Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

48 tahun setia sumbang tenaga dengan penyedia khidmat kesihatan

Bermula di pejabat akaun selama 20 tahun, kini beralih tugas sebagai pegawai perkhidmatan pesakit di Parkway Shenton
May 18, 2023 | 05:30 AM



TAHUN ini menandakan tahun ke-48 di penyedia khidmat jagaan Parkway Shenton bagi Cik Salmah Kamsan.



Sepanjang masa ini, beliau berpeluang melihat bagaimana badan ini telah berubah selama bertahun-tahun dari segi operasi.



Bermula di jabatan akaun pada 1975, Cik Salmah kini merupakan pegawai perkhidmatan pesakit yang bekerja di barisan hadapan untuk menyokong pesakit di kliniknya.



Menceritakan pengalamannya berkhidmat dengan syarikat itu, Cik Salmah berkata antara sebab beliau terus berkhidmat kepada pesakit di sana adalah kepuasan yang beliau dapat menerima apabila melihat senyuman yang terukir di muka mereka.



Sebagai seorang pegawai perkhidmatan pesakit, Cik Salmah mempunyai peranan untuk melakukan operasi barisan hadapan seperti mendaftarkan pesakit, menjadualkan janji temu dan juga tugasan juruwang.



Selain itu, beliau juga mempunyai peranan untuk menyokong doktor dan juga tugas klinikal seperti pembersihan peralatan yang terdapat dalam bilik pembedahan.



"Dalam laluan kerja ini, saya berpeluang berjumpa pesakit daripada pelbagai lapisan hidup.



"Ada antara mereka kini menjadi seperti rakan saya kerana kami kerap berjumpa apabila mereka datang untuk janji temu mereka," kata Cik Salmah, 64 tahun.



Namun, perjalanannya bertugas di barisan hadapan bukan sesuatu yang mudah.



Dalam satu wawancara melalui e-mel, Cik Salmah menjelaskan bahawa terdapat juga pengalaman pahit manis.



Ini termasuk menangani pesakit yang tidak mempunyai emosi yang stabil.



"Sebagai pekerja di barisan hadapan, kami adalah salah satu individu pertama yang bertemu pesakit.



"Kadangkala kami harus menangani pesakit yang marah atau mereka yang tidak dapat menunggu giliran.



"Ada antara mereka yang menjangkakan doktor mempunyai masa perundingan untuk semua kes dan ia bukan sesuatu yang kami dapat mengawal," katanya.



Meskipun terdapat pesakit sebegini, Cik Salmah berkata hanya segelintir pesakit menunjukkan perasaan marah sebegitu.



Katanya, ada antara mereka hanya ingin meluahkan perasaan dan inginkan kakitangan mereka mendengar apa yang mereka melalui.



"Untuk menangani ini, saya hanya dapat mendengar mereka luahkan perasaan dan mungkin memberi mereka ruang untuk bertenang," jelasnya.



Sebelum menjadi seorang pegawai perkhidmatan pesakit, Cik Salmah berkata beliau pernah bertugas dengan jabatan akaun syarikat itu selama 20 tahun.



Di sana beliau juga berpeluang melihat bagaimana jabatan itu telah berubah secara digital.



"Saya bekerja di bahagian akaun, membuat pengebilan, menulis cek, menelefon pelanggan yang mempunyai hutang bil perubatan dan melakukan tugas perakaunan yang mudah.



"Ketika transformasi digital dijalankan, saya dan pasukan saya terpaksa mendigitalkan rekod lama sambil melakukan pengebilan manual secara serentak.



"Ketika itu amat mencabar tetapi apabila kami sudah mahir, proses itu lebih baik dan mudah," katanya.



Selain melihat bagaimana syarikat itu sudah berubah selama beberapa tahun, Cik Salmah juga berpeluang bertemu cinta hidupnya.



Cik Salmah bertemu suaminya yang juga merupakan seorang kakitangan penghantar di Parkway Shenton.



"Sebenarnya, arwah bapa saya yang juga bekerja di Parkway Shenton sebagai pemandu sering terserempak suami saya.



"Setelah mendapat tahu tentangnya dengan lebih mendalam arwah bapa saya mengenalkan kami berdua.



"Akhirnya, kami berdua berkahwin pada 1980," kata beliau yang kini merupakan ibu kepada empat orang anak dan nenek kepada lima orang cucu.



Pada 2023, Parkway Shenton, menyambut ulang tahun ke-50 sejak klinik pertamanya dibuka.



Ditanya sekiranya beliau mempunyai rancangan untuk terus bertugas di Parkway Shenton dalam masa akan datang, Cik Salmah berkata:



"Sekarang saya bekerja secara kontrak. Selagi syarikat ini inginkan khidmat saya dan selagi saya sihat, saya mempunyai niat untuk terus bekerja selagi boleh."




"Dalam laluan kerja ini, saya berpeluang berjumpa pesakit daripada pelbagai lapisan hidup.

Ada antara mereka kini menjadi seperti rakan saya kerana kami kerap berjumpa apabila mereka datang untuk janji temu mereka."

- Cik Salmah Kamsan, pegawai perkhidmatan pesakit Parkway Shenton.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >