Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

9 NMP akan dilantik pada 24 Jul

Dr Syed Harun Taha Alhabsyi dan Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim antara yang dilantik
Jul 17, 2023 | 06:23 PM



Sembilan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) akan dilantik oleh Presiden Halimah Yacob pada 24 Julai 2023.

Mereka termasuk konsultan psikiatri dari Starfish Psychiatry Pte Ltd, Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, dan Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, Ketua Program Keselamatan Awam dan Sekuriti di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Ini merupakan pelantikan mereka yang pertama, sama seperti yang lain, kecuali Encik Joshua Thomas Raj, rakan kongsi di firma guaman Wee Swee Teow LLC, yang akan berkhidmat bagi tempoh kedua.

Kedua-dua Dr Syed Harun dan Dr Razwana akur bahawa pelantikan sebagai NMP adalah satu peranan yang besar.

Sebagai NMP, Dr Syed Harun berkata beliau akan mengutarakan tiga topik kunci yang ingin didekati dalam Parlimen – mobiliti sosial, kesihatan mental dan belia.

Bercakap kepada Berita Harian, Dr Syed Harun, yang juga presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), berkata: “Saya percaya bahawa setiap rakyat Singapura harus mempunyai akses awal kepada pendidikan bermutu bagi mobiliti sosial dan mempunyai peluang untuk berbuat baik untuk diri dan keluarga.


“Dalam peranan sebagai seorang pakar psikiatri, saya berasa bertuah kerana dapat gambaran realiti kehidupan individu yang menghadapi cabaran kesihatan mental. Ramai daripada mereka juga bergelut dengan keadaan kesihatan yang kronik, menghadapi stigma dan bimbang untuk mendapatkan bantuan awal.

“Saya berharap dapat menyuarakan dan memberi perspektif saya dari lensa pengamal penjagaan kesihatan mental untuk mempengaruhi dasar dan perbincangan mengenai kesihatan mental, dan membawanya ke wacana perbincangan yang lebih besar berkaitan kesihatan secara umum.”

“Saya juga berharap akan menjadi suara golongan belia Singapura dan memperjuangkan apa yang mereka lihat penting untuk diri mereka dan untuk masa depan mereka. Saya percaya bahawa melabur dalam golongan belia adalah pelaburan bagi masa depan Singapura.”


Bagi Dr Razwana, beliau juga ingin menjadi suara bagi para belia, namun ingin juga meluaskan kepada kanak-kanak, keluarga dan individu yang memerlukan lebih perlindungan dan juga golongan wanita.

Selain kesihatan mental, Dr Razwana juga ingin menyentuh mengenai ekuiti pendidikan dan isu norma jantina.

“Ekuiti pendidikan bukan tentang melayan semua pelajar dengan sama, tetapi mengakui dan menangani cabaran-cabaran unik yang mereka hadapi untuk memastikan keadilan dan peluang yang sama untuk kejayaan.

“Selain itu, menghormati norma jantina, peranan dan hak memerlukan pendidikan dan kesedaran, daripada penglibatan budaya yang sesuai dan sensitif. Saya ingin berkongsi pendapat dalam bidang ini berdasarkan pemahaman saya tentang aspirasi wanita Islam dan perjuangan mereka untuk mengekalkan kewajipan agama dan budaya yang dikenakan dengan impian mereka untuk berdikari dan mampu diri.

“Saya percaya bahawa untuk peluang dan hak-hak saksama menjadi kenyataan, adalah penting menangani diskriminasi daripada lensa berbeza,” kata Dr Razwana ketika dihubungi Berita Harian.


Dr Razwana melihat peranan sebagai NMP adalah penting dan satu penghormatan besar untuk berkhidmat kepada Singapura.


“Saya teruja untuk memulakan lembaran baru ini dan saya komited untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ini dan berkhidmat dengan penuh dedikasi,” tambah beliau yang juga merupakan Naib Presiden II, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).


NMP yang lain ialah pengasas bersama Cik Chandradas Usha Ranee, Plural Art Mag; Encik Chua Tiang Choon Keith, pengerusi eksekutif ABR Holdings Limited; Encik Mark Lee Kean Phi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sing Lun Holdings Pte Ltd; Encik Ong Hua Han, penolong naib presiden Deutsche Bank AG; Encik Parekh Nimil Rajnikant, Ketua Pegawai Eksekutif Pegasus Asia; dan Cik Jean See, Pengarah Unit NTUC Pekerja Bebas dan Bekerja Sendiri (U FSE).

Nama-nama mereka telah diumumkan di Parlimen pada Isnin.

Mereka akan dilantik selama tempoh dua setengah tahun oleh Puan Halimah pada 24 Julai dan akan mengangkat sumpah semasa Parlimen pada Ogos.


Sebanyak 30 nama telah diajukan untuk jawatan NMP dan ini merupakan jumlah terendah sejak Parlimen kesembilan dibubar pada 2001.


Sembilan NMP itu dipilih oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, yang dipengerusikan Speaker Parlimen ketika itu, Encik Tan Chuan-Jin.


Mengumumkan senarai tersebut, Encik Tan berkata: “Ramai calon luar biasa tampil mengemukakan nama mereka untuk dipertimbang. Setelah mempertimbangkan dengan teliti, kami telah menetapkan bahawa sembilan calon telah memenuhi semua kriteria perlembagaan dan layak untuk dilantik.


“Mereka juga mempunyai pencapaian ketara dalam domain masing-masing dan pemahaman kukuh mengenai isu-isu yang dekat di hati. Kami yakin mereka akan memperkaya perbahasan Parlimen dengan membawa kepelbagaian perspektif dan pandangan yang bebas.”


Cik Indranee Rajah, Ketua Dewan dan anggota jawatankuasa itu, berkata: “Kami berbesar hati mengalu-alukan kohort baru NMP yang telah membuat sumbangan besar kepada masyarakat dan cemerlang dalam domain masing-masing.


“Kami menantikan penyertaan mereka yang akan menambah spektrum pandangan dan pengalaman yang dikongsi di Dewan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemohon atas masa dan minat mereka. Jawatankuasa ini sangat berbesar hati dengan semangat dan semangat mereka untuk menyumbang kepada kebaikan Singapura.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >