Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

60,000 isi rumah raih manfaat subsidi peranti digital

Mar 01, 2023 | 05:30 AM



SEKITAR 60,000 isi rumah berpendapatan rendah akan meraih manfaat daripada subsidi yang diberikan kepada peranti digital di bawah skim baru yang akan diperkenal mulai April tahun ini.



Subsidi adalah bagi peranti itu seperti tablet dan komputer riba, serta jalur lebar atau 'broadband'.



Bagi membiayai Skim AksesDigital@Rumah ini, Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) akan mengetepikan sekitar $80 juta sepanjang empat tahun akan datang, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo, sewaktu perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya di Parlimen pada Selasa.



Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee) dan Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol) telah menanyakan usaha memastikan setiap lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, tidak berada dalam keadaan yang merugikan dalam usaha Singapura mendakapi digital.



Cik Teo yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak dan Keselamatan Siber, berkata:



"Dari segi keterhubungan, 92 peratus isi rumah kita mempunyai akses kepada komputer, dan 98 peratus mempunyai jalur lebar. Ini boleh dikatakan sebagai jauh lebih tinggi daripada banyak negara.



"Namun, MCI percaya kita boleh capai tahap lebih tinggi dari segi akses dan penyertaan. Satu kumpulan yang kami kekal prihatin akan merupakan isi rumah berpendapatan lebih rendah."



Kos jalur lebar dikurangkan kepada $5 sebulan bagi isi rumah flat sewa



Akur bahawa keterhubungan digital sudah menjadi sama penting seperti air dan elektrik, Cik Teo berkata ia masih mahal bagi sesetengah masyarakat.



Justeru di bawah skim ini, kos jalur lebar akan dikurangkan kepada serendah $5 sebulan bagi isi rumah layak di flat sewa HDB di bawah skim Sewa Awam.



Mereka yang tinggal di flat 1 hingga 3 bilik akan membayar $10, sementara mereka di 4 bilik atau lebih besar akan membayar $15 sebulan. Bagi tambahan $5 mereka boleh menggandakan lebar jalur mereka dari 500Mbps ke 1Gbps.



Di samping itu, isi rumah yang mempunyai penerima Bantuan ComCare akan secara automatik layak bagi tahap subsidi tertinggi dan membayar paling sedikit.



Isi rumah yang terdiri daripada pelajar yang berada di bawah Skim Bantuan Kewangan Kementerian Pendidikan (MOE) juga boleh menikmati tahap subsidi tertinggi, bergantung kepada pendapatan.



"Untuk mencapai pemasukan digital, akses jalur lebar perlu diiringi akses peranti. Ini selalunya menjadi penghalang lebih besar memandangkan kosnya lebih tinggi dan lebih sukar untuk disebarkan," kata Cik Teo.



Justeru di bawah skim Skim AksesDigital@Rumah, penerima bantuan boleh menikmati subsidi antara 25 peratus dengan 75 peratus, lantas mengurangkan kos yang dikeluarkan sendiri bagi peranti.



Bergantung kepada tahap sokongan, penerima bantuan akan membayar antara $75 dengan $250 bagi tablet, dan antara $220 dan $710 bagi komputer riba.



Bagi isi rumah lebih besar yang mempunyai anak bersekolah, Cik Teo berkata Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) sedang bekerjasama dengan sektor rakyat menerusi pertubuhan seperti Engineering Good dan SGBono, bagi menyediakan sehingga 1,000 komputer riba yang diperbaharui dalam setahun untuk menyokong mereka.



"Berdasarkan permintaan yang dilihat dalam program sedia ada, jumlah ini sepatutnya mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa," kata Cik Teo.



Cik Teo turut menyentuh tentang Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (Pindaan Rampaian) yang diluluskan di Parlimen November lalu dan berkuat kuasa baru-baru ini.



Beliau berkata perubahan kepada undang-undang itu adalah untuk membolehkan pengenalan Kod Amalan bagi perkhidmatan media sosial.



Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), katanya, telah mendekati rakan industri untuk memuktamadkan Kod tersebut dan menjangka untuk melaksanakannya pada separuh kedua tahun ini.



Cik Teo menambah bahawa pemerintah akan mengambil langkah lanjut dalam memperkukuh keselamatan dalam talian menerusi Kod Amalan Kedai Aplikasi yang baru, yang akan mengambil masa untuk dibangunkan.




SEKILAS PENGUMUMAN BARU MCI



1) AksesDigital@Rumah akan diperkenal mulai April ini bagi sediakan subsidi bagi alat digital dan jalur lebar kepada isi rumah Singapura berpendapatan rendah



- Kira-kira $80 juta diperuntuk dalam empat tahun akan datang bagi sokong sekitar 60,000 isi rumah berpendapatan rendah



2) MCI bangunkan Pelan Induk Keterhubungan Digital bagi lakarkan haluan infastruktur keterhubungan Singapura



- MCI bentuk Panel Penasihat tentang Prasarana Digital terdiri daripada pemimpin industri dan perniagaan



3) MCI tingkat keupayaan dalam Penyelidikan dan Inovasi bagi kekalkan daya saing



- Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) dan Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) akan lancarkan program penyelidikan kecerdasan buatan atau 'AI Investigatorships' dalam bulan-bulan akan datang. Ia disasarkan terhadap penyelidik AI peringkat tinggi, yang sewaktu penyelidikan mereka, boleh latih bakat lain.



4) MCI akan lancarkan Pelan Induk Perusahaan Digital, peta jalan menyeluruh yang bina di atas usaha MCI untuk pacu pendigitalan rentas ekonomi



- MCI akan bantu firma kekalkan keselamatan siber menerusi rancangan kesihatan siber baru bagi SME yang disampaikan oleh konsultan Khidmat Ketua Pegawai Maklumat (Khidmat CISO). Perunding akan utamakan langkah bagi bantu SME penuhi piawaian kebersihan siber asas nasional.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >