Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

7 anjakan bangunkan S’pura bersama

Oct 27, 2023 | 09:00 AM



Tujuh anjakan utama dalam pembentukan dasar negara, dengan tumpuan untuk memastikan masyarakat kelas pertengahan dan anak-anak mereka melihat peningkatan dalam kehidupan serta memastikan golongan paling terdedah terus dijaga, perlu dilakukan menurut Laporan Melakar Hala Tuju Singapura, atau Forward SG.


Tujuh anjakan itu digariskan dalam laporan tersebut yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada Jumaat.

Laporan 180 muka surat itu menyatakan cara pemerintah akan bekerjasama dengan warga Singapura untuk menyegarkan semula kompak sosial bagi masa hadapan negara.

Rekomendasi dan anjakan dasar utama yang diketengahkan terhasil berikutan penglibatan dengan lebih 200,000 warga Singapura selama 16 bulan semasa latihan Melakar Hala Tuju Singapura di mana mereka menyumbang idea melalui 275 kerjasama dan sesi pendekatan.

Tujuh anjakan itu ialah: menimba ilmu melangkaui kecemerlangan akademik; menghormati dan memberi ganjaran bagi setiap pekerjaan; menyokong keluarga pada setiap tahap kehidupan; membantu warga emas menua dengan sejahtera; memperkasa mereka yang memerlukan; melabur dalam masa hadapan yang mampan; dan memainkan peranan kita sebagai satu rakyat yang bersatu.

Timba ilmu melangkaui kecemerlangan akademik

Laporan tersebut menyatakan penekanan terhadap pendidikan telah dari masa ke masa, menyebabkan kebimbangan tentang markah peperiksaan dan tekanan untuk pergi ke sekolah yang ‘betul’ sebagai kunci kejayaan masa depan, status sosial dan kebahagiaan.

“Kita perlu melakukan lebih banyak lagi untuk menjadikan sistem pendidikan kita lebih fleksibel dan mengurangkan tekanan pada pelajar.

“Kita harus menumpukan pada aspek yang lebih penting dalam pengalaman anak-anak kita di sekolah — pembangunan kemahiran hidup, kualiti perhubungan anak-anak kita dan tahap penglibatan dalam pembelajaran.

“Lagi pula, pembelajaran tidak boleh dipadatkan dalam tahun-tahun persekolahan formal. Tidak mungkin 15 tahun pertama pendidikan dapat mempersiapkan kita bagi perubahan dalam beberapa dekad akan datang dalam kerjaya dan kehidupan kita.

“Pembelajaran mesti diteruskan setelah kita meninggalkan sekolah,” menurut laporan itu.

Anjakan pertama ini bertujuan memastikan warga Singapura mengejar pembelajaran sepanjang hayat dan bukan gred semata untuk merealisasikan potensi serta cita-cita mereka.

Untuk melakukan demikian, setiap kanak-kanak di Singapura mesti diberi permulaan yang baik dan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah mesti diberi tumpuan yang lebih.

Sejak sedekad lalu, pemerintah sudah pun meningkatkan pelaburan dalam pendidikan prasekolah termasuk berusaha meningkatkan kerjaya prasekolah untuk menarik lebih ramai guru yang berkualiti.

Namun, lebih banyak tumpuan perlu diberikan kepada kanak-kanak daripada latar belakang kurang bernasib baik untuk memperbaiki pendaftaran dan kehadiran mereka di prasekolah demi merapatkan jurang pembangunan awal, atau early developmental gaps, dengan kanak-kanak daripada keluarga lain.


Selain itu, pemerintah juga akan memberi rangsangan yang ketara kepada SkillsFuture untuk membantu warga Singapura peringkat pertengahan kerjaya yang matang untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Ini termasuk menambah nilai Kredit SkillsFuture, memberi elaun latihan bagi pekerja matang untuk mengikuti latihan jangka panjang sepenuh masa dan sokongan bagi warga Singapura untuk mendapatkan diploma lain yang dibiayai awam.

Setiap pekerjaan dihormati dan diberi ganjaran

Demi menyokong keinginan warga Singapura melakukan kerja yang lebih bermakna dan untuk memberi mereka peluang membangunkan kemahiran, anjakan kedua yang disarankan ialah menghormati dan memberi ganjaran bagi setiap pekerjaan.

Laporan Melakar Hala Tuju Singapura menyatakan bahawa semasa sesi pendekatan yang diadakan, ramai peserta berkongsi bahawa Singapura perlu mendakap kepelbagaian laluan kerjaya yang lebih luas.

“Kita perlu melihat lebih luas daripada apa yang secara tradisi kita anggap sebagai ‘pekerjaan yang baik’, yang kebanyakannya adalah disebabkan berapa tinggi gaji kita,” menurut laporan itu.

Anjakan ini memerlukan warga terus memperkecil jurang pendapatan melalui pengiktirafan dan gaji lebih baik bagi mereka yang melakukan tugas-tugas ‘tangan’, iaitu pekerjaan dalam bidang teknikal, dan ‘hati’, yang bermaksud tugas perkhidmatan dan penjagaan masyarakat.

Pemerintah berkata ia akan memastikan lebih ramai graduan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) meningkatkan kemahiran mereka dan naik taraf awal dengan membiayai kos pendidikan serta lebih mengiktiraf usaha mereka untuk berbuat demikian.

Anjakan ini juga memerlukan warga menyokong peralihan kerja dengan menyediakan cadangan yang khusus tentang kerjaya dan laluan kemahiran melalui alat digital serta perkhidmatan bimbingan kerjaya.

Terdapat juga skim sokongan baru untuk membantu pencari kerja yang menganggur secara sukarela dalam golongan berpendapatan rendah dan sederhana bangkit semula dengan lebih kukuh.

Selain itu, terdapat keperluan untuk bekerjasama dengan majikan dan persatuan industri untuk memupuk bakat-bakat setempat untuk menjadi pakar dan pemimpin dalam bidang masing-masing, terutama bagi peranan serantau teratas dalam syarikat berbilang negara.

Sokong keluarga pada setiap tahap kehidupan

Dengan lebih banyak keluarga tergolong dalam golongan terapit, atau ‘sandwich’, di mana terdapat keperluan untuk menjaga kedua-dua anak muda dan ibu bapa yang semakin menua, perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mesti kekal mampu dimiliki.

Dalam laporan yang dikeluarkan, pemerintah akur pemilikan rumah kekal sesuatu yang penting di Singapura. Bahkan, semasa pendekatan Melakar Hala Tuju Singapura, ramai berkongsi aspirasi dan idea mereka berkenaan masa depan perumahan di sini.

Oleh itu, flat HDB mesti terus kekal dimampui, adil dan mempunyai campuran sosial yang baik.

Selain itu, lebih banyak sokongan perlu diberikan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil. Laporan tersebut mengesyorkan menerokai penambahan kepada cuti berbayar ibu bapa dan memperluaskan tempat penjagaan bayi berasaskan pusat serta pilihan perkhidmatan menjaga kanak-kanak.

Laporan itu juga mengatakan kesejahteraan mental serta harmoni kerja dan kehidupan warga Singapura perlu dijaga. Ini akan dilakukan melalui satu set Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Pengaturan Kerja Fleksibel yang akan dikeluarkan pada 2024 dan Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Nasional.

Selain itu, sokongan bagi penjaga juga akan dipertingkat dengan memastikan kemampuan intervensi awal, pendidikan dan perkhidmatan penjagaan bagi keluarga dengan kanak-kanak dengan keperluan perkembangan dan pendidikan khas.

Bantu warga emas menua dengan sejahtera

Anjakan ini akan dilakukan dengan menggalakkan warga emas menua dengan aktif dalam masyarakat melalui peluasan rangkaian Pusat Penuaan Aktif serta memperbaharui operasinya.

Lebih banyak ciri mesra warga emas juga akan diterapkan ke dalam persekitaran kehidupan seperti lebih banyak tanjakan tanpa halangan dan tempat rehat.

“Kami akan mendekati masyarakat untuk sama-sama mencipta ciri-ciri sedemikian agar ia disesuaikan untuk memenuhi keperluan warga emas serta penduduk di kawasan itu,” kata laporan itu.

Perkasa mereka yang memerlukan

Ini akan dilakukan dengan meningkatkan keluarga berpendapatan rendah ke arah kemajuan yang berterusan, menutup jurang awal bagi kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan menjadikan masyarakat lebih inklusif bagi orang kurang upaya.

Kerjasama dengan rakan kerja masyarakat untuk menyediakan sokongan tambahan demi memperkasa keluarga berpendapatan rendah mengekalkan kemajuan dalam memperbaiki keadaan hidup mereka diperlukan.

Selain itu, kita juga mesti membolehkan kanak-kanak daftar lebih awal ke dalam prasekolah dan kerap menghadirinya dengan memastikan pendidikan prasekolah lebih dimampui dan mudah diakses.

Melabur dalam masa hadapan yang mampan

“Singapura yang kita miliki hari ini adalah hasil pengorbanan dan kerja keras mereka yang datang sebelum kita. Kita mesti teruskan kitaran yang mulia ini dan tinggalkan Singapura yang jauh lebih kukuh bagi generasi akan datang,” kata Laporan Melakar Hala Tuju Singapura itu.

Untuk melakukan ini, Singapura mesti membuat perancangan jangka panjang untuk mengoptimumkan tanah terhad yang kita miliki dan menjamin masa depan yang berdaya tahan iklim.

Ini boleh dilakukan dengan sentiasa melihat semula perancangan guna tanah kita dan menyegarkan semula penggunaan ruang kita apabila keperluan berubah, jelas laporan itu.

Dalam pada itu, Singapura juga mesti mengukuhkan keselamatan makanan dan air serta menjaga kehematan dan tanggungjawab fiskal dengan menjaga keperluan hari ini sambil memastikan masa depan yang lebih baik bagi generasi akan datang.

Mainkan peranan kita sebagai satu rakyat yang bersatu

Kekuatan kolektif masyarakat Singapura bergantung pada perpaduan warganya dan sejauh mana kita mengambil berat tentang satu sama lain.

“Kita tidak boleh menjadi masyarakat di mana anggotanya hanya fokus terhadap diri sendiri atau di mana wujud budaya individualisme radikal dan mementingkan diri sendiri,” kata laporan tersebut.

“Mereka yang sudah berjaya mesti memainkan peranan untuk meningkatkan orang lain dalam masyarakat juga,” tambahnya.

Oleh yang demikian, warga Singapura mesti memupuk budaya memberi yang lebih utuh, terutama dalam kalangan mereka yang sudah berjaya, serta menghubungkan penderma dan sukarelawan dengan lebih baik kepada keperluan masyarakat setempat.

Di samping itu, terdapat keperluan mengukuhkan aspek berbilang kaum dan identiti warga Singapura dengan menggalakkan interaksi antara kumpulan berbeza.

Selain itu, ramai peserta menyuarakan keinginan meluaskan penyertaan sivik di kawasan kejiranan mereka.

Pejabat Perkongsian Pemerintah Singapura (SGPO) akan ditubuhkan untuk memimpin usaha mendekati dan bekerjasama dengan warga Singapura.

SGPO akan memudahkan interaksi antara warga yang ingin menyumbang dengan agensi pemerintah yang berkaitan dan mengukuhkan perkongsian untuk membentuk Singapura yang lebih baik.

Secara keseluruhan, laporan tersebut serta tujuh anjakan yang disyorkan, adalah hasil daripada penglibatan dengan warga Singapura yang berkongsi bahawa mereka inginkan masyarakat yang cergas dan inklusif; adil dan berkembang maju; serta tabah dan bersatu.

Beberapa perkara yang disyorkan sudah pun diumumkan dan dikuat kuasa sementara inisiatif lain akan dikongsi dalam beberapa bulan akan datang serta pada Belanjawan 2024.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >