Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Acara fizikal dibatal, dana badan Melayu terjejas

Sikap ihsan masyarakat tetap terserlah apabila kempen dalam talian badan Melayu Islam dalam tempoh Covid-19 disambut baik
MMO
Sep 21, 2020 | 05:30 AM



JUMLAH dana yang dikumpul pertubuhan Melayu Islam (MMO) secara keseluruhan agak terjejas apabila kebanyakan acara fizikal terpaksa dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.



Namun, sikap ihsan masyarakat tetap terserlah apabila usaha serta kempen pengumpulan dana dalam talian MMO disambut baik.



Bahkan, beberapa MMO di sini memberitahu Berita Harian peningkatan dapat dilihat dari segi jumlah dana yang dikumpulkan dalam talian berbanding tahun-tahun sebelumnya.



Ketiadaan acara fizikal mendorong MMO untuk mengubah tumpuan dan memanfaatkan kemudahan digital dan dalam talian demi menyediakan wadah untuk sumbangan orang ramai.



Walaupun beberapa acara tahunan yang telah dirancang awal terpaksa dibatalkan, Persatuan Pemuda Pemudi Islam Singapura (PPIS) berjaya menjalankan kempen tahunan Projek Ihsan Ramadan (PIR) 2 secara dalam talian April lalu.



Selain itu, PPIS juga memanfaatkan wadah seperti portal Giving.sg dan media sosial untuk menarik perhatian mereka yang ingin menyumbang.



"Sambutan yang kami terima lebih positif daripada yang kita jangkakan dan kita berjaya mencapai sasaran (jumlah dana) bagi PIR," ujar jurucakapnya.



Bagi AMP pula, pengumpulan dana memang tertumpu terhadap kempen di radio dan media sosial, justeru langkah-langkah sekatan Covid-19 tidak menjejas teruk pengumpulan dana.



Malah, menurut Pemangku Pengarah Eksekutif AMP, Cik Zarina Yusof, pertubuhan tersebut telah menerima sumbangan yang memberangsangkan dari masyarakat terutama sekali semasa Ramadan.



Jumlah dana yang dikumpulkan semasa tempoh itu naik 15 peratus berbanding tahun lalu, katanya.



"Peningkatan ini juga menunjukkan pada masa sukar, orang ramai lebih terdorong untuk menderma dan membantu antara satu sama lain, jadi kami berbesar hati dapat sokongan daripada masyarakat buat masa ini," ujarnya.



Meskipun demikian, MMO yang dihubungi memberitahu Berita Harian apabila kebanyakan acara mengumpul dana fizikal dibatalkan, jumlah dana keseluruhan berkurangan antara 20 dengan 50 peratus berbanding dahulu.



Menurut jurucakap 4PM, ia memerlukan sekitar $1.5 juta setiap tahun untuk meneruskan khidmat dan kos operasi.



Jumlah ini biasanya dikumpul melalui acara berbeza sepanjang tahun, tetapi kebanyakannya terpaksa dibatalkan atau dibuat pada skala yang lebih kecil.



"Cabaran ini menjejas jumlah dana yang dapat kami kumpulkan. Ketidaktentuan ekonomi juga bermakna kurangnya tajaan korporat.



"Justeru, ini menyukarkan lagi usaha mengumpul dana untuk meneruskan khidmat sedia ada kami," ujarnya.



Tinjauan Pusat Sukarelawan dan Dermawan Nasional (NVPC) mendapati terdapat beberapa badan amal yang menghadapi masalah semasa tempoh Covid-19.



"Dengan mempertimbangkan perubahan terhadap cara acara dan kegiatan dijalankan, beberapa badan amal juga memutuskan untuk mengubah model operasi mereka, dengan menyalurkan dana kepada program lain untuk menyesuaikan diri terhadap cabaran yang dihadapi," menurut kenyataan yang dikeluarkan minggu lalu.



Tinjauan itu turut mendedahkan jumlah warga Singapura yang ingin menderma jatuh dari 32 peratus pada April kepada 23 peratus Julai lalu.



Sebab utama yang diberikan adalah kekurangan sumber seperti wang dan barang-barangan, tambah kenyataan itu.



Dalam tinjauan sebelum itu, NVPC turut mendapati jumlah wang yang dikumpul bagi usaha amal dalam sektor yang tidak berkaitan Covid-19 secara langsung telah menurun. Terdapat beberapa badan amal yang menyaksikan jumlah pendermaan menjunam sebanyak 80 peratus, tambah kenyataan itu.




KEHADIRAN DALAM TALIAN BANTU TINGKATKAN DANA AMP



"Usaha pengumpulan dana kami bertumpu kepada kempen radio dan di media sosial, serta penghantaran mel pukal, jadi dengan itu, langkah-langkah sekatan Covid-19 tidak menjejas teruk pengumpulan dana kami kerana ia tidak melibatkan interaksi secara fizikal.

Kami tumpukan lebih banyak perhatian terhadap media sosial supaya kami dapat meningkatkan lagi kesedaran tentang usaha pengumpulan dana dan program AMP di antara pengikut kami."

- Cik Zarina Yusof, pemangku pengarah eksekutif AMP.




4PM AMAT BERGANTUNG PADA GERAN, DERMA AWAM



"Sebagai organisasi kebajikan, 4PM amat bergantung pada geran dan derma awam untuk membantu mengekalkan khidmat yang kami lakukan.

... Kami mengalu-alukan orang ramai menyokong projek ini dan amat berterima kasih kepada semua bentuk bantuan, tak kisahlah sama ada besar atau kecil.

"Sumbangan anda akan membolehkan kami meneruskan program dan khidmat kami kepada mereka yang kami bantu."

- Jurucakap 4PM.




PPIS UBAH SUAI STRATEGI KUMPUL DANA



"Disebabkan pergerakan terhad akibat wabak ini, sebahagian besar acara kumpul dana fizikal yang telah dirancangkan pada awal tahun ini seperti Maraton Sampul Raya kami terpaksa dibatalkan.

Tabung Masjid Jumaat (FMC) PPIS pada awalnya ditangguhkan kepada Oktober tapi kerana langkah jarak selamat yang ada sekarang, kami masih tidak dapat melakukan acara fizikal.

Oleh itu, kami menukarnya menjadi kempen kumpul dana dalam talian pula."

- Jurucakap PPIS.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >