Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha memelihara keharmonian kaum, agama di S’pura

Sedutan ucapan pembukaan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, semasa ‘Forum Ketegangan Kaum Tidak Melibatkan Keganasan’ di Parkroyal Collection Marina Bay pada 1 Julai. Forum itu adalah anjuran bersama Institut Pengajian Dasar (IPS) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Jul 4, 2024 | 5:30 AM
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, semasa ‘Forum Ketegangan Kaum Tidak Melibatkan Keganasan’ di Parkroyal Collection Marina Bay pada 1 Julai.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, semasa ‘Forum Ketegangan Kaum Tidak Melibatkan Keganasan’ di Parkroyal Collection Marina Bay pada 1 Julai. - Foto ST

Perkara ini sentiasa menjadi satu isu yang sangat penting bagi kita dalam konteks apa yang sedang berlaku di bahagian lain dunia sekarang ini, malah kini semakin penting.

Melihat pada pelbagai bentuk ketegangan berdasarkan kaum, kita menjangkakan akibat yang lebih serius jika isu-isu ini tidak ditangani. 

PENGALAMAN DARI NEGARA LAIN

Izinkan saya mulakan dengan contoh-contoh negara dengan ketegangan berdasarkan kaum dan perbezaan agama telah membawa kepada keganasan yang teramat sangat, tidak terkata dahsyatnya.

Anda akan lihat, dan saya rasa ini berguna bagi kita untuk memikirkan, bagaimana jika tidak terbendung, sejauh mana ini boleh menyebabkan manusia membunuh manusia lain demi kaum, agama, malah kadangkala kedua-duanya.

Ambil contoh krisis di Sudan, terutamanya di daerah Darfur, yang terletak jauh daripada pemikiran kita, dari segi geografi dan peta minda.

Daerah ini mengandungi 80 puak dan kumpulan kaum yang berlainan tinggal bersama. Secara jujur, mereka mempunyai lebih banyak persamaan antara satu sama lain berbanding kumpulan-kumpulan kaum terbesar di Singapura. Mereka juga sudah lebih lama hidup di sana, berbanding kita di sini.

Namun ketegangan kaum sudah memuncak bertahun-tahun lamanya. Dalam 20 tahun kebelakangan, perkara ini telah bertambah buruk. Pemberontak, yang tidak puas hati dengan pembahagian sumber ekonomi yang tidak sama rata, telah menyerang pemerintah mereka.

Anda akan terus melihat perkara seperti ini terjadi secara kerap kerana apabila rakyat didiskriminasi berdasarkan peluang – baik di Sri Lanka atau Myanmar, yang dekat dengan Singapura secara geografi, mahupun jauh – perkara ini tetap berlaku.

Pemerintah mereka pula bertindak balas. Sebuah kumpulan militan yang dikuasai Arab, Janjaweed, dengan sokongan Pemerintah Sudan, telah menyerang tiga komuniti puak bukan Arab di Darfur.

Mereka membunuh lebih 300,000 nyawa. Terdapat laporan pembunuhan beramai-ramai, keganasan seksual dan pemusnahan kampung-kampung.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa sudah pun mendakwa mantan Presiden Sudan ketika itu, Omar al-Bashir, atas kesalahan pembunuhan beramai-ramai.

Bergerak 20 tahun ke depan, konflik itu masih berterusan. Jutaan orang terpaksa berpindah dan kini menghadapi bahaya kebuluran. Menurut laporan dari khemah pelarian, setiap dua jam, ribuan kanak-kanak mati akibat kekurangan zat makanan.

Anda tahu, banyak lagi konflik yang mungkin kita boleh fikirkan sekarang, namun bagi situasi dan krisis di Sudan, tidak ramai yang mengalirkan air mata.

Lebih dekat dengan kita, di Myanmar, dalam ketegangan yang timbul perihal kaum dan agama, anda lihat krisis Rohingya. Jutaan penganut Islam Rohingya terpaksa berpindah. Ini bukan sedikit.

Perbalahan antara masyarakat penganut Buddha dengan Islam di wilayah Rakhine bertambah buruk selepas militan Rohingya menyerang khemah-khemah polis dan tentera pada 2017. Puluhan ribu antara mereka terkorban. Laporan yang boleh dipercayai mengatakan, terdapat juga pembakaran, hukuman mati tanpa bicara, rogol beramai-ramai, pembunuhan anak-anak kecil, dan lain-lain.

Sami Buddha yang radikal juga turut mengapi-apikan keganasan, dengan alasan mempertahankan penganut Buddha Myanmar daripada pengaruh pengislaman.

Konflik-konflik ini menunjukkan kepada kita betapa teruknya keganasan yang boleh tercetus akibat ketegangan kaum.

Kita di Singapura mungkin tidak begitu ambil peduli kerana negara-negara ini tidak sama dengan kita, dan kita hanya dapat membaca tentang pengalaman mereka, seolah-olah apa yang berlaku pada mereka tiada kena-mengena dengan kita. Namun, bagi saya sendiri, kita tidak boleh bersikap begitu.

Kita perlu bertanya, “Mengapa mereka berbeza?”. Perbezaannya cuma – kita berbeza kerana kita faham akan sebab-sebab semua masalah ini, bahawa semua isu ini boleh timbul dan apa yang boleh menjadi sebabnya, dan kita bekerja keras untuk memastikan alasan-alasan ini tidak timbul. Kita harus terus berusaha.

Terdapat satu kepercayaan ideologi hebat bahawa banyaknya perdebatan akan mewujudkan pemahaman dan toleransi. Banyaknya api akan timbulkan cahaya. Namun pada saya, dalam isu-isu seperti ini, perdebatan berterusan hanya akan menerbitkan cakapan yang lebih ekstrem.

Terdapat juga para pelaku akan datang dan mengambil peluang daripada situasi ini atas sebab-sebab tertentu, antaranya yang lazim ialah politik identiti. Anda cuba mempengaruhi orang menggunakan rasa kaum, rasa keturunan, rasa agama – ini sudah dianggap politik identiti.

Menurut tinjauan Gallup pada 2021, hanya 42 peratus rakyat Amerika – satu minoriti – berasa bahawa hubungan kaum antara kulit putih dengan kulit hitam di negara itu “agak baik atau sangat baik”. Ertinya, 58 peratus tidak berfikir sedemikian.

Kejadian jenayah kebencian yang menyasarkan orang sebab kaum, sedang meningkat. Terdapat jurang dalam masyarakat atas sebab ekonomi, dan ini lazimnya melibatkan kaum juga.

Amerika Syarikat juga sedang berdepan dengan ekstremisme sayap kanan melibatkan kepercayaan ketuanan kulit putih. Presiden Joe Biden menganggap kepercayaan ini “ancaman pengganas paling berbahaya” di Amerika Syarikat.

Di United Kingdom (UK) pula, antara April 2022 dengan Mac 2023, polis England merakamkan 145,000 jenayah sebab kebencian, dengan majoriti, 70 peratus, atas sebab perbezaan kaum.

Satu tinjauan 2023 juga mendapati lebih sepertiga orang daripada masyarakat minoriti di UK pernah mengalami penderaan fizikal atau lisan yang didorong rasa perkauman.

Jumlah kejadian anti-Semitik yang dilaporkan dikatakan lebih seganda kini, sejak konflik Israel-Hamas.

Di Perancis pula, jenayah kebencian turut meningkat. Polis mendapati terdapat hampir 9,000 menjadi mangsa salah laku kaum pada 2023. Orang asing berketurunan Afrika adalah yang paling banyak menjadi mangsa.

Salah seorang aktivis antiperkauman yang diwawancara mengatakan “perkara-perkara ini berlaku apabila anda orang Perancis tapi asal usul anda dari tempat lain. Kami tidak dianggap warga Perancis. Mereka hanya melihat pada warna kulit kami, dari mana asal kami, malah di mana kami dilahirkan Perancis”.

Di Singapura, mereka selalu bertanya, “Mengapa dalam IC (kad pengenalan) anda ada klasifikasi CMIO (Cina, Melayu, India dan lain-lain). Mengapa tidak ditiadakan saja? Pastinya, sudah tidak perlu lagi benda seperti ini?”. Saya, akan beritahu mereka bahawa saya sekarang bertanggungjawab atas dasar yang telah ditetapkan oleh orang lain.

Anda tahu, di Perancis, semua orang dianggap orang Perancis. Tiada perbezaan. Anda tidak sepatutnya mengatakan seseorang itu dari Algeria, atau dari Nice. Mereka semua orang Perancis. Namun adakah ini benar secara teori? Adakah ini bermakna tiada perbezaan dari segi kadar yang mempunyai pekerjaan, di mana anda tinggal, bagaimana anda diperlakukan dalam masyarakat? 

Bukankah lebih baik untuk memahami bahawa terdapat perbezaan, dan kemudian menanganinya dan terima hakikat bahawa kita berbeza, sambil cuba memegang identiti individu kita, tetapi pada masa yang sama, perolehi data, lihat kemajuan komuniti yang berbeza, cuba dan bawa semua orang dan pada masa yang sama, tindihkannya dengan identiti warga Singapura?

Dengan cara itu, bukankah kita lebih kuat? Jadi, orang salah faham tentang CMIO. Ia bukan untuk mewujudkan perpecahan. Ia adalah untuk membolehkan kita memahami dan menanganinya. Klasifikasi CMIO membantu kita untuk membina masyarakat yang lebih kukuh dan bersatu, mengurangkan ketegangan etnik. Saya akan menerangkannya sebentar lagi.

Beralih pula kepada Sweden, negara Nordic yang biasanya dilihat mempunyai paradigma kesaksamaan sosial dan masyarakat egalitarian: Anda lihat siri pembakaran Al-Quran yang berlaku pada 2023. Malah, mereka telah melakukannya sekian lama, termasuk satu kejadian di luar masjid.

Polis pada mulanya enggan membenarkan dua pembakaran sedemikian, tetapi kemudian, orang pergi ke mahkamah dan mahkamah Sweden menolak dakwaan polis atas dasar kebebasan bersuara. Jadi, polis Sweden terpaksa memberikan permit, dan pada satu peristiwa pembakaran seperti itu, satu rusuhan ganas meletus.

Kita lihat hujah klasik antara kebebasan bersuara dengan had kebebasan bersuara.

Di mata mahkamah, setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan pendapat mereka. Jadi kalau anda ingin menyatakan pendapat tentang Al-Quran dengan membakarnya, anda berhak.

Orang lain, orang Islam, hanya perlu menerima bahawa itu adalah pandangan anda dan mereka harus menanganinya dengan mengatakan bahawa itu adalah kebebasan bersuara.

Tetapi realitinya, sama ada anda beragama Islam atau Kristian atau Hindu, akan ada sebahagian daripada setiap komuniti ini yang akan berasa sangat kecewa dan tidak mendapati ini sebagai bentuk kebebasan bersuara yang boleh diterima.

Seorang wanita Muslim Sweden yang diwawancara akhbar, Guardian, berkata: “Kami dilahirkan dan dibesarkan di sini selama beberapa generasi, tetapi mereka tidak bercakap tentang orang Islam seolah-olah kami adalah sebahagian daripada Sweden.”

Jika kita membenarkan perkara ini berlaku dan kita mendengar orang Cina atau India membakar Al-Quran di luar masjid, dan orang Islam membakar Injil di luar gereja – kerana katanya semua ini dibenarkan di Amerika Syarikat dan dibenarkan di Sweden dan dibenarkan di banyak bahagian Eropah – pada pendapat anda, apakah akan terjadi pada hubungan kaum dan hubungan etnik kita? Bagaimanakah kita, sebagai masyarakat, berpesan antara satu sama lain untuk bertolak ansur, bersikap hormat dan harmoni, berbicara antara satu sama lain? Ia tidak mungkin.

Jadi, ideologi kebebasan bersuara telah menghalang orang daripada berfikir secara jujur, dan waras tentang bagaimana masyarakat, manusia sebenarnya berkelakuan. Seolah-olah logik digantung apabila anda melontarkan istilah ‘bebas bersuara’, maka anda boleh berhenti berfikir, dan anda hanya perlu terima ideologi.

KEKANG KEBEBASAN BERSUARA JUGA PENTING

Perkara hebat yang (Perdana Menteri Pengasas), Encik Lee Kuan Yew, lakukan ialah beliau tidak pernah membenarkan orang mengetepikan logik. Beliau memahami kelakuan sebenar manusia dalam masyarakat. Kata beliau, baiklah, Barat mungkin mengkhabarkan perkara ini. Kebebasan bersuara adalah penting tetapi mengekang kebebasan bersuara juga penting.

Apabila anda melihat keadaan di Singapura dan membandingkannya dengan apa yang berlaku di dunia maju – tanpa mengira Afrika dan beberapa bahagian lain di Asia – anda akan melihat bahawa kita adalah sangat luar biasa, satu anomali lengkap.

Dalam Tinjauan Dunia Gallup 2019, 95 peratus responden di Singapura mengatakan bahawa “Singapura adalah tempat yang baik untuk tinggal” untuk kaum dan etnik minoriti. Kita menduduki tempat pertama di seluruh dunia dari 124 negara untuk ini, walaupun 75 peratus daripada penduduk kita adalah etnik Cina.

Dalam Tinjauan Pew 2022, lebih 70 peratus rakyat Singapura merentas semua agama melihat agama lain sebagai aman. Sekarang, ini adalah satu pencapaian yang luar biasa, memandangkan berapa banyak perpecahan agama berlaku di seluruh dunia. Ia juga luar biasa kerana Pew, dalam tinjauan lain, meletakkan Singapura sebagai salah satu tempat yang paling beragam agama di dunia.

Jadi fikirkan – kita semua tinggal bersesak-sesak di tempat yang padat, padat bersama-sama, tempat yang kecil, di salah satu tempat yang paling pelbagai agama di dunia, pelbagai etnik dengan satu etnik dominan, namun golongan minoriti, agama yang berbeza, mazhab, kumpulan, semua berfikir bahawa kita aman, dan mereka bukan sahaja menyangka kita aman, kita juga agak aman dan harmoni.

Jadi mengapa kita satu anomali (janggal)? Sudah tentu bukan secara kebetulan. Dan bagaimana kita anggap keadaan ini sebagai perkara biasa bagi kita – yang sama sekali tidak normal di tempat lain? Kerana kita mempunyai toleransi hampir sifar untuk ucapan kebencian dan menyinggung perasaan.

Biar saya berikan satu ilustrasi sahaja. Sebahagian daripada anda akan mengingati kejadian seorang bekas pensyarah Politeknik Ngee Ann berhadapan dengan pasangan bercampur kaum – lelaki India dengan seorang wanita Asia Timur. Video itu menjadi viral – dia didakwa, dia masuk penjara, dia kehilangan pekerjaan. Di Singapura, inilah akibatnya.

Di mana-mana bandar lain di dunia, ia hanya satu perkara biasa, di luar setiap kedai minum dan di tempat orang berjalan. Anda yang tinggal di Amerika atau London, dan tinggal di sana untuk beberapa lama akan tahu. Anda akan disambar dengan cara itu hanya kerana warna kulit anda berbeza.

Perkara lain ialah, di sini, bilangan kejadian sedemikian masih kecil, jika kita mengambil laporan polis sebagai proksi untuk perasaan orang dan sama ada mereka berasakan mereka telah didera.

Sepanjang lima tahun lepas, terdapat 199 kes yang dilaporkan berkaitan kaum dan agama. Jadi kira-kira 40 kes setahun. Kita mempunyai kira-kira 1.2, 1.3 juta isi rumah, dengan kira-kira satu juta tinggal dalam isi rumah HDB (Lembaga Perumahan dan Pembangunan).

Jadi dalam keadaan kehidupan yang agak sesak, berpotensi besar untuk berlaku perselisihan, ketidakharmonian dan pergeseran. Dan anda mempunyai 40 kes setahun. Buat kiraan sendiri – 40 lebih berbanding satu juta atau lebih, jika kita tidak termasuk mereka yang tinggal di rumah privet, di mana orang ramai lebih tertutup. Jadi, bagaimanakah kita dapat mengelakkan masalah yang anda lihat di tempat lain? 

Saya akan menerangkannya sebagai dua bahagian besar. Pertama, satu, rangka kerja undang-undang kita. Kedua, selain daripada rangka kerja undang-undang, cara kita menangani pembangunan dan pendekatan ekonomi sosial terhadap kaum dan agama.

Pertama, pada rangka kerja undang-undang, ia telah disokong oleh falsafah yang mudah. Dan itulah yang dikatakan oleh Encik Lee, pada hari kita negara berdaulat. Dan saya sebut – kebanyakan anda tahu petikan ini – “Kita akan mempunyai negara berbilang kaum di Singapura. Kita akan tunjukkan contoh. Ini bukan bangsa Cina, bukan bangsa Melayu, bukan bangsa India.”

Jadi falsafah asas ini diluahkan sendiri dengan pemahaman Encik Lee sendiri, bahawa manusia cenderung kepada keganasan, jika tidak dikawal – kadang-kadang, bukan semua. Kebanyakan orang bijak, tetapi akan sentiasa ada orang yang cenderung kepada keganasan, sama ada atas sebab jenayah atau sebab lain.

Jadi kita komited untuk menjadi negara berbilang kaum, berbilang agama, dan melayan setiap kaum sama rata. Idea asas Singapura itulah yang mendorong kita dalam melakar kebanyakan dasar kita hari ini.

Jadi berbalik kepada rangka kerja undang-undang, perlembagaan memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang, berhak mendapat perlindungan yang sama di bawah undang-undang.

Tanggungjawab pemerintah untuk menjaga kepentingan kaum minoriti termaktub dalam perlembagaan. Kita juga mempunyai Majlis Presiden untuk Hak Minoriti, yang memantau setiap Rang Undang-undang yang diluluskan di Parlimen, untuk memastikan tiada diskriminasi terhadap mana-mana masyarakat kaum atau agama.

Dan, anda tahu, jika anda melihat di tempat kerja, kita juga mengukuhkan undang-undang rangka kerja untuk mencegah diskriminasi.

UNDANG-UNDANG DI SINGAPURA

Hari ini, apa yang kita ada ialah Garis Panduan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil, majikan mesti mengambil dan memilih pekerja berdasarkan merit. Kita memperkukuhkan ini dengan memperkenalkan undang-undang, yang akan dipanggil undang-undang keadilan di tempat kerja. Ia menandakan bahawa diskriminasi pekerjaan mengikut garis etnik atau agama tidak boleh diterima. Jika majikan melanggarnya, akan ada akibatnya.

Sudah tentu, kita mempunyai satu set undang-undang yang tegas terhadap hasutan kebencian kaum dan agama, termasuk pendekatan tegas terhadap ucapan kebencian. Saya bercakap tentang pensyarah tadi. Saya akan berikan satu lagi contoh: Seorang lelaki Cina yang melukis grafiti di stesen MRT, dan dia menulis sesuatu seperti “Malay Mati”. Grafiti sebegitu ada dalam banyak tempat di dunia. Dia didakwa, dia dihantar ke penjara, dan dia dirotan atas perbuatannya. Hanya di Singapura.

Bukan semua ini orang Cina. Seorang lelaki Melayu didakwa – dia berpura-pura sebagai seorang gadis Cina dan memberi amaran kepada semua wanita Cina supaya berhati-hati dengan lelaki berkulit lebih gelap, terutama orang India. Polis menyiasat, mereka menemui lelaki ini, dan dia juga masuk penjara. Orang India juga ada yang didakwa. Jadi walau siapa pun, kita “buta warna”.

Bagi kebanyakan kita, sama ada kita mempunyai undang-undang atau tidak, kita tidak memerlukan undang-undang ini untuk menghindari ucapan kebencian. Tetapi jika anda tiada undang-undang ini, akan ada orang yang berbuat begitu – minoriti kecil – dan akhirnya mereka akan menyebabkan meningkatnya kes seperti ini, seperti yang anda lihat di Eropah.

Apa yang bermula sebagai sudut pandangan yang melampau, perlahan-lahan mengumpulkan momentum akibat salah langkah pemerintah – sayap kanan, sayap kiri – mengenai imigresen, bagaimana mereka menyepadukan pendatang dan minoriti. Dari masa ke masa, anda melihat bagaimana parti yang dipanggil sayap kanan telah membangunkan kekuatan luar biasa, pada asasnya, atas pelbagai faktor, termasuk sentimen antiimigresen dan antiminoriti.

Sejak 1990 kita telah mengadakan Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum (MHRA), yang memperuntukkan kuasa mengekalkan keharmonian agama di Singapura. Ia telah dipinda oleh saya pada 2019 untuk bertindak balas dengan lebih berkesan kepada insiden, yang boleh menjejas keharmonian agama.

Di bawah MHRA, kami mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Perintah Sekatan terhadap, misalnya, ulama yang terlibat dalam ucapan seperti ini pada mulanya.

Cara ia berfungsi, sebagai contoh, apabila seorang paderi Kristian ke YouTube untuk mengatakan beberapa perkara tentang penganut Buddha dan Tao – dia berkata penganut Buddha dan semua ini khurafat dan sebagainya. Dia minum kopi dengan ISD (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri) dan selepas itu, dia meminta maaf. Tidak berlaku apa-apa lagi.

Dalam tempoh 34 tahun kita mempunyai Akta Mengekalkan Keharmonian Agama, kita telah berjaya bertindak, kuasa besar, kita tidak pernah perlu menggunakannya. Tiada siapa yang terjebak dengannya. Dan itu, saya fikir, adalah keindahan rangka kerja. Dan cara kami menguruskannya. Kadang-kadang, mereka akan berbual – orang faham, mereka berundur, dan mereka katakan, “Baiklah, Singapura berbeza, kami tidak akan membincangkan perkara ini”.

Jadi, perkara ini ialah: anda boleh percaya bahawa dalam masyarakat, anda boleh menyerahkannya kepada orang ramai untuk menahan diri, berkelakuan baik, melayan satu sama lain, termasuk orang yang berbeza etnik dan agama, dengan beradab dan berbudi bahasa. 

Dan itu sebahagian besarnya benar bagi majoriti besar dalam setiap masyarakat. Tetapi di sana akan sentiasa ada sebahagian minoriti yang akan berniat jahat terhadap orang yang mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Jika anda tidak menangani mereka menggunakan undang-undang, lambat-laun, ramai lagi yang akan terlibat.

Biar saya rujuk kepada Myanmar sekali lagi. Sebelum kemuncak konflik pada 2017, naratif anti-Rohingya membanjiri Facebook, Twitter, dan berita dalam talian dan luar talian yang lain.

Pemimpin salah satu gerakan, seorang sami Buddha, menggelar masjid sebagai “pangkalan musuh”. Mereka menggesa penganut Buddha memboikot perniagaan Islam dan perkahwinan antara agama. Saya telah bercakap tentang skala keganasan yang telah berlaku. Di Singapura, kita tidak menghadapi isu seperti ini. Dan apabila kita melihat sesuatu, kita mengambil tindakan.

Satu contoh – trend yang sedikit membimbangkan – ialah kami mengeluarkan Perintah Sekatan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri tahun ini (2024) terhadap seorang budak lelaki berusia 16 tahun. 

Dia berbangsa Cina, tetapi mengenalkan dirinya sebagai ‘white supremacist’ (keagungan kulit putih). Dia pernah terdedah kepada bahan ganas, pelampau sayap kanan dalam talian pada 2022. Dalam masa setahun, dalam dirinya timbul kebencian yang mendalam terhadap orang Afrika-Amerika dan Arab.

Ini adalah kesan Internet – ia bukan seolah-olah kita mempunyai masyarakat Afrika-Amerika atau Arab yang yang besar di Singapura. Tetapi dia melihatnya dalam talian, dia terpengaruh, dia mula percaya bahawa mereka harus dihalau dari negara majoriti kulit putih. Dia juga merancang mahu melakukan tembakan beramai-ramai di Amerika dalam beberapa tahun.

Saya telah menetapkan beberapa rangka kerja undang-undang yang kita ada. Tetapi saya kata bahawa ada dua bahagian kepada strategi kita. Satu ialah rangka kerja undang-undang, tetapi undang-undang hanya boleh memberitahu anda apa yang anda boleh atau tidak boleh lakukan. 

Anda memerlukan undang-undang, tetapi itu hanya satu bahagian. Undang-undang memberitahu anda apa yang anda tidak boleh lakukan. Ia memastikan orang berada dalam rangka tertentu.

Tetapi dalam rangka kerja itu, sebaik sahaja anda meletakkan orang dalam rangka kerja itu, anda sebenarnya perlu melakukan lebih banyak perkara untuk membuat orang hidup bersama satu sama lain, dengan cara yang positif.

Itulah pendekatan kita terhadap pembangunan sosial dan juga pembangunan ekonomi 101. Persamaan peluang, tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama, adalah asas. Jika orang percaya bahawa mereka telah diketepikan daripada sistem kerana warna kulit atau agama mereka, mereka akhirnya akan mengalami masalah. 

Itu meletakkan kita pada laluan yang sangat berbeza daripada banyak negara lain, dengan begitu banyak ekonomi dan kehidupan sosial teratur dan berdasarkan beberapa bentuk hierarki etnik.

Pemerintah boleh mengambil jalan mudah dan merayu kepada 75 peratus daripada penduduk. Di kebanyakan negara perkara itu akan berlaku, dan itulah yang berlaku. Tetapi syukur, kami tidak mengikut jalan itu. Secara berasingan, kita juga banyak campur tangan untuk memastikan perpaduan sosial. Kita campur tangan dengan cara yang tidak boleh diterima di banyak negara lain dengan lebih santai (laissez faire).

Tetapi kami enggan mengambil pendekatan tanpa campur tangan terhadap hubungan etnik yang anda lihat di tempat lain. Walaupun kita komited kepada kesaksamaan, saya katakan tadi, kita tidak “buta kaum”.

Satu contoh ialah Dasar Integrasi Kaum di estet perumahan awam kita.

Kita mungkin satu-satunya pemerintah di dunia yang mempunyai dasar untuk memastikan bahawa setiap estet perlu mempunyai peratusan tertentu Melayu, India dan Cina. Supaya anda tidak mendapat enklaf etnik, dan tiada kawasan ghetto.

Jika pemerintah menyerahkannya kepada kuasa pasaran, walaupun di perumahan awam, apa yang anda akan lihat? Anda akan melihat tempat seperti Ang Mo Kio, Bishan, lebih banyak lagi flat mahal – ia akan menjadi 90 peratus atau 95 peratus Cina.

Dan kemudian kita akan melihat orang Melayu berkumpul di beberapa kawasan, orang India terkumpul di beberapa kawasan. Dan mereka hanya akan boleh jual kepada orang India lain, dan hanya boleh jual kepada orang Melayu lain.

Jadi ini akan menjadi punca semula jadi kejadian, anda tahu ini adalah benar. Namun kita tidak mengikuti cara itu, walau bertentangan dengan politik. Kita sudah lama mempunyai peraturan sebegitu, apabila bilangan Melayu di mana-mana estet jatuh di bawah peratusan tertentu, kita hanya membenarkan orang Melayu menjual kepada Melayu lain, bukan Cina.

Orang Melayu ketika itu yang hendak menjual flat berasa terkilan, kerana jika dia menjual pada orang Cina, dia akan dapat harga lebih tinggi. Jika dia menjual kepada orang Melayu, dia akan dapat harga lebih rendah. Jadi, baginya, lebih baik kita benarkan dia menjual kepada orang Cina. Tetapi untuk masyarakat Melayu keseluruhannya, adakah ia baik? Itulah maksudnya. Tetapi orang salah faham tentang itu, dan mengatakan bahawa ini bertentangan dengan hak minoriti.

Di peringkat masyarakat, terdapat kumpulan keharmonian kaum dan agama dalam setiap kawasan pilihan raya.

Mereka membawa pemimpin daripada masyarakat etnik dan agama yang berbeza bersama-sama untuk menganjurkan aktiviti bersama untuk rakyat Singapura, membina kepercayaan bersama, dan sebagainya, walaupun tanpa kebanyakan rakyat Singapura memahami atau menyedari akar umbi jawatankuasa perundingan rakyat, komuniti penduduk, setiap minggu di seluruh Singapura.

Beratus-ratus acara dianjurkan merentasi kawasan pilihan raya untuk menghubungkan orang ramai pelbagai etnik bersama-sama, meraikan perayaan masing-masing. Kadang-kadang mereka bukan meraikan perayaan, kita ada acara besar. Tapi anda nampak muka Melayu saja, muka Cina, nampak muka India. Dan, anda lihat penganjur juga berbilang etnik, jadi ia melibatkan beribu-ribu orang yang disatukan.

Jika kita tidak berbuat begini, apa yang akan terjadi? Orang akan berundur ke dalam keluarga mereka sendiri, dan mungkin dengan orang yang mereka selesa dengannya, yang biasanya mengikut garis etnik.

Jadi apabila orang melakukan sesuatu bersama-sama, setiap minggu, mereka bertemu, meraikan perayaan masing-masing, anda akan mendapat penghargaan lebih tinggi untuk orang lain dan anda mengurangkan potensi permusuhan.

Pendekatan kita telah berfungsi dengan baik setakat ini. Tetapi saya akan menjemput forum ini untuk mempertimbangkan jika terdapat faktor lain yang boleh memburukkan lagi ancaman etnik permusuhan dan mencabar pendekatan kita.

Cabaran Masa Depan

Biar saya nyatakan dua faktor yang saya rasa kita patut fikirkan. Yang pertama – kesan teknologi dan media sosial.

Dalam talian, ucapan kebencian boleh merebak dengan lebih pantas dan mendapat tontonan lebih luas daripada sebelum ini. Terdapat juga maklumat yang salah secara meluas dalam ruang dalam talian termasuk kempen maklumat kebencian daripada pelaku asing. Kempen bermusuhan boleh menarik minat lebih besar melibatkan identiti agama, kaum dan boleh mempengaruhi orang ramai supaya mendiskriminasi kaum lain. 

Bagaimanakah ia boleh menjejaskan struktur sosial kita? Jelas sekali, kita adalah masyarakat yang sangat terbuka dan celik digital. Teknologi sudah meresap dalam kehidupan kita. Ramai anak muda Singapura menghabiskan lebih banyak masa dalam talian di media sosial daripada berinteraksi dengan masyarakat mereka dan jiran tetangga.

Ini  fenomena di seluruh dunia. Sepatutnya kita bertanya pada diri sendiri, bagaimana pandangan mereka terhadap dunia, dan nilai mereka dibentuk oleh apa yang mereka lihat dalam talian? Apakah akibat yang mungkin ada untuk fabrik sosial kita?

Faktor kedua adalah reaksi berbeza terhadap konflik di luar Singapura. Kumpulan etnik yang berbeza cenderung untuk bertindak balas dengan cara yang berbeza, dan perbezaan tersebut juga boleh dieksploitasi untuk mencetuskan permusuhan etnik. Dan ini sering diperkuatkan oleh orang yang melanggan sumber maklumat yang berbeza, ruang gema mereka sendiri, berdasarkan simpati dan pertalian mereka sendiri.

Ambil konflik Russia-Ukraine. Bagi kebanyakan kita, faktanya jelas. Penceroboh ialah Russia. Mangsa ialah Ukraine.

Sebab sejarah yang lebih besar dan sebagainya, saya ada membuat ucapan dan lain-lain telah membuat ucapan. Boleh jadi ada perbezaan pendapat pada mereka. Tetapi fakta sebenar tentang siapa yang menceroboh yang saya fikir tidak dapat dipertikaikan.

Tetapi, anda tahu, terdapat banyak negara di mana fakta itu tidak diterima sebagai fakta. Di sana ada ramai orang di seluruh dunia yang percaya bahawa Ukraine menyerang Russia. Dan di sana ada orang di Singapura yang percaya begitu juga, bergantung kepada sumber berita mereka.

Pada masa yang sama, anda melihat konflik Israel-Hamas. Terdapat juga perbezaan tindak balas mengikut garis etnik.

Ini adalah isu yang sangat emosional bagi ramai orang, tetapi tinjauan kami menunjukkan bahawa terdapat kesedaran, minat yang tinggi, tetapi bukan semua kumpulan yang sama mendalam perasaan mereka.

Masyarakat Melayu Islam amat terharu dengan konflik ini dan mereka mempunyai pandangan yang lebih terkesan berbanding yang lain dari Singapura.

Dan saya tidak ragu-ragu mengatakan mungkin akan ada beberapa isu yang melibatkan India pada masa hadapan, masyarakat India di Singapura, warga Singapura akan mengambil pandangan yang agak berbeza daripada masyarakat lain. Ini adalah fakta kehidupan. Ini tidak akan pernah hilang.

Dan sebagai orang dewasa, lebih baik untuk kita menerima hakikat yang ia wujud, bertindak menanganinya. Daripada hanya percaya beberapa perkara yang anda baca – “Oh, kami kini semua rakyat Singapura dan anda tahu, kita semua bertindak balas dengan cara yang sama. Hapuskan CMIO, anda tidak memerlukan kumpulan bantu diri berdasarkan etnik.” Dan kita semua akan bertindak balas dengan emosi, terhadap semua konflik di luar dan konflik di dalam.

Jadi, tidak ada jawapan yang mudah untuk persoalan-persoalan ini, tetapi saya harap ia akan menjadi subjek beberapa perbincangan dalam forum ini dan forum lain.

Pemerintah akan terus menjalankan peranannya. Kami akan terus melihat jika ada apa-apa yang diperlukan lagi, dan di mana undang-undang perlu diubah. Kami akan mengubah dan memperjelaskannya.

Dan kami akan terus melihat dasar sosial kita tetapi kami tidak boleh melakukannya sendiri, tanpa arus perdana masyarakat, termasuk golongan cerdik pandai, termasuk ahli akademik. Semua orang berkumpul dan memikirkan perkara ini dan berbincang dengan jujur dan secara waras.

Sejak 1990 kita telah mengadakan Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum (MHRA), yang memperuntukkan kuasa untuk mengekalkan keharmonian agama di Singapura. Ia telah dipinda oleh saya pada 2019 untuk bertindak balas dengan lebih berkesan kepada insiden, yang boleh menjejas keharmonian agama. Di bawah MHRA, kami mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Perintah Sekatan...
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg