Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

88% tahanan JI jaya dipulih, kembali dalam masyarakat

Shanmugam: Golongan jadi radikal sendiri sukar dipulih; anak muda radikal ditahan lebih ramai
Mar 14, 2018 | 05:30 AM



SEMBILAN daripada setiap 10 tahanan atau 88 peratus anggota Jemaah Islamiah (JI) di Singapura berjaya dipulihkan dan kembali ke pangkuan masyarakat, menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, yang menyifatkan pencapaian itu tidak boleh dikecapi tanpa peranan penting yang dimainkan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).



Namun, beliau berkata negara ini masih mencari huraian bagi memulihkan tahanan yang menjadi radikal dengan sendiri.



Setakat ini, hanya 25 peratus individu yang ditahan sejak 2007 mempunyai fahaman radikal sendiri dibebaskan dan bakinya masih lagi ditahan.



"Dengan bantuan RRG, kita telah dapat membebaskan sembilan daripada 10 tahanan. Tanpa RRG, kita tidak dapat melakukannya dan ramai yang masih ditahan kerana apabila pemerintah bercakap dengan mereka mengenai agama, kita tidak mempunyai kredibiliti. Kita tidak boleh bercakap dengan mereka mengenai Islam atau bagaimana menjadi Muslim yang baik. Kita tidak akan berputus asa dalam usaha membantu 12 peratus yang masih ditahan...



"Ini merupakan satu bukti dedikasi dan usaha RRG saban tahun, anda teruskan bekerja dengan mereka dan tidak putus asa,'' kata Encik Shanmugam, di majlis makan tengah hari sempena Rahat Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang ke-14 semalam.



RRG, yang menyambut ulang tahun ke-15 tahun ini, dibentuk selepas serangan 9/11 ke atas Amerika Syarikat setelah terdapat keperluan mendesak untuk memberikan bimbingan agama kepada tahanan JI.



Pengalaman Singapura itu unik, tambah Encik Shanmugam, dan cukup berbeza daripada negara lain seperti Amerika yang terus menahan sekumpulan individu yang ditangkap selepas serangan 9/11.



Sejak 10 tahun lalu, lebih ramai individu yang menjadi radikal sendiri, lebih-lebih lagi setelah wujudnya ISIS pada 2014.



Beliau berkata kesan memulihkan golongan yang menjadi radikal sendiri itu tidak sebaik kejayaan membantu tahanan JI kerana "terdapat isu psikologi dan sosial yang rumit".



"Golongan ini lebih tegar dalam menegakkan pendirian mereka, mempunyai pemahaman yang terhad mengenai Islam dan mudah menyerap apa jua maklumat diperolehi dalam Internet,'' ujar beliau, sambil menambah bahawa mereka akan terus mencari kaedah yang sesuai bagi membantu golongan itu.



Beliau juga melahirkan kebimbangan kerana lebih ramai individu yang ditahan adalah semakin muda.



Sejak 2015, pihak berkuasa menahan lima belia berusia 17 hingga 19 tahun.



"Kehidupan mereka dibazirkan. Kita harus pulihkan mereka dengan segera dan memberikan mereka peluang,'' ujarnya.



Anak muda yang menjadi radikal itu amat bergantung pada Internet dan media sosial bagi mendapatkan maklumat, termasuk bahan agama, dan mudah dipengaruhi dengan propaganda kumpulan pengganas.



"Secara umum, orang muda ini mempunyai asas agama yang lemah dan mudah terjerumus. Mereka tidak faham mengenai agama dan melihat sesuatu yang menjadi tarikan mereka...



"Tugas kita, Muis (Majlis Ugama Islam Singapura) dan setiap orang ialah menarik mereka ke masjid, dapatkan mereka agar mendengar daripada asatizah kita dan memahami apa Islam itu sebenarnya,'' jelas Encik Shanmugam.



Majlis semalam turut dihadiri seorang cendekiawan Islam dari Syria Shaykh Sayyid Muhammad Al-Yaqoubi yang dinobatkan sebagai antara 500 Muslim paling berpengaruh di dunia dan penulis buku Refuting ISIS: A Rebuttal Of Its Religious And Ideological Foundations.



Laporan lanjut: RRG perkenal program baru khusus belia




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >