilih, berikutan kemenangan besar yang diberikan rakyat Singapura kepada Encik Tharman, yang sentiasa mematuhi peraturan dan budaya sepanjang berkempen bagi pemilihan jawatan presiden ini.

Beliau mempunyai kepercayaan rakyat Singapura untuk menjadi ketua negara ini. Beliau kini boleh menggunakan tempoh semasa memegang kuasa untuk menunjukkan, bukan hanya memberitahu, tentang bagaimana ia sepatutnya difahami.

[ο] Dr Gillian Koh ialah zamil penyelidik kanan di Institut Kajian Dasar, Universiti Nasional Singapura (NUS).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >