Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Teroka seni anyaman Melayu lalui arca tiga dimensi

Baru-baru ini, Kolej Seni Lasalle telah mengadakan pertunjukan graduan yang memaparkan karya seni pelajar tahun akhir mereka. Berita Harian telah menemu ramah dua individu yang telah menghasilkan projek seni yang menarik. Satu meneroka seni anyaman Melayu dan satu lagi mahu memberi kesedaran kepada bahasa isyarat. Ikuti kisah mereka. 
Jul 2, 2023 | 5:30 AM
TEROKA SENI TRADISIONAL: Raja Nurul Huda Raja Ahmad telah mereka beberapa arca seni tiga dimensi yang menggunakan teknik anyaman tradisional Melayu.
TEROKA SENI TRADISIONAL: Raja Nurul Huda Raja Ahmad telah mereka beberapa arca seni tiga dimensi yang menggunakan teknik anyaman tradisional Melayu. - Foto-foto ihsan RAJA NURUL HUDA RAJA AHMAD

Tradisi menganyam ketupat merupakan sesuatu yang dilakukan oleh keluarga Raja Nurul Huda Raja Ahmad setiap tahun semasa Hari Raya Aidilfitri.

Beliau sedar bahawa seni menganyam ini semakin kurang diminati lebih-lebih lagi di kalangan belia. 

Lantas, semasa memikirkan topik yang ingin diteroka untuk projek akhir tahunnya di Kolej Seni Lasalle, Raja Huda tergerak hati untuk mendalami seni anyaman masyarakat Melayu. 

“Saya ingin menghidupkan semula dan mempromosikan seni kraf tangan anyaman ini dengan cara yang kreatif supaya ia dapat diterima oleh golongan muda,” ujar beliau. 

Menerusi kajian yang mendalam dan eksperimentasi, Raja Huda telah menghasilkan beberapa arca seni tiga dimensi yang diberi mana Interwoven Motifs. 

Karya yang diperbuat daripada kertas itu menggunakan teknik anyaman tradisional Melayu. Ia juga menerapkan motif-motif yang sering dilihat dalam kain tenunan songket seperti motif Bunga Tanjung dan Tampuk Manggis.

Setiap arca seni itu menggunakan kertas berwarna-warni yang telah dipotong kepada ukuran 8 milimeter (mm) dan dianyam menggunkan tangan. 

“Dengan menggabungkan beberapa teknik anyaman, saya telah menghasilkan arca seni tiga dimensi yang berbentuk abstrak. Justeru, saya telah dapat mengekalkan seni warisan ini menerusi cara yang baru,” kongsi Raja Huda yang lulus dengan Sarjana Muda dalam Komunikasi Reka Bentuk. 

EKSPERIMENTASI DENGAN REKA BENTUK: Raja Huda telah mengekalkan beberapa teknik anyaman dan motif tradisional Melayu seperti Bunga Tanjung dan Tampuk Manggis walaupun mencipta arca seni yang moden dan abstrak.
EKSPERIMENTASI DENGAN REKA BENTUK: Raja Huda telah mengekalkan beberapa teknik anyaman dan motif tradisional Melayu seperti Bunga Tanjung dan Tampuk Manggis walaupun mencipta arca seni yang moden dan abstrak. -

Arca seni anyaman itu turut dilengkapi dua buku berbeza yang diterbitkan oleh Raja Huda. 

Buku pertama menampilkan koleksi corak yang direka menggunakan motif tradisional Melayu dalam reka bentuk yang kontemporari. Buku yang kedua pula merupakan penyelidikan beliau tentang makna di sebalik motif tradisional yang digunakan dalam seni tenunan dan anyaman Melayu. 

Menerusi kajiannya, Raja Huda mendapat tahu bahawa kebanyakan motif tradisional Melayu mengambil ilham dari elemen yang ada di dalam hutan dan keindahan alam. 

Sebagai contoh, motif Tampuk Manggis yang diambil daripada buah manggis melambangkan simbol kesaksamaan dan kejujuran. Lantas, motif tersebut membawa erti si pemakai harus memupuk sifat jujur dan ikhlas.  

“Dengan memahami makna yang tersirat di sebalik setiap motif, orang ramai dapat menghargai kesenian Melayu ini dengan lebih baik,” ujar Raja Huda. 

Ternyata, menghasilkan arca anyaman tiga dimensi bukan mudah dan Raja Huda menghadapi pelbagai rintangan yang berbeza. 

“Pada mulanya, saya mahu menggunakan bahan asli seperti daun pandan atau janur sebagai bahan utama. Namun saya sedar bahawa bahan tersebut tidak boleh tahan untuk jangka masa yang lama,” kongsi beliau yang berusia 27 tahun. 

Justeru, Raja Huda mengambil keputusan untuk menggunakan kertas sebagai bahan alternatif kerana ia mudah untuk dibentuk. 

CARI BAHAN SESUAI: Raja Huda tidak dapat menggunakan bahan asli seperti daun pandan atau janur untuk menganyam arca seni beliau kerana ia tidak boleh tahan buat masa yang lama. Beliau memilih kertas berwarna-warni sebagai bahan anyaman.
CARI BAHAN SESUAI: Raja Huda tidak dapat menggunakan bahan asli seperti daun pandan atau janur untuk menganyam arca seni beliau kerana ia tidak boleh tahan buat masa yang lama. Beliau memilih kertas berwarna-warni sebagai bahan anyaman. -

Beliau juga menghadapi cabaran dengan kurangnya bahan rujukan yang khusus tentang seni anyaman tradisional Melayu. 

“Kebanyakan bahan yang ada tertumpu kepada seni tenunan songket dan tenunan moden. Ini membuatnya sukar bagi saya untuk mendapatkan maklumat terperinci,” kongsi beliau. 

Raja Huda turun menghadapi kesukaran semasa menganyam arca yang diperbuat daripada kertas kerana proses yang agak rumit. 

Ia memerlukan banyak percubaan dan eksperimentasi sebelum beliau dapat reka bentuk yang diinginkan. 

“Menganyam corak yang kompleks terbukti perlu kesabaran. Saya perlu sentiasa fokus. Jika saya tersilap langkah, saya perlu mulakan anyaman itu semula. “Saya juga harus memastikan anyaman itu kemas dan ketat supaya bentuk tiga dimensi itu terlihat,” kongsi beliau. 

Raja Huda yang ingin membina kerjayanya dalam bidang reka bentuk berharap diberi peluang untuk bekerjasama dengan organisasi seni atau pertubuhan Melayu untuk mengembangkan lagi projeknya.

Beliau merasakan yang seni anyaman itu harus diajar dan diperkenalkan kepada semua bangsa dan masyarakat secara amnya. Dengan itu, seni anyaman tidak akan hilang dan akan terus diwarisi. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg