Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Wajarkah ibu bapa banjiri anak dengan perhatian?

Jul 09, 2023 | 05:30 AM



Ibu bapa hari ini meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak mereka berbanding sebelum ini.

Namun, pada masa yang sama, mereka lebih bimbang daripada generasi sebelumnya tentang sama ada mereka telah melakukan secukupnya.

Mereka percaya kurangnya penglibatan dengan anak-anak boleh menjejas kejayaan dan kesejahteraan masa depan mereka.

Namun, ini boleh memberi kesan negatif.

Tekanan sosial yang meningkat ke atas golongan ibu untuk mendekatkan diri dan terlibat dengan anak-anak mereka, berbanding dengan golongan bapa, memberi kesan negatif kepada kesejahteraan ibu.

Pandemik Covid-19 dan persekolahan di rumah telah menambah tekanan sosial ini.

Ia menimbulkan persoalan penting: Berapa banyak perhatian yang dianggap mencukupi? Adakah berbahaya untuk membiarkan anak menggunakan alat teknologi mereka sendiri? Bolehkah anda tidak menghiraukan anak-anak? Atau, sebaliknya, bolehkah anda terlalu terlibat dengan kehidupan anak anda?

Seperti yang biasa dalam perkembangan kanak-kanak, jawapannya terletak di tengah-tengah.

Kami tahu bahawa pendekatan keibubapaan yang menyokong adalah penting demi perkembangan kanak-kanak.

Teori ikatan kasih sayang bertaut menyatakan apabila ibu bapa atau penjaga utama dapat memenuhi keperluan bayi dengan cara konsisten, bayi lebih berkemungkinan dapat terus menjalin keterikatan yang selamat kepada individu itu.

Ini membantu anak itu berasa lebih yakin pada diri sendiri dan dunia, sekali gus membawa kepada perkembangan kognitif, sosial dan emosi yang lebih positif.

Namun, meskipun keterikatan selamat adalah penting, tahap keprihatinan yang semakin meningkat tidak semestinya menambahkan rasa selamat itu.

Sebaliknya, adalah penting untuk mempertimbangkan dengan teliti tahap penglibatan.

Ini boleh dilakukan dengan cara mengimbanginya dengan menyokong kanak-kanak mencapai tahap daya tahan dan sifat berdikari yang sesuai.

Satu bukti yang selalu diketengahkan apabila keterikatan dibincangkan ialah penyelidikan tentang hasil kanak-kanak yang ditempatkan di rumah anak yatim Romania.

Kanak-kanak ini tiada interaksi, kasih sayang dan penjagaan dan tiada peluang untuk menjalin ikatan yang selamat.

Kajian perkembangan mereka pada usia kemudiannya mendapati tahap pembangunan fizikal, kognitif dan sosial mereka lebih lemah.

Hasil kajian ini penting, ia jauh daripada spektrum penglibatan ibu bapa yang kebanyakan orang tua kini bimbangi.

Penyelidikan yang memeriksa hubungan antara ibu bapa dengan anak yang lebih tipikal mendapati bahawa, benar, apabila ibu dan bapa lebih terhubung dan terlibat dengan anak-anak, hasil sosial dan emosi mereka bertambah baik.

Bercakap dan membaca kepada kanak-kanak pada tahun-tahun awal mereka amat penting untuk kemahiran bahasa dan literasi.

Mendengar dan menyokong kanak-kanak untuk memahami dan belajar mengawal emosi mereka sendiri juga penting demi kesejahteraan emosi dan sosial pada usia seterusnya.

Rasa ingin tahu, keyakinan dan narsisisme


Sebaliknya, kanak-kanak juga memerlukan ruang untuk pertumbuhan dan perkembangan mereka sendiri.

Pendekatan yang terlalu intensif atau ‘helikopter’, dengan ibu bapa enggan membiarkan anak menjalankan kegiatan sendiri sebenarnya boleh meningkatkan risiko keresahan dan kemahiran mengatasi masalah yang lebih lemah apabila anak itu meningkat remaja dan mencapai usia dewasa.

Ini kerana kanak-kanak belajar melalui kesilapan, mengambil risiko kecil yang bersesuaian dengan umur semasa bermain dan mempunyai peluang untuk menentukan kegiatan mana yang mereka akan lakukan.

Ini membina kecekapan dan sifat autonomi. Kebosanan yang sederhana turut menggalak permainan aktif dan kreatif. Ia membawa banyak hasil positif ke arah perkembangan fizikal, kognitif dan sosial, serta dikaitkan dengan peningkatan rasa ingin tahu.

Sebaliknya, apabila hari kanak-kanak dikawal dan laluan hidup mereka sentiasa lancar, mereka boleh menghadapi cabaran dalam membangunkan kemahiran mengatasi masalah dan daya tahan yang diperlukan dalam kehidupan seharian.

Dan walaupun perhatian mungkin dilihat akan dapat meningkatkan keyakinan, terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa apabila ibu bapa terlalu memberi tumpuan kepada anak-anak mereka – menjalankan kehidupan mereka, sentiasa mengesahkan mereka dan memberi tekanan hebat kepada mereka untuk memberikan prestasi baik – ini boleh meningkatkan sifat narsistik (minat atau kagum yang berlebihan terhadap diri sendiri) dalam diri kanak-kanak apabila mereka mencapai usia dewasa.

Ubah dan sesuaikan diri


Tahap penglibatan yang diperlukan kanak-kanak juga secara semula jadi berubah dari masa ke masa.

Bayi dan kanak-kanak berkembang secara fizikal dan emosi sedang mereka membesar.

Kemahiran keibubapaan yang disesuaikan mengikut perubahan ini biasanya dikaitkan dengan hasil yang lebih baik.

Tidak masuk akal untuk meninggalkan bayi yang tidak mempunyai keupayaan untuk menyokong diri sendiri bagi tempoh berpanjangan demi “menggalakkan mereka berdikari”.

Ini sebaliknya berkemungkinan meningkatkan tahap hormon tekanan dalam otak muda yang sedang berkembang.

Namun, langkah memberitahu anak praremaja bahawa mereka perlu menghiburkan diri sendiri di petang hari (di rumah) akan menyokong pertumbuhan mereka.

Ini membawa kepada konsep gembira di tengah-tengah (cara bertindak atau berfikir yang tidak melampau) dan salah seorang pakar pediatrik abad ke-20 kegemaran saya – Dr Donald Winnicott dan konsepnya tentang “ibu yang cukup baik”.

Dr Winnicott menghabiskan masa bertahun-tahun memerhatikan ibu dan bayi lalu membuat kesimpulan bahawa adalah satu perkara baik jika si ibu kadangkala tidak dapat memenuhi keperluan bayi dengan segera dan sempurna.

Meskipun beliau percaya bahawa memberi respons terhadap keperluan bayi adalah penting, beliau juga percaya bahawa kadangkala, jika bayi perlu menunggu sedikit kerana si ibu sedang menyelesaikan perkara lain, akan membantu bayi belajar bahawa walaupun mereka disayangi dan dijaga, dunia bukanlah tempat yang sempurna.

Teori ini telah diterokai selama bertahun-tahun dan ditulis secara meluas dari segi “kemahiran keibubapaan yang cukup baik”, yang pada asasnya menyokong konsep gembira di tengah-tengah.

Akhir sekali, satu kajian yang menarik melihat pada tekanan yang dirasakan ibu bapa untuk meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak mereka, dan berapa banyak masa yang sebenarnya diluangkan untuk membaca, bersukan atau menonton televisyen bersama.

Anehnya, tiada hubungan ketara antara ibu bapa yang paling rasakan tekanan dengan yang paling kurang rasakan tekanan.

Ini menunjukkan bahawa tidak kira berapa banyak masa yang anda luangkan bersama anak anda, perasaan itu tidak boleh benar-benar lenyap.

Mungkin itulah pengajaran yang paling penting.

Sebilangan besar ibu bapa melakukan secukupnya (dan jika anda bimbang tentangnya, kemungkinan besar anda melakukan secukupnya).

Sebaliknya, perasaan itu didorong oleh penghakiman sosial terhadap semua perkara yang berkaitan dengan keibubapaan.

Marilah kita mencabarnya, daripada menghabiskan semua tenaga untuk rasa bimbang sama ada anak-anak kita mendapat perhatian mencukupi.

Amy Brown ialah profesor kesihatan awam kanak-kanak di Universiti Swansea di Britain. Artikel ini kali pertama diterbitkan dalam laman The Conversation.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >