Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha media vernakular menentang arus teknologi, di tengah pengaruh bahasa Inggeris

Jul 26, 2024 | 4:14 PM
Akhbar vernakular seperti (dari atas) Lianhe Zaobao, Berita Harian and Tamil Murasu, telah memperuntukkan sumber ke arah pendigitalan agar dapat terus bertahan, kekal relevan dan menarik minat pembaca muda.
Akhbar vernakular seperti (dari atas) Lianhe Zaobao, Berita Harian and Tamil Murasu, telah memperuntukkan sumber ke arah pendigitalan agar dapat terus bertahan, kekal relevan dan menarik minat pembaca muda. - – Foto ST

Teknologi digital telah mengganggu pelbagai industri, termasuk tabiat membaca berita.

Akibatnya, edaran bagi akhbar media cetak merudum, dan model pengiklanan menggunakan kaedah lama sudah tidak lagi mampu bertahan.

Ini adalah cabaran yang dihadapi media di seluruh dunia.

Sekitar sedekad lalu, banyak yang berundur dan telah menghentikan penerbitan.

Media Singapura juga perlu berhadapan dengan persekitaran umum yang kurang memberangsangkan.

Akhbar vernakular kita, beroperasi dalam masyarakat berbilang kaum dengan bahasa Inggeris menjadi bahasa kerja utama, dan menghadapi cabaran lebih sukar.

Dalam dua tahun lepas, Berita Harian (BH), yang berkhidmat untuk masyarakat Melayu, dan Tamil Murasu (TM), yang berkhidmat untuk masyarakat India melalui bahasa Tamil, telah memperuntukkan sumber ke arah pendigitalan.

Walaupun orang Cina Singapura membentuk kira-kira tiga perempat daripada keseluruhan penduduk, media Cina menghadapi masalah yang sama ekoran pendidikan bahasa.

Lianhe Zaobao (ZB) menemu bual Ketua Editor Kumpulan Media Cina SPH Media, Cik Lee Huay Leng; Editor BH, Encik Mohd Nazry Mokhtar; dan Editor TM, Encik T. Raja Segar, bagi menerokai cara media vernakular kita boleh mencari jalan keluar dan tetap terus bergerak meskipun menghadapi cabaran.

Apabila pembaca media cetak Cina, Cik Luo Biying, 73, turun ke bawah bloknya untuk membeli sarapan setiap hari, beliau akan pergi ke gerai akhbar berdekatan untuk membeli senaskhah ZB.

Apabila beliau meninggalkan rumah pada waktu petang untuk membeli makan malam, beliau kembali dengan senaskhah Shin Min Daily News.

Ketika beliau dimasukkan ke hospital suatu ketika dahulu, beliau tidak lupa menyuruh suaminya membelikan surat khabar setiap hari untuk dibacanya selepas beliau keluar dari hospital.

Sejak sekolah rendah, apabila beliau mula belajar membaca dan menulis, Cik Luo telah membaca akhbar setiap hari bersama bapanya, yang memiliki kedai percetakan.

Membaca akhbar telah lama menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Cik Luo, seorang pesara, berkata: “Akhbar adalah makanan untuk jiwa, dan jika saya terlepas membacanya sehari, saya rasa tidak sedap hati.

“Saya membelanjakan kurang daripada $100 untuk surat khabar setiap bulan. Kakak saya berkata saya membazir wang saya; saya boleh berjimat untuk perkara lain, tetapi bukan surat khabar.”

Pembaca seperti Cik Luo, yang gemar membaca akhbar berbahasa Cina atau bahasa vernakular lain, semakin berkurang.

Pembaca yang semakin tua menjadi cabaran utama yang dihadapi media vernakular kita.

Menurut perangkaan yang diperolehi ZB, umur median pembaca akhbar cetakan ZB adalah 55 tahun ke atas.

Hampir 40 peratus pembaca BH pula berumur 55 tahun dan ke atas, yang juga membentuk sebahagian besar pembacanya. Hanya 7 peratus daripadanya pembaca berumur 15 hingga 24 tahun.

Dari segi edaran, sedekad lalu, tiga akhbar Cina tempatan utama – ZB, Shin Min Daily News dan Lianhe Wanbao – menerbitkan lebih 300,000 naskhah sehari.

Selepas Lianhe Wanbao dan Shin Min Daily News bergabung pada 2021, edaran cetakan kededua akhbar Cina yang tinggal adalah kira-kira satu pertiga daripada sebelumnya.

Bagi TM pula, edarannya turun 25 peratus sejak dua tahun lalu.

Pembaca muda lebih suka berita bersaiz kecil di media sosial

Selepas kemerdekaan Singapura, dasar pendidikan bahasa telah menjalani penyesuaian, yang seterusnya mengubah persekitaran sosial kita.

Hari ini, kebanyakan murid sekolah rendah di Singapura berbahasa Inggeris di rumah.

Pada 2003, Menteri Kanan ketika itu, Encik Lee Kuan Yew, berkata dalam ucapannya di majlis makan malam ulang tahun ZB ke-80, bahawa kebimbangannya ketika menjadi Perdana Menteri adalah “bagaimana memelihara sekurang-kurangnya satu akhbar Cina bermutu dan mengekalkannya dalam jangka masa panjang, apabila trend dalam pendidikan waktu itu adalah ke arah bahasa Inggeris”.

Kebimbangannya mungkin turut melibatkan akhbar Melayu dan Tamil yang menghadapi kesulitan serupa.

Editor BH, Encik Mohd Nazry Mokhtar, 59 tahun, berkata:

“Untuk menarik pembaca muda adalah seperti berenang melawan arus, kerana mereka biasanya tidak lagi membaca surat khabar dengan cara tradisional, tetapi lebih suka membaca berita bersaiz kecil di media sosial, terutama di TikTok.”

Menurutnya, golongan muda lebih biasa membaca dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu, dan selepas mereka lulus persekolahan, mereka menjadi kurang bermotivasi untuk bercakap atau meneruskan belajar bahasa Melayu.

Beliau mempunyai tiga anak berusia antara 23 dengan 31 tahun, dan mereka semua berbahasa Inggeris kepadanya.

Pada 2021, Singapore Press Holdings (SPH) menstruktur semula dan memindahkan perniagaan medianya kepada SPH Media Trust.

Ia menjadi sebuah syarikat yang dihadkan oleh jaminan dan menggunakan hasil dan sokongan pembiayaan daripada sumber awam dan swasta untuk mengekalkan perniagaan media bermutu tinggi dan standard berita.

Dalam Penyata Kementeriannya mengenai penstrukturan semula itu di Parlimen dalam tahun yang sama, Menteri Perhubungan dan Penerangan ketika itu, S Iswaran, menegaskan bahawa tanpa pelaburan yang berterusan dalam pembangunan kapasiti dan ‘digital pivot’ (peralihan kepada digital), mutu dan peredarannya akan jatuh, dan ini seterusnya akan memburukkan lagi keadaan kewangan dan menyebabkan kehilangan pelaburan selanjutnya.

Dan tekanan serta-merta pasti akan berlaku pada akhbar vernakular kita, yang akan memberi kesan buruk yang mendalam kepada fabrik masyarakat kita yang berbilang kaum.

Atas sebab ini, pemerintah mengumumkan pada 2022 bahawa ia akan menyuntik sehingga $180 juta setiap tahun ke dalam SPH Media dalam tempoh lima tahun berikutnya untuk pelaburan dalam teknologi, bakat digital dan pembinaan kapasiti dan latihan bilik berita, khususnya dalam bilik berita vernakular.

Selepas mengambil alih sebagai Editor BH pada Jun 2023, Encik Nazry merombak akhbar tersebut.

Beliau berkata: “Produk kami tidak terhad kepada akhbar cetak atau kandungan digital.

“Sebahagian besar daripada kerja semasa kami adalah untuk menarik pembaca dan mengembangkan pengaruh kami melalui forum, bengkel dan seminar. Kerja sedemikian diketuai oleh Pasukan Audiens dan Perkembangan kami.”

Sebagai contoh, pada Mac 2024, akhbar pelajar Gen-G menganjurkan pertandingan video TikTok untuk pelajar sekolah rendah dan menengah dengan tujuan menggalakkan mereka menggunakan bahasa Melayu dengan cara yang menarik dan menyeronokkan.

Pertandingan itu menarik lebih 400 peserta pelajar dari 100 sekolah.

BH berharap dapat mendekati golongan muda berumur antara 15 dengan 34 tahun untuk menjadi pembaca akhbar itu.

Encik Nazry berkata ia perlu membangunkan kandungan unik khusus untuk akhbar berdasarkan keutamaan penonton.

Dalam proses menganjurkan acara, selain daripada memahami kehendak pembaca, BH juga mengambil peluang untuk mempromosikan produk mereka.

“Dalam jangka panjang, kehilangan pembaca muda bukanlah hasil yang tidak dapat dielakkan kerana mereka tetap berminat untuk mengekalkan identiti kaum, agama dan budaya mereka.

“Kandungan bahasa dan budaya Melayu ‘hyperlocal’ yang kami terbitkan dalam talian, seperti membincangkan asal usul nama makanan Melayu, telah mendapat perhatian golongan muda, terutamanya di Internet.”

Tingkat sumber melalui biaya pemerintah

Bagaimanapun, mengatur kegiatan dan menghasilkan kandungan digital memerlukan sumber yang amat besar.

Untuk memacu transformasi digital, pasukan editorial telah meningkatkan tenaga kerja sebanyak kira-kira 10 peratus dalam setahun kebelakangan.

Ia kini mempunyai kira-kira 60 kakitangan sepenuh masa, dengan pekerja baru memberi tumpuan utama kepada perniagaan berkaitan media sosial dan khalayaknya.

Pada tahap tertentu, perubahan ini telah memperlahankan penyusutan jumlah edaran.

BH kini menerbitkan kira-kira 13,000 naskhah sehari dan dengan 5,000 langganan digitalnya jumlah edaran akhbar itu adalah kira-kira 18,000, lebih rendah sedikit daripada 19,000 lima tahun lalu.

Dengan pembiayaan pemerintah, pasukan di ZB dan TM turut membesar.

ZB kini mempunyai lebih ramai kakitangan yang bertanggungjawab ke atas kandungan dan pengeluaran audio dan video, manakala Kumpulan Media Cina juga telah menubuhkan pasukan audiens anak muda.

Selain mempunyai pasukan sekolah ZB yang sedia ada untuk menghasilkan lebih banyak video, pada 2022, pasukan itu juga mencipta jenama media sosial HeyKaki menyasarkan pelajar pengajian tinggi dan pekerja dewasa baru berusia bawah 30 tahun.

Ia dilakukan dengan menubuhkan akaun di wadah media sosial popular untuk menerbitkan kandungan video.

Pasukan editorial dan media sosial HeyKaki sebahagian besarnya dikendalikan oleh golongan muda bawah 30 tahun.

Selepas dua tahun bekerja keras, HeyKaki kini mempunyai lebih 140,000 pengikut merentas beberapa wadah media sosial, dengan beberapa kandungan mendapat ratusan ribu ‘hits’.

Sementara itu, audiens dalam talian ZB jauh lebih muda daripada pembaca media cetak, dengan lebih separuh daripada mereka berumur di bawah 55 tahun.

Laman web dan aplikasi ZB mempunyai 1.5 juta pelawat unik di Singapura sebulan, jauh lebih banyak daripada pembaca akhbar cetakannya.

Kekuatan kakitangan TM telah meningkat daripada 30 kepada 35, di samping menerima lebih banyak sumber pembangunan teknologi.

Pada Oktober 2023, TM melancarkan aplikasi baru, yang telah memperoleh lebih daripada 20,000 muat turun setakat ini.

Mengenai kelangsungan media vernakular, Ketua Editor Kumpulan Media Cina, Cik Lee Huay Leng, 53 tahun, yang menyelia ZB, Shin Min Daily News, penerbitan pelajar dan dua stesen radio Mandarin, berkata:

“Inilah sebabnya saya fikir pembiayaan pemerintah sangat penting kepada akhbar vernakular. Jika kita bergantung harap sepenuhnya pada kuasa pasaran, ZB tidak akan bertahan sama sekali di Singapura.

“Adakah anda fikir kami mempunyai sumber untuk berubah? Malah, media digital memerlukan lebih banyak sumber.”

Dilema dapatkan bakat dan menarik pembaca

“Apabila saya memegang jawatan pada 2016, saya berkata ia adalah kerja yang sukar kerana saya perlu mencari wartawan dan juga pembaca.”

Apabila Cik Lee dinaikkan pangkat sebagai Ketua Kumpulan Media Cina SPH (pendahulu SPH Media) lapan tahun lalu, beliau sudah meramalkan “dilema” ini.

Hari ini, beliau masih berasakan bahawa mendapatkan bakat adalah cabaran terbesar yang dihadapi Media Cina, termasuk menarik wartawan muda dan mencari bakat teknologi yang sesuai.

Kata beliau: “Sekarang jarang dapat pemohon pekerjaan yang lahir dan dibesarkan di sini. Kami adalah penerima dan penilai produk sistem dwibahasa Singapura, termasuk standard bahasa Cina mereka, struktur pengetahuan dan perspektif mereka.

“Bahasa adalah keperluan asas, dan jika kita menurunkan standard bahasa kita, betapa rendahnya standard yang boleh diterima oleh pembaca? Lebih-lebih lagi, laporan berita meliputi pelbagai topik.

“Ada yang meminati sastera dan hiburan, tetapi kami juga memerlukan rakan sekerja untuk melaporkan dasar pemerintah, berita kewangan, lain-lain isu periuk nasi, juga politik antarabangsa. Tidak mudah mencari orang yang fasih menulis sekarang.”

ZB meletakkan dirinya sebagai akhbar yang melaporkan dan memerhati dunia daripada perspektif Singapura, menjadikannya lebih mencabar untuk memilih individu untuk pasukan editorialnya.

Cik Lee berkata: “Selepas Covid-19, kami menerima banyak permohonan kerja, ada antara mereka adalah pencari kerja luar negara atau mereka yang menetap di Singapura.

“Bagaimanapun, semasa temu bual, ramai daripada mereka tidak tahu banyak tentang Singapura dan sekitarnya.”

Sukar dapatkan bakat adalah masalah lumrah bagi media vernakular

Editor BH, Encik Nazry, berkata:

“Walaupun kami mampu menarik pencari kerja, mereka perlu lulus ujian bertulis sebelum ditemu duga, dan kebanyakannya tidak lulus ujian bertulis itu.

“Dalam kalangan yang lulus sekalipun, ramai yang tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih semasa temu duga.”

Untuk meningkatkan kecekapan wartawan muda, sejak awal 2024, BH telah mendapatkan rakan sekerja veteran atau editor bersara untuk mengendalikan kelas, termasuk pelajaran bahasa, untuk wartawan muda seminggu sekali.

Menurut Editor TM, Encik Raja, 61 tahun, bahasa adalah cabaran yang lebih besar bagi akhbar Tamil, berbanding akhbar Cina dan Melayu.

Ini ekoran tiada kursus ijazah sepenuh masa bagi Bahasa Tamil di sini, kurang satu sumber penting bagi mendapatkan wartawan.

Akhbar itu kini mempunyai 39 kakitangan, termasuk tujuh wartawan.

Cik Yojita Anbuchezhian, 22 tahun, yang menyertai akhbar itu pada Mac 2024, bertutur Tamil di rumah sejak muda.

Beliau lulus dari universiti di Australia, dengan pengkhususan dalam perhubungan awam dan media sosial.

Selepas tamat pengajian, beliau bekerja di sebuah syarikat perhubungan awam.

Namun, beliau tidak menggemari pekerjaan yang terikat di meja, dan kerana beliau meminati bahasa Tamil, beliau membuat keputusan untuk memohon jawatan wartawan.

Mengenai pekerjaan barunya itu, secara terus terang beliau mengatakan bahawa beliau menghadapi kesukaran pada mulanya kerana sudah jarang menulis dalam bahasa ibundanya selepas tamat peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’, namun kini sudah boleh menyesuaikan diri dengan pekerjaannya.

Beliau juga selesa bekerja dalam persekitaran yang menggunakan bahasa yang beliau kenali.

Oleh kerana kurang mahir dalam bahasa ibunda, golongan muda kebanyakannya membaca berita Inggeris

Walaupun Cik Xie Yunzhen bercakap bahasa Mandarin di rumah, beliau mengakui bahawa beliau menghadapi kesukaran membaca dalam bahasa Cina, jadi beliau biasanya hanya membaca berita Inggeris dalam talian.

Cik Xie, 26 tahun, ialah pengurus produk di sebuah syarikat bioteknologi. Kerana beliau mempunyai pelanggan dari Israel, beliau memberi lebih perhatian kepada konflik Israel-Palestin baru-baru ini, sambil turut mengikuti berita ekonomi dan sosial.

Beliau memuat turun aplikasi The Straits Times pada telefon bimbitnya dan turut menyertai Saluran Telegram beberapa wadah berita dalam talian dalam bahasa Inggeris untuk mendapatkan berita terkini.

Bagaimanapun, tidak kelihatan akhbar Cina. Katanya dengan perasaan segan:

“Saya berhenti belajar bahasa Cina selepas peperiksaan GCE peringkat ‘A ‘dan sekarang saya mengambil masa lebih lama untuk membaca dalam bahasa Cina.”

Walaupun generasi muda tidak sering membaca akhbar Cina, beliau masih berasa bahawa adalah perlu untuk mengekalkan akhbar vernakular.

Kata beliau: “Datuk sebelah ibu saya membeli senaskhah Shin Min Daily News setiap hari.

“Kepada warga emas yang tidak tahu bahasa Inggeris atau cara masuk dalam talian, akhbar bahasa Cina sangat penting.

“Walaupun selepas generasi yang lebih tua seperti datuk saya telah pergi, kita harus tetap mengekalkan persekitaran pelbagai budaya untuk generasi akan datang, walaupun edisi cetak mungkin tidak lagi diperlukan ketika itu.”

Wartawan ZB secara rawak menemu bual kira-kira tujuh orang muda di jalanan, dan kebanyakan mereka berkata mereka membaca berita Inggeris di media sosial sekali-sekala.

Pelajar politeknik, Encik Muhammad Aliff, 19 tahun, berkata beliau telah bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah dari kecil dan tidak fasih berbahasa Melayu, malah kurang mahir dalam bahasa Melayu.

Beliau biasanya tidak akan memberi perhatian khusus kepada berita, melainkan sesuatu “super major” (benar-benar tergempar) berlaku, seperti gangguan teknlogi maklumat (IT) sejagat baru-baru ini.

Wartawan turut menemu bual beberapa pembaca muda yang membaca akhbar bahasa vernakular dengan kerap.

Dipengaruhi oleh ibu bapanya dan mempunyai guru yang mengajar menggunakan laporan berita, mahasiswa, Encik Syarifuddin Azhar Rosli, 28 tahun, membiasakan dirinya membaca akhbar semasa di sekolah rendah.

Hari ini, beliau selalu membeli senaskhah BH dalam perjalanan ke sekolah.

Beliau berkata BH adalah satu-satunya penerbitan Melayu yang dibacanya, dan ia membantu beliau belajar perkataan baru, terutamanya perkataan yang muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seperti yang berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI).

Beliau juga berkata tidak seperti akhbar bahasa Inggeris, akhbar Melayu membawa lebih banyak berita tentang masyarakat Melayu.

Seperti Encik Syarifuddin, sarjana muda, Cik A Vishnu Vardni, 20 tahun, menjadi pembaca Murasu Tamil selepas beliau terjumpa akhbar itu di sekolah, dan mula melanggan akhbar itu beberapa tahun lalu.

Bapanya membaca edisi cetakan tradisional akhbar itu, sementara beliau sendiri mendapat berita melalui versi digital.

Beliau berkata guru sekolah menengahnya menggunakan laporan berita dalam akhbar untuk mengajar, malah meminta beliau dan rakan sekelasnya menyumbang artikel kepada TM.

“Selepas tamat pengajian, saya membuang buku teks saya, tetapi kebiasaan membaca surat khabar tetap bersama saya,” tambahnya.

Perkara yang paling disukainya daripada TM ialah berita tentang masyarakat dan kisah inspirasi, seperti orang India yang cemerlang berkongsi kisah kejayaan mereka, yang lebih bergema dengannya.

Artikel ini diterbitkan dalam ‘Zaobao Sunday’ pada 21 Julai 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg