Wakaf kolektif yang dibentuk hasil sumbangan masyarakat Islam setempat bukan sekadar menyediakan dana bagi menyokong keperluan sedia ada, malah mendorong individu yang menyumbang membiasakan diri dengan amalan yang lebih baik.
Ini termasuk dengan memupuk rasa tanggungjawab sosial dan juga mendorong individu untuk berpandangan jauh.
Dengan melibatkan diri dalam pemberian terancang seperti wakaf, individu dapat meninggalkan kesan berpanjangan terhadap kehidupan orang lain, menurut Timbalan Mufti, Ustaz Dr Izal Mustaffa Kamar.
Ini di samping meraih faedah untuk diri sendiri dan orang yang mereka sayangi semasa hidup dan juga di akhirat.
“Kebiasaan berfikir jauh ke hadapan ini menggalak umat Islam merancang lebih awal, memastikan sumbangan mereka menyokong perkhidmatan penting, seperti pendidikan, pembangunan institusi agama dan asatizah.
“Dengan menyerlahkan komitmen terhadap menjaga kesejahteraan orang lain, seorang Muslim bukan hanya memenuhi kewajiban agamanya tetapi juga berpeluang memperbaiki iman, mengukuhkan niat dan semangat kemasyarakatan,” tambah Ustaz Dr Izal.
Demikian menurut Ustaz Dr Izal dalam menjelaskan bagaimana wakaf dapat memenuhi salah satu tanggungjawab agama kita.
Lantaran itu, masyarakat Islam dialu-alukan membuat sumbangan wakaf kepada Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) menerusi laman wakaf.sg.
Mereka ada pilihan untuk membuat sumbangan sekarang atau pada masa depan.
Mereka boleh menyumbang secara langsung kepada WMS secara tunai dari $10 hingga $1,000 sekali sahaja, secara bulanan atau tahunan menerusi laman itu, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Mereka yang mahu menyumbang bagi masa depan boleh dilakukan dengan menamakan Muis atau WMS sebagai calon dalam penamaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) atau bayaran insurans masing-masing.
WMS pertama kali diperkenal pada 2020, dilancarkan secara rasmi oleh Muis pada 3 Ogos 2024, menandakan satu titik pencapaian bagi WMS kerana ia menerima sumbangan daripada orang ramai dan pertubuhan.
“WMS telah melalui pembangunan dan proses penambahbaikan yang ketara sejak ia ditubuhkan untuk memastikan ia mempunyai sistem yang teguh dan berkesan untuk mengukuhkan keupayaan kita sebagai masyarakat untuk menyokong keperluan masa depan.
“Tempoh yang dilanjutkan adalah perlu untuk memastikan bahawa WMS mematuhi semua peraturan, piawaian dan keperluan tadbir urus yang berkaitan, memastikan kesesuaiannya untuk digunakan dalam masyarakat,” kata Ustaz Dr Izal.
Beliau menambah masyarakat perlu menyumbang kepada WMS untuk membina korpus atau dana yang mencukupi untuk menjana pendapatan yang diperlukan bagi melengkapkan dana masyarakat sedia ada seperti Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF).
Ini bagi menyokong keperluan jangka panjang seperti kos tinggi pembaharuan pajakan masjid dalam tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang, pembangunan asatizah dan menyediakan dana utama masyarakat.
Sehingga kini, $3.8 juta telah disumbang kepada WMS oleh beberapa pertubuhan termasuk Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Persekutuan India Muslim (FIM) serta Masjid Daerah Barat.
Namun, individu boleh mewakafkan sebahagian daripada aset mereka sebagai sedekah jariah, yang membawa maksud memberikan ganjaran yang berterusan dan berkekalan untuk wakif (penyumbang wakaf) walaupun selepas kematian mereka, menurut Ustaz Dr Izal.
Berdasarkan sabda Rasulullah saw: “Apabila seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakan untuknya.” (Riwayat Sahih Muslim).
“Mana-mana individu yang ingin mewakafkan sebahagian daripada aset mereka boleh membuat wasiat dan tidak perlu bergantung kepada faraid,” ujar Ustaz Dr Izal.
Beliau menambah terdapat beberapa salah tanggapan tentang penulisan wasiat, antaranya menggunakan wasiat untuk mewariskan aset kepada waris faraid atau mengecualikan waris faraid daripada mewarisi.
Kes penggunaan ini menjadikan wasiat tidak sah dari segi undang-undang.
Ada juga yang mempunyai salah tanggapan bahawa setiap individu perlu mewasiatkan satu pertiga daripada aset kepada penerima bukan faraid.
Penerima bukan faraid termasuk anak angkat, anak luar nikah, saudara bukan Islam, atau adik-beradik yang tidak menerima sebarang agihan melalui faraid dan sebagainya.
Malah, ada yang menganggap menulis wasiat sukar dan menelan kos belanja yang tinggi.
Namun, Ustaz Dr Izal berkata bahawa wasiat boleh digunakan untuk melantik waris dan meninggalkan hasrat terakhir anda.
Walaupun ia tidak mengikat secara sah, ia boleh membantu membimbing keluarga apabila individu itu meninggal dunia.
Lebih penting lagi, individu boleh menetapkan sebahagian daripada aset (sehingga satu pertiga) buat wakaf atau sedekah jariah dalam wasiat anda.
Sebagai tambahan kepada WMS, Muis berhasrat mempromosikan penggunaan wasiat Islam atau wasiat dalam kalangan umat Islam bagi menggalakkan masyarakat merancang legasi mereka dan memastikan peruntukan yang sewajarnya untuk orang yang mereka sayangi, di samping mempertimbangkan pemberian legasi kepada tujuan amal seperti WMS.
Untuk memudahkan proses ini, Muis akan melancarkan Kit Alat Sumber Wasiat dalam talian, menawarkan panduan mewujudkan wasiat berdasarkan prinsip syariah.
Kit itu boleh diakses oleh orang ramai melalui laman web Muis dan www.wakaf.sg pada awal Ogos 2024, menyediakan sokongan berharga untuk individu dalam merancang legasi mereka dan menyumbang kepada tujuan yang bermakna.
Pelancaran WMS bersempena pelancaran kempen Bulan Wakaf yang diadakan sepanjang Ogos.
Bulan Wakaf bertujuan mendorong penciptaan wakaf sebagai tanggungjawab keagamaan generasi semasa untuk menyokong institusi utama bagi generasi akan datang.
Ia juga bermatlamat membantu masyarakat memahami lebih lanjut dan menggalakkan perancangan harta pusaka menerusi konsep Perancangan Legasi Islam (ILP).
Sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran, Bulan Wakaf akan menyediakan satu siri acara sesuai bagi semua peringkat umur menimba ilmu tentang wakaf, WMS dan perancangan legasi seperti forum dan jelajah legasi wakaf.
– Forum Faraid WMS: Wasiat Untuk Diriku
– Tarikh: 16 Ogos
– Waktu: 7.30 hingga 10 malam
– Lokasi: Masjid Sultan Auditorium
– Pendaftaran: www.go.gov.sg/forumfaraid-16aug
Forum Faraid WMS: Wasiat Untuk Diriku yang dikendalikan dalam bahasa Melayu, akan menyelidiki dengan lebih mendalam tentang faedah agama dan tanggungjawab seorang umat Islam untuk merancang warisan, keluarga dan masyarakat mereka; serta membuat pertimbangan kritikal, mengkaji kes dan menggunakan kes untuk pelbagai alat perancangan warisan Islam, khususnya wasiat.
“
“Kebiasaan berfikir jauh ke hadapan ini menggalak umat Islam merancang lebih awal, memastikan sumbangan mereka menyokong perkhidmatan penting, seperti pendidikan, pembangunan institusi agama dan asatizah. Dengan menyerlahkan komitmen terhadap menjaga kesejahteraan orang lain, seorang Muslim bukan hanya memenuhi kewajiban agamanya tetapi juga berpeluang memperbaiki iman, mengukuhkan niat dan semangat kemasyarakatan.”“
“WMS telah melalui pembangunan dan proses penambahbaikan yang ketara sejak ia ditubuhkan untuk memastikan ia mempunyai sistem yang teguh dan berkesan untuk mengukuhkan keupayaan kita sebagai masyarakat untuk menyokong keperluan masa depan. Tempoh yang dilanjutkan adalah perlu untuk memastikan bahawa WMS mematuhi semua peraturan, piawaian dan keperluan tadbir urus yang berkaitan, memastikan kesesuaiannya untuk digunakan dalam masyarakat.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg