Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ulasan perihal ‘Bazar’

Jun 18, 2023 | 5:30 AM
PENULIS: Cik Noor Aisya Buang, penulis esei ‘Bazar dan kritikananya’.




Gambar ihsan Noor Aisya Buang
PENULIS: Cik Noor Aisya Buang, penulis esei ‘Bazar dan kritikananya’. Gambar ihsan Noor Aisya Buang - Noor Aisya Buang

SM Zakir dalam buku esei ‘Karya dan Kekuasaan Pengarang’ mengatakan bahawa “… pengarang mewujudkan sebuah dunia seperti sebuah ‘penjara’ dalam memperihalkan tentang tatanan sosial; yang dikawal olehnya.”

Beliau menerangkan bahawa seseorang pengarang menulis bukan sahaja untuk memberikan hiburan, tetapi memiliki objektif yang lebih besar iaitu “mengatur suasana sosial dan budaya, lalu menghasilkan hubungan antara sosial atau kehidupan yang digambarkan itu dengan identiti.”

Oleh yang demikian, membaca cerpen ‘Bazar’ oleh penulis wanita Singapura, Wan Jumaiah, para pembaca akan diheret ke sebuah dunia pempengaruh yang memperlihatkan akan bertembungnya dua aspek tersebut; suasana sosial dan budaya yang cuba dipengaruhi oleh pempengaruh tersebut.

Cerpen Wan Jumaiah kali ini amat berbeza daripada cerpen-cerpen sebelum ini. ‘Bazar’ membawa para pembaca pada realiti kehidupan dan suasana sosial pun budaya yang dipengaruhi oleh media sosial.

Secara tidak langsung, membenarkan akan kepentingan pempengaruh dalam membentuk kepercayaan para pengikut (yakni segolongan masyarakat tertentu) itu sendiri mengenai sesuatu produk, muzik dan apa pun yang mampu menjanakan ekonomi kepada pempengaruh tersebut. Sehingga, ramai anak muda pada zaman ini yang beranggapan bahawa menjadi pempengaruh itu lebih baik dan glamor.

Para pembaca diperkenalkan kepada Saila yang mengakui sebagai seorang pempengaruh global masa kini yang memiliki sejuta pengikut. Saila telah diundang oleh seseorang untuk menguar-uarkan bazar di ruang sosial Saila.

Saila yang berpakaian seksi (berblaus spaghetti dan skirt jean pendek) berasa kesal apabila dia mendapati telefon bijaknya tiba-tiba tidak berfungsi. Saila bertemu dengan seorang lelaki bernama Aidil Fitri Abdullah.

Aidil Fitri Abdullah berwajah jernih dan berpakaian lebih bersifat Islamik. Wan Jumaiah menggunakan teknik ‘show not tell’ (tunjuk bukan beritahu) dalam memberikan gambaran akan kedua-dua watak ini. Malah, cerpen beliau kali ini banyak memberikan gambaran yang terperinci. Teknik ini berjaya mewujudkan ‘suasana sosial’ dan identiti budaya yang ingin beliau gambarkan dalam ‘Bazar’.

Walaupun Wan Jumaiah menganggap bahawa “sebuah cerpen yang aku rasa mudah dibaca oleh para guru Bahasa Melayu dan pelajar sekolah menengah yang suka membaca dan mengkaji cerpen”, ‘Bazar’ lebih daripada itu.

Professor Dr Syed Hussein Alatas dalam buku ‘Islam dan Sosialisme’ ada menerangkan bahawa sosialisme berpendapat bahawa keadaan sekeliling menentukan sifat perseorangan dan timbulnya masalah-masalah masyarakat dan masyarakat dipengaruhi oleh golongan-golongan berkepentingan tertentu (class) di mana golongan tersebut memaksa kehendaknya atas rakyat.

Walaupun penerangan beliau di atas ada kaitan dengan golongan atasan yang berkuasa, kita dapat melihat bahawa orang seperti Saila, seorang pempengaruh memiliki kuasa untuk ‘memaksa’ pengikutnya mengikut kehendaknya. ‘Bazar’ tidak secara terperinci melakarkan akan perbuatan Saila. Sebaliknya, kata-kata Saila yang angkuh mengatakan bahawa dia mampu mencipta “isi kandungan yang terbaik dan ‘boom’-kan perniagaan” memberikan gambaran kepada para pembaca akan keupayaan dan kekuasaan Saila untuk memaksa kehendaknya ke atas para pengikutnya.

‘Bazar’ dengan bersahaja mengkritik masyarakat yang mudah terpengaruh dan ‘termakan’ dengan kata-kata pempengaruh sehingga mengambil testimoni para pempengaruh sebagai kayu ukur untuk menilai sesuatu produk. Akibatnya, para pempengaruh seperti Saila sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat para pengikut yang ramai dan menggunakan teknik-teknik tertentu demi mendapat sokongan mereka.

Saila akan pastikan kandungan isi yang dipamerkan di laman sosialnya menarik dan menghiburkan. Pempengaruh seperti Saila takut kehilangan pengikut sanggup melakukan apa sahaja walaupun dia sedar bahawa testimoni-testimoni yang didandan cantik tidak memberi kebaikan atau membina. Ini diakui oleh Saila apabila dia dengan jujur memberitahu Encik Aidil Fitri Abdullah bahawa dia akan kehilangan pengikut jika dia turuti kemahuan Encik Aidil Fitri Abdullah.

Bagi Saila, budaya pempengaruh berlandaskan memberi kandungan isi yang bersifat hiburan, ringan-ringan sahaja dan ‘menjual’ produk tertentu.

Perkara yang disebutkan di atas semakin ketara apabila berlakunya perbualan antara Saila dan Encik Aidil Fitri Abdullah. Saila bertambah resah apabila mendapati bazar Encik Aidil Fitri Abdullah mengandungi papan-papan tanda yang mengingatkan seseorang akan Tuhan, kematian, motivasi dan lain-lain. Saila menganggap bazar tersebut terlalu ‘deep’ dan tidak mungkin diterima oleh para pengikutnya yang lebih suka kepada hiburan.

Saila menambah bahawa memberi motivasi atau perkara-perkara yang bersangkutan dengan agama ialah tanggungjawab ustaz, ustazah dan juga ahli psikologi, bukan pempengaruh sepertinya. Malah Saila begitu yakin bahawa dia akan kehilangan pengikutnya dan kebencian mereka jika dia berhijab dan membuat kandungan isi seperti yang tertera di papan-papan tanda bazar Encik Aidil Fitri Abdullah.

Pada bahagian ini, para pembaca dibawa ke aspek atau unsur moral. Kata-kata Encik Aidil Fitri Abdullah telah menjentik naluri Saila. Pengakhiran cerpen tersebut juga pasti menimbulkan beberapa tanda tanya kepada para pembaca mengenai kewujudan Encik Aidil Fitri Abdullah, kewarasan dan mungkin keadaan psikologi Saila.

Friedrich Nietzsche dalam bukunya ‘On The Genealogy of Morals’ menulis, “… the free man, the owner of a long unbreakable will, finds in his passion his standard of values, looking out from himself upon the others…” membawa maksud bahawa manusia yang bebas (merdeka) merupakan pemilik keinginan kuat yang tidak terpatahkan, menggunakan hasratnya sebagai nilai ukuran lalu melihatkan dirinya ke atas orang lain.

Ini yang cuba dilakukan Saila, dalam keghairahannya untuk mencipta kandungan isi bazar yang boleh ‘memboom-kan’ perniagaan seseorang, (kononnya) cuba memberikan manfaat dan bantuan kepada orang lain dengan berkongsi kepakarannya sebagai seorang pempengaruh global masa kini.

Saila rasakan bahawa menjadi tanggungjawab dia sebagai seorang pempengaruh untuk memberikan isi kandungan yang diinginkan oleh pengikutnya. Malah, dia berasa bangga kerana dia jujur dan tidak pernah berpura-pura dalam memberikan pandangan atau kandungan isi tentang sesuatu produk.

Namun, dilema moral Saila terpukul apabila Encik Aidil Fitri Abdullah mengajukan persediaan Saila kelak apabila dijemput Tuhan.

‘Bazar’ merupakan sebuah cerpen yang menarik dan memiliki estetika bahasa yang baik. Walaupun khalayak pembaca cerpen ini ditujukan kepada guru dan murid menengah (seperti yang nyatakan dalam Facebook beliau), ‘Bazar’ boleh dinikmati oleh semua jenis pembaca. ‘Bazar’ juga menyelit mesej dan renungan yang baik tentang realiti budaya pempengaruh pada masa ini.

Laporan berkaitan
Cerpen: BazarMay 24, 2023 | 6:23 PM
Luka Mya dan monyet ShinagawaMay 21, 2023 | 3:45 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg