Singapura mengambil pendekatan proaktif dan akan “campur tangan” untuk memastikan perpaduan negara dapat dikekalkan, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.
Ini kerana isu bersangkutan kaum dan agama bukanlah sesuatu yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya tanpa akibat.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Forum Ketegangan Kaum Tidak Melibatkan Keganasan di Parkroyal Collection Marina Bay pada 1 Julai.
Menurut sinopsis acara, forum sepenuh hari anjuran bersama Institut Kajian Dasar (IPS) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) itu menjadi wadah untuk membincangkan isu-isu bersangkutan ketegangan kaum yang tidak melibatkan keganasan – seperti diskriminasi dan ucapan berbaur perkauman – terkait dengan rantau Asia-Pasifik.
Ia dihadiri hampir 200 peserta yang terdiri daripada cendekiawan, pemimpin masyarakat dan penggubal dasar, antara lain.
Semasa berucap, Encik Shanmugam merungkaikan pengalaman negara lain menangani ketegangan perkauman dan menggariskan pendekatan Singapura serta cabaran yang bakal dihadapi negara ini pada masa hadapan.
Beliau berkongsi bahawa sekiranya sebilangan kecil individu dalam masyarakat bertindak mewujudkan ketegangan antara kaum dan tidak ditangani di sisi undang-undang, ia bakal membuka jalan bagi lebih ramai individu untuk bertindak sedemikian.
Ini meskipun golongan sedemikian membentuk sebilangan kecil atau golongan minoriti, ia “sudah memadai untuk menyebabkan berlakunya polarisasi di kalangan masyarakat” dan mengundang keganasan.
Beliau berkata: “Dalam negara kecil seperti Singapura, apabila hal tersebut (golongan minoriti mewujudkan ketegangan) berlaku, sebahagian besar golongan masyarakat akan terjejas.
“Apabila sesetengah individu berulang kali terdedah kepada ucapan berunsur kebencian, prasangka terpendam dan berat sebelah boleh terhasil, dan akhirnya mencetuskan keganasan.”
Beliau menukil contoh konflik di Myanmar, dengan naratif anti-Rohingya memenuhi ruangan media sosial dan sumber berita di sana apabila konflik tersebut meletus pada 2019.
Itulah sebabnya Singapura mengambil pendekatan proaktif melalui rangka kerja undang-undang dan dasar sosial, antara lain.
Encik Shanmugam mengetengahkan Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum (MHRA), dan dasar sosial seperti klasifikasi Cina, Melayu, India dan Lain (CMIO) dalam kad pengenalan sebagai pendekatan proaktif yang dilaksanakan pemerintah.
Di bawah MHRA, Perintah Larangan (RO) boleh dikeluarkan kepada individu yang menggugat keharmonian kaum tetapi sejak diperkenalkan pada 1990, tiada individu yang disabit kesalahan di bawah akta itu, ujar beliau.
Menyentuh berkenaan klasifikasi CMIO, beliau akur sungguhpun ada desakan untuk memansuhkannya, ia dilakukan untuk membantu Singapura “membina masyarakat lebih kukuh dan bersatu”.
“Adakah ia lebih baik untuk memahami bahawa terdapatnya perbezaan dan kemudiannya menangani perbezaan tersebut… mendapatkan data dan melihat perkembangan kaum berbeza serta cuba mempertingkatkan segenap kaum serta pada masa yang sama, menyisipkan identiti warga Singapura,” tambah beliau.
Pendekatan sedemikian perlu di kala Singapura mengharungi cabaran pada masa hadapan yang lebih getir.
Salah satu cabaran yang beliau gariskan adalah dari segi teknologi dan media sosial, dengan ucapan berbaur kebencian dan diskriminasi terhadap kaum berbeza dalam ruang dalam talian, antara lain, menjadi semakin rencam.
Ditambah pula dengan reaksi berbeza terhadap konflik yang berlaku di luar Singapura, di mana kaum lain lebih cenderung memberikan tindak balas berlainan, hal-hal sedemikian akan memberi impak ketara terhadap fabrik sosial Singapura, katanya.
Ini memandangkan Singapura adalah “masyarakat yang sangat terbuka (dan) celik digital”, dengan “teknologi mempengaruhi kehidupan”.
“Kini, ucapan berunsur kebencian dalam talian boleh tersebar dengan lebih pantas dan menjangkau khalayak lebih luas.
“Terdapat juga maklumat palsu yang wujud di ruang dalam talian termasuk maklumat berunsur mewujudkan ketegangan oleh negara atau pelaku asing.
“Kempen yang dapat mewujudkan ketegangan ini boleh menarik perhatian kaum atau pengikut agama yang lebih besar dan boleh mengolah pemikiran seseorang untuk mendiskriminasikan kaum lain,” jelas Encik Shanmugam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg