Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

17 tahun bebas dadah hasil kasih sayang keluarga

Ayah seorang anak anggap diri masih dalam proses pulih, kini bantu bekas pesalah lain
Jul 19, 2022 | 05:30 AM



SUDAH 17 tahun beliau bebas daripada dadah.



Bagi Encik Mohamad Riduan Ishak, 48 tahun, kejayaannya itu disebabkan kasih sayang keluarganya yang tidak putus semasa beliau menghadapi masa silamnya yang pahit itu.



Beliau mula menyalah guna dadah seawal usia 14 tahun, dek tersalah campur kawan.



Tabiat buruk itu menggigit dirinya lebih teruk selepas menjalani Perkhidmatan Negara (NS), ketika berusia 22 tahun pada 1996.



Sembilan tahun kemudian, setelah dimasukkan ke pusat pemulihan dua kali dan penjara sekali, Encik Riduan menyedari bahawa beliau tidak ingin ditahan lagi.



"Sepanjang masa belia saya dihabiskan di dalam (pusat pemulihan dan penjara). Saya tidak ingin menua di sana," ujar bapa seorang anak itu.



"Motivasi utama saya untuk bebas daripada dadah ialah keluarga. Ketika di dalam, arwah ibu saya kerap mengunjungi dan mencurahkan kasih sayangnya, dan itulah antara sebab utama yang memberi saya semangat untuk berubah," ujar beliau, yang tercicir dari sekolah rendah.



Encik Riduan masih menganggap dirinya dalam proses untuk pulih.



"Saya masih dalam peringkat dan proses pemulihan supaya terus bebas daripada dadah, kerana setiap hari merupakan cabaran bagi saya untuk tidak terperangkap semula dalam penggunaan dadah.



"Walaupun sudah 17 tahun saya bebas, kadang-kadang tetap ada godaan dan saya harus cekalkan hati dan bersikap tabah untuk mengatasinya.



"Apabila rasa tergoda (untuk mengambil dadah) saya fikirkan keluarga. Keluarga saya adalah tunggak utama saya berjuang untuk pulih," ujar Encik Riduan



Menurut beliau lagi, antara sebab yang memberinya semangat untuk menjauhi dadah ialah pesan arwah ibunya supaya "jadi orang", iaitu menjadi seorang yang menjalani kehidupan normal.



"Pada saya, nasihat ibu itu ialah supaya menjadi seorang yang mempunyai pekerjaan, berkahwin dan membina keluarga sendiri.



"Itu juga menjadi matlamat kehidupan saya dan pada masa sama, ingin membanggakan ibu dan ayah," kata beliau.



Perubahan dirinya setelah dibebaskan penjara tidak mudah, tambah Encik Riduan.



"Saya tahu bahawa langkah pertama untuk berubah ialah hapuskan nafsu dalam diri ini. Justeru, saya mula mengamalkan nilai-nilai baik," katanya.



Encik Riduan berkata sokongan Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana) penting dalam perjalanan pemulihannya.



Ini kemudian memberi inspirasi kepadanya untuk menyumbang semula kepada masyarakat.



Encik Riduan antara relawan sebuah Projek Masyarakat Reben Kuning di Woodlands, Path I Choose, yang memberi semangat dan sokongan bagi membantu bekas pesalah kembali ke pangkal jalan.



Beliau, yang mempunyai sijil kemahiran kaunseling, melawat bekas pesalah dan keluarga mereka untuk memahami perjuangan mereka dan menghubungkan mereka kepada sumber sokongan dalam masyarakat.



Encik Riduan juga kini mempunyai sebuah syarikat sendiri, Tarkiz Pte Ltd, yang menyediakan program motivasi bagi membantu dalam pembelajaran sepanjang hayat.



"Kita harus terus memberi sokongan dan tidak boleh putus asa terhadap mereka yang masih dalam proses pemulihan.



"Kasih sayang adalah penting dan dengan perlahan, saya pasti mereka juga akan mendapat kesedaran serta semangat untuk pulih," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >