Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

80 kenderaan elektrik bakal ditambah DHL Express

Jun 22, 2022 | 05:30 AM



SYARIKAT logistik DHL Express akan mempunyai lagi 80 kenderaan elektrik (EV) dalam kumpulan penghantarannya di Singapura menjelang Oktober tahun ini, membawa jumlah kenderaan jenis tersebut kepada 90.

Pengumuman itu dibuat dalam satu acara pengembangan kumpulan EV yang diadakan di kemudahan DHL Express di Greenwich Drive semalam, yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Encik S. Iswaran.

Kenderaan itu dijangka meliputi 30 peratus daripada laluan harian DHL.

Pengarah pengurusan DHL Express Singapore, Encik Christopher Ong, berkata: "Dengan beralih kepada kenderaan elektrik, DHL Express Singapore bersedia untuk menghapuskan sejumlah 323 tan pelepasan CO2 (karbon dioksida) setiap tahun."

Tambahan terbaru DHL ialah van Citroen e-Dispatch yang boleh menampung berat sehingga satu tan.

Kenderaan itu, apabila dicas penuh, dapat meliputi jarak sehingga 339 kilometer.

Bagi penghantaran DHL, kenderaan membuat perjalanan lebih kurang 100 kilometer setiap hari untuk meliputi laluan penghantaran.

Kumpulan 80 van ini terikat pada kontrak pemajakan dan penyelenggaraan selama lima tahun dengan ComfortDelGro Rent-A-Car, anak syarikat gergasi pengangkutan itu.

Untuk menyokong pelancaran EV baru itu, 105 tempat mengecas EV akan dipasang di pusat khidmat DHL.

Ia dipercayai merupakan penggunaan terbesar pengecas EV untuk penggunaan komersial di Singapura sejauh ini.

Pengecas AC 7 kilowatt itu dibekalkan dan dipasang oleh firma pengecas swasta, EVOne Charging.

Sistem pengecasan itu mampu menguruskan beban elektrik pada rangkaian kemudahan, membolehkan DHL memantau corak penggunaan tenaga EV serta membantu memperuntukkan slot pengecasan kepada kenderaan.

Dengan memilih pengecas AC dan bukannya pengecas DC yang lebih pantas tetapi juga lebih intensif tenaga, pemasangan di pusat khidmat DHL tidak dijangka memerlukan peningkatan besar kepada grid bekalan kuasanya.

Pengecasan selama tiga jam akan menambah kira-kira 85 kilometer jarak operasi pada kenderaan. Pengecasan penuh untuk bateri yang sudah mati akan mengambil masa sehingga hampir 11 jam.

Pada Januari tahun ini, DHL menggunakan 10 van EV sebagai program rintis untuk menguji keupayaan pengecasan dan mendapatkan pengalaman menggunakan kenderaan ini. Ia terdiri daripada Citroen e-Dispatch dan versi elektrik Renault Kangoo, yang mempunyai tampungan berat yang lebih kecil.

Sebahagian daripada Deutsche Post, DHL menyasarkan untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. Di peringkat global, syarikat itu telah bekerjasama dengan pembekal bahan api Neste dan BP untuk mendapatkan lebih 800 juta liter bahan api penerbangan mampan sehingga 2026.

DHL juga mahu menukar 60 peratus daripada kumpulan penghantaran jarak jauh globalnya kepada elektrik menjelang 2030.

BERITA




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >