Subuh
5:37
Syuruk
6:54
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:00
Isyak
8:09
Setempat

23 kedai F&B didapati langgar aturan selamat Covid-19

Sep 16, 2020 | 05:30 AM

SEBANYAK 23 kedai makanan dan minuman (F&B) didapati melanggar peraturan pengurusan selamat Covid-19 semasa pemeriksaan yang dipertingkat oleh agensi pemerintah pada hujung minggu lalu.

Kebanyakan kesalahan itu melibatkan kumpulan lebih lima orang duduk bersama di satu meja atau bergaul antara satu meja dengan meja lain serta menghidangkan dan meminum arak selepas 10.30 malam, kata Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dalam satu kenyataan semalam.

Sebanyak 149 kedai F&B di tempat popular juga diperiksa hujung minggu lalu, dengan pegawai polis turut terlibat dalam pemeriksaan itu.

Agensi pemerintah lain yang terlibat dalam pemeriksaan penguatkuasaan yang dipertingkat itu termasuk Lembaga Taman Negara (NParks), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Agensi Makanan Singapura (SFA), Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA).

Pemeriksaan dipertingkat itu dijalankan di samping pemeriksaan rutin yang dijalankan agensi pemerintah setiap hari di kedai F&B, termasuk kedai kopi dan pusat penjaja di serata Singapura.

Secara keseluruhan, lebih 3,000 pemeriksaan dijalankan di kedai F&B pada hujung minggu lalu.

MSE berkata agensi pemerintah sedang menyemak perbuatan melanggar peraturan itu dan tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil.

Ini termasuk penutupan sementara kedai itu dan denda.

Langkah itu diambil selepas Menteri Pendidikan, Encik Lawrence Wong, yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian bagi menangani penularan Covid-19, berkata agensi penguatkuasaan akan meningkatkan pemeriksaan di kedai F&B yang melanggar peraturan Covid-19 minggu lalu.

Sedang kebanyakan orang mematuhi peraturan itu, Encik Wong berkata masih terdapat beberapa kesalahan yang dikesan setiap hari dan ini biasanya berlaku di tempat yang popular pada sebelah malam.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata Covid-19 terus menampilkan ancaman serius dan perbuatan melanggar peraturan pengurusan selamat merupakan kesalahan serius.

"Saya menggesa pengendali F&B dan pelanggan mengikut peraturan demi keselamatan kita bersama," ujar Cik Fu dalam satu catatan di Facebook.

Pada Rabu lalu, Encik Wong mengumumkan bahawa kedai F&B dan pelanggan yang melanggar peraturan pengurusan selamat sekarang akan didenda walaupun bagi kesalahan kali pertama, dan bukan sekadar mendapat amaran sahaja.

Dalam satu kenyataan pada hari sama, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata langkah itu berkuat kuasa serta-merta kerana kedai F&B dan pelanggan mereka telah diberi masa mencukupi untuk menyesuaikan diri dengan peraturan tersebut.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian