Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

UNDANG-UNDANG DAN ANDA

'Undang-Undang DIY' boleh bawa padah

Nasihat guaman, pakar kewangan tentang harta pusaka boleh elak perbalahan dan lindungi pertalian keluarga

BERSAMA ABDUL ROHIM SARIP

Mar 05, 2023 | 05:30 AM



BARU-BARU ini, seorang wanita buta berumur 84 tahun berjaya menyaman dua anaknya untuk mendapatkan balik hampir $1.37 juta wang hasil penyewaan dan penjualan rumah kedai arwah suaminya.



Mahkamah Tinggi menolak dakwaan anak perempuan dan anak lelaki tunggalnya bahawa ibu mereka menghadiahkan wang itu kepada mereka.



Tingkah laku adik-beradik itu ditegur mahkamah kerana mereka mendapatkan tandatangan ibu mereka bagi dokumen hadiah itu, yang tidak diketahui orang lain kecuali kawan anak lelaki berkenaan yang mengendalikan penjualan itu.



Kedua adik-beradik itu pentadbir harta pusaka bapa mereka dan berkata mereka membayar baki hutang - kira-kira $6,400 - secara tunai kepada ibu mereka tetapi tidak dapat mengingati butiran pembayaran itu.



Hakim berkata pasangan itu mengambil kesempatan terhadap ibu mereka yang buta dan lanjut usia.



Dokumen hadiah itu tidak sah kerana ibu mereka tidak sedar beliau telah memberi separuh daripada rumah kedai itu apabila beliau menandatangani dokumen tersebut.



Memandangkan rumah kedai itu tidak dilindungi sembarang wasiat, si ibu berhak mendapat separuh bahagian harta pusaka itu menurut Akta Pewarisan Harta Pusaka Tidak Berwasiat.



Pada 2016, hartanah itu dijual pada harga $2.6 juta, dengan penjualan itu selesai pada 7 April 2017 dan hasilnya dibahagikan kepada ibu itu dan anak-anaknya.



DOKUMEN TIDAK SAH



Beberapa hari kemudian, si ibu menandatangani dokumen hadiah - disediakan oleh anak perempuannya yang menyatakan wang $1.36 juta hasil jualan itu akan diberikan kepada kededua anak ibu itu.



Mahkamah tinggi mendapati dokumen hadiah itu tidak sah.



Ejen hartanah yang mengendalikan penjualan itu pula merupakan rakan anak lelaki berkenaan.



Ejen tersebut tidak sepatutnya menjadi saksi dalam proses tandatangan itu kerana beliau bukan pihak ketiga yang bebas, yang boleh bersikap objektif.



Beliau juga tidak membaca atau mengetahui kandungan dokumen hadiah yang dipertikai itu. Tambahan pula, kandungan dokumen hadiah itu adalah tidak tepat, iaitu palsu.



MANIPULASI TERHADAP WARGA EMAS



Mahkamah sangat prihatin dalam kes melibatkan tengkarah keluarga, apatah lagi apabila ia melibatkan warga emas berusia 84 tahun yang kehilangan daya penglihatan.



Kesemua keterangan dan bukti mesti diteliti mengikut undang-undang dan prosedur tertentu, apatah lagi tandatangan pada kontrak ditandatangani secara tidak sedar, tanpa mengetahui maksudnya.



Si anak mendakwa bahawa ibu mereka memberi hadiah sebanyak $1.36 juta hasil penjualan hartanah itu kepada mereka.



Satu dokumen hadiah didakwa telah ditandatangani oleh si ibu.



Namun, si ibu menyangkalnya dan menafikan beliau telah menandatanganinya.



Sekalipun beliau didapati menandatangani dokumen tersebut, beliau tidak tahu apa yang beliau tandatangani.



UNDANG-UNDANG DIY



Hakim juga menimbulkan isu dokumen perundangan yang dibuat sendiri, atau DIY.



Undang-undang yang direka sendiri ini membolehkan seseorang individu itu membuat draf mengikut kemahuan mereka sendiri atau draf surat perjanjian yang mudah dengan menggunakan ayat yang mereka karang sendiri.



Perlu dielak perbuatan melayari Internet sahaja untuk mendapatkan contoh dokumen yang diperlukan mengikut format perundangan, seperti sijil pengesahan wasiat dan surat pemindahan hak.



Bukan semua hal berkaitan undang-undang boleh ditangani sendiri, kerana masih terdapat jurang besar dalam bidang perundangan.



Isu perundangan mempunyai peraturan dan prosedur yang agak ketat, apatah lagi apabila ia melibatkan proses mahkamah.



Wang dan masa adalah kunci utama isu perundangan. Memang hal ini kelihatan agak mahal, tetapi jika anda mencari keadilan dan inginkan keadilan ditegakkan bagi pihak anda, ia adalah satu pelaburan yang amat berbaloi.



Jika kita mahukan sesuatu dokumen itu sah dari segi undang undang, dapatkanlah nasihat guaman.



Jangan pula kita cari dokumen undang-undang di Internet dan mengubahnya untuk kepentingan sendiri.



Banyak perkara perlu dijelaskan oleh peguam sebelum sesuatu dokumen boleh difahami tanpa keraguan atau harus ditandatangani.



Dokumen hadiah yang disiapkan oleh peguam pasti akan sah dan boleh digunakan.



Dalam kes di atas, si anak mengunakan dokumen DIY dan hakim berkata jika mereka telah mendapatkan khidmat guaman, kes itu tidak perlu dirujuk kepada mahkamah.



Malah, hakim juga terkejut wasiat dibuat sendiri tanpa nasihat peguam.



ALASAN MAHKAMAH TOLAK DOKUMEN



Mengapa hakim menolak dokumen hadiah DIY itu?



Ia adalah kerana:



1. Dokumen itu tidak benar, ada kesalahan padanya.



2. Saksi mempunyai kepentingan sendiri.



3. Dokumen itu dalam bahasa Inggeris, sedangan si ibu hanya boleh berbahasa ibunda.



Mahkamah juga mendapati anak-anaknya mengunakan pengaruh tidak wajar terhadap ibu mereka yang tua.



Ini bermakna anak-anak terlalu mempengaruhi ibu tua mereka hingga perbuatan mereka membatalkan segala yang ditandatanganinya.



PERANCANGAN HARTA PUSAKA



Soal harta pusaka memanglah rumit dan kompleks. Kita seharusnya membuat perancangan teliti dan mendapatkan nasihat guaman atau pakar kewangan mengenainya.



Dengan cara itu sahaja kita dapat mengelakkan perbalahan dan merosakkan pertalian keluarga.



Jika tidak dirancang dan ditangani dengan betul, banyak masa akan terpaksa diluangkan dan wang peguam berjumlah ratusan ribu terpaksa dibelanjakan.



Ini merugikan semua pihak.



  • Penulis seorang peguam dan pemilik firma guaman A. Rohim Noor Lila LLP. Antara bidang undang-undang yang beliau amalkan ialah pemindahan hak, undang-undang komersial dan litigasi, undang-undang korporat, wasiat, probet dan pentadbiran estet, undang-undang keluarga, pengambilan anak angkat dan Syariah, surat kuasa wakil bagi flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan lain-lain.


Wang dan masa adalah kunci utama isu perundangan. Memang hal ini kelihatan agak mahal, tetapi jika anda mencari keadilan dan inginkan keadilan ditegakkan bagi pihak anda, ia adalah satu pelaburan yang amat berbaloi. Jika kita mahukan sesuatu dokumen itu sah dari segi undang undang, dapatkanlah nasihat guaman. Jangan pula kita cari dokumen undang-undang di Internet dan mengubahnya untuk kepentingan sendiri. Banyak perkara perlu dijelaskan oleh peguam sebelum sesuatu dokumen boleh difahami tanpa keraguan atau harus ditandatangani.
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >