SERAMAI 110 pelajar posmenengah telah dipilih untuk menghadiri edisi kelapan Parlimen Model Singapura (SMP) 2022.
Dianjurkan oleh Reach, unit maklum balas dan penglibatan kebangsaan, program bersemuka selama seminggu yang berakhir semalam terdiri daripada bengkel, dialog dan sesi perbahasan.
Berkolaborasi bersama Pusat Pengajian Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP) dan disokong oleh Dewan Parlimen, tema SMP 2022 adalah #YouthMatters dan topik pembahasan diperoleh daripada isu-isu yang timbul daripada esei peserta yang dihantar sebagai sebahagian daripada pendaftaran mereka.
Melalui bengkel yang diketuai oleh fakulti dari LKYSPP, peserta telah mendapat pemahaman yang lebih mendalam tentang sistem parlimen dan politik di Singapura.
Bengkel ini termasuk bengkel Parlimen 101 oleh mantan menteri, Dr Yaacob Ibrahim.
Para peserta juga berpeluang menghadiri sesi dialog dan mendekati beberapa pemegang pejabat politik seperti Timbalan Pengerusi REACH & Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam.
Kemuncak program SMP, perbahasan di 'parlimen' berfungsi sebagai peluang kepada peserta untuk bertukaran perspektif tentang isu-isu utama di Singapura.
Antara topik dibincangkan termasuk keterangkuman antara generasi, kesaksamaan jantina, integrasi sosial warga asing dan warga baru, kesaksamaan pendapatan/ekonomi serta kesaksamaan pendidikan.