Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

300 pelajar poly dapat kerja sambil belajar di Sats di bawah MOU

Feb 08, 2023 | 05:30 AM



SYARIKAT katering pesawat dan pengendali darat Lapangan Terbang Changi, Sats, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan lima politeknik di Singapura untuk memupuk lebih ramai lulusan yang bersedia bekerja dan memudahkan pertukaran pengetahuan antara industri dan akademik.



Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Sats untuk membina bakat yang mampan dan menyokong pembelajaran sepanjang hayat.



Mulai tahun akademik 2023/24, Sats akan menempatkan kira-kira 300 pelajar daripada lebih 20 kursus diploma dalam program latihan berbayar sehingga enam bulan.



Tambahan pula, pelajar juga akan mendapat laluan ke pekerjaan sepenuh masa dengan Sats selepas tamat pengajian mereka.



Sebagai pekerja sepenuh masa, mereka akan mendapat akses kepada peluang pembangunan, termasuk tajaan melanjutkan pelajaran di bawah Skim Pendidikan Berterusan Sats.



Pemeteraian MOU itu diadakan semalam di Hab Inovasi Singapura Sats dan disaksikan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.



MOU itu ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sats, Encik Kerry Mok; Pengetua dan CEO Politeknik Nanyang, Cik Jeanne Liew; Pengetua dan CEO Politeknik Ngee Ann, Encik Lim Kok Kiang; Pengetua dan CEO Politeknik Republic, Encik Yeo Li Pheow; Pengetua dan CEO Politeknik Singapura, Encik Soh Wai Wah; dan Timbalan Pengetua Politeknik Temasek, Encik Aw Tuan Kee.



Sats menyasarkan untuk mengambil masuk dua kali ganda lebih pelajar bagi program latihan.



Selain itu, ia juga mahu meluaskan peluang pekerjaan merangkumi bukan sahaja operasi lapangan terbang, tetapi juga pemakanan, kemampanan, pendigitalan, analisis data dan keselamatan siber.



"Perniagaan kami sangat luas jadi kami memerlukan bakat daripada semua disiplin.



"Ketika kami berkembang daripada syarikat berpangkalan di Singapura kepada syarikat global, kami mahu mempunyai bakat di Singapura yang boleh mendorong kami ke luar negara.



"Modal insan adalah aset kami yang paling penting, dan kami teruja untuk memulakan kerjasama ini dengan politeknik demi membina pertumbuhan kerjaya yang bermakna bagi pelajar kami," kata Encik Mok.



Pelajar Tahun 3 Pengurusan Penerbangan daripada Politeknik Republic, Cik Siti Dhamirah Rosli, yang menjalani program latihan di Sats tahun lepas, berasa skim itu sangat menarik.



"Ia bagus kerana saya tidak boleh memutuskan sama ada saya mahu melanjutkan pelajaran atau terus bekerja selepas tamat pengajian," katanya.



"Dengan skim itu, saya dapat mengalami kedua-duanya pada masa yang sama.



"Saya percaya kerjasama Sats dengan politeknik membantu graduan baru mencari pekerjaan dengan lebih mudah terutama bagi mereka yang pernah menjalani program latihan di sana (Sats) sebelum ini," tambah Cik Siti Dhamirah, 21 tahun.



Selain daripada membantu pelajar, Sats juga akan mewujudkan rangka kerja pertukaran pengetahuan dengan politeknik untuk memastikan pembangunan dan kebolehpasaran sepanjang hayat kakitangan dan fakulti.



Rangka kerja itu juga menyasar untuk memastikan kerelevanan kurikulum berdasarkan amalan industri dan inovasi terkini.



Untuk mencapai sasaran itu, Sats akan menjemput wakil fakulti untuk menjadi sebahagian daripada operasi darat di lapangan terbang, manakala wakil Sats yang dicalonkan memberikan pandangan kepada politeknik mengenai keperluan kerja kursus.



Penglibatan sedemikian akan melengkapkan pelajaran dalam bilik darjah, merapatkan jurang antara teori dan praktikal.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >