TERDAPAT 367 pelanggaran Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dan 130 pelanggaran perintah kuarantin sehingga 25 Januari lalu, dedah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Secara keseluruhan, 308,442 SHN dan 268,385 perintah kuarantin telah dikeluarkan sehingga tarikh yang sama itu.
Dr Faishal menyatakan demikian sebagai menjawab pertanyaan Encik Louis Chua (Sengkang) di Parlimen semalam.
Encik Chua menanyakan tentang jumlah pelanggaran SHN dan perintah kuarantin serta hukuman bagi mereka yang melakukannya.
Mereka yang melanggar perintah SHN dan kuarantin boleh didakwa di bawah Akta Penyakit Berjangkit, kata Dr Faishal.
Mereka boleh didenda hingga $10,000, dipenjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya.
Agensi pemerintah juga mungkin boleh mengambil tindakan ke atas mereka yang melanggar perintah SHN dan kuarantin, termasuk membatalkan pas kerja dan menarik balik status penduduk tetap (PR) mereka. - The Straits Times