412 karton rokok tanpa cukai dirampas ICA

PEGAWAI dari Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah merampas rokok tanpa cukai daripada seorang pemandu di Pusat Pemeriksaan dan Imigresen Woodlands pada Ahad (8 September).

Sejumlah 412 karton dan 640 paket rokok tanpa cukai telah disembunyikan di dalam kompartmen kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 27 tahun.

Pegawai telah melakukan pemeriksaan keselamatan ke atas kereta tersebut selepas mendapati kompartmen di bahagian bawah kereta, dan di bahagian belakang kanan kereta telah diubah suai. 

Suspek, seorang warga Malaysia, telah dirujuk kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut.

ICA berkata bahawa kereta berdaftaran Malaysia itu, yang digunakan untuk melakukan kesalahan menyeludup rokok tanpa cukai masuk ke Singapura, boleh dirampas oleh pihak berkuasa.

“Kaedah penyeludupan ini adalah suatu yang membimbangkan, kerana kaedah yang sama boleh digunakan oleh mereka yang berniat jahat untuk menyeludup barangan haram masuk ke Singapura,” kata ICA.