Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Ada apa pada nama?

Walau apa pun... nama bunga ke... nama klasik ke... yang penting ia bawa makna baik
Jul 04, 2021 | 05:30 AM



NAMA, itulah antara maklumat terawal yang akan kita kongsi bersama orang lain tentang diri kita.



Tidak syak lagi, nama memainkan peranan penting dalam identiti atau jati diri seseorang.



Namun, ada apa pada nama?



Sejauh manakah nama membentuk peribadi kita dan mempengaruhi persepsi kita terhadap diri kita sendiri?



Banyak kajian yang berkaitan dengan nama telah dilakukan dalam bidang psikologi.



Nama kita merupakan bahagian yang sangat penting dalam identiti kita.



Bahkan, nama menjadi bak penanda utama jati diri kita - kita tidak kata 'Saya bernama Fathin' tetapi 'Saya Fathin'.



Mungkin itulah sebabnya kadang-kadang kita rasa marah atau kecewa apabila orang lain salah menyebut atau salah mengeja nama kita.



(Panas rasanya telinga ini apabila orang memanggil saya dengan sebutan 'Fa-tén'; sakit juga mata memandang apabila nama saya dieja tanpa 'h'.)



NAMA MELAMBANGKAN BANGSA?



Dalam nama itu sendiri, kita dapat melihat kaitan budaya, kekeluargaan, sejarah dan agama.



Nama memberikan kita gambaran tentang siapa diri kita dan masyarakat kita.



Namun, saban tahun, jarang sekali kita berjumpa orang Melayu yang bernama Melayu.



Nama klasik yang bernuansa Melayu diketepikan atau sama sekali tidak diendahkan ibu bapa yang memilih nama anak-anak mereka hari ini.



Bahkan, bukan zaman ini sahaja, mungkin lebih tepatnya apabila Islam datang ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu.



Sebelum itu, kehidupan orang Melayu begitu dekat dengan alam, jadi tidak hairanlah unsur-unsur alam semulajadi menjadi inspirasi dalam menamakan anak.



Bunga-bunga seperti Melur, Dahlia dan Melati; pohon seperti Delima dan Cendana; serta khazanah bumi seperti Intan dan Mutiara dijadikan nama.



Selain unsur alam, perkataan-perkataan yang membawa maksud yang baik turut digunakan, misalnya: Anggun, Kasih, Wira dan Budi.



Sejak Islam - dan dengannya bahasa Arab - merebak ke dunia Melayu, nama-nama anak Melayu turut dipengaruhi nama-nama Arab.



Mungkin pengaruh Arab begitu kuat terhadap orang Melayu, mungkin juga orang Melayu mengaitkan nama Arab dengan 'keIslaman'.



Sejujurnya, sejauh ini, sukar mendapatkan jawapannya kerana tidak banyak atau kurang sekali kajian dalam bab ini yang dilakukan ahli akademik - di mana dan mengapa hilangnya nama-nama Melayu klasik?



Yang jelas, 'keIslaman' seseorang itu tidak boleh dilihat hanya pada namanya.



Bahkan, dalam agama Islam pun, tidak pernah diwajibkan untuk menamakan seseorang dengan nama bernuansa Arab.



Panduan yang diberikan Nabi Muhammad saw dalam menamakan anak ialah memberi nama-nama yang baik dan elok.



Dalam hadis-hadis lain pula, pernah disebutkan nama yang paling baik ialah Abdullah dan Abdurrahman; Baginda juga menyarankan menamakan anak sempena nama-nama para Nabi.



Nama-nama yang baik dan elok itu ada pada setiap bangsa dan bahasa, termasuk Melayu.



ZAMAN BERUBAH, NAMA PUN BERUBAH?



Saya lahir pada zaman 1990-an, dan rata-rata trend nama anak perempuan ketika itu ialah 'Nur ...', 'Siti ...', 'Nurul ...' dan bagi anak lelaki pula 'Muhammad ...'.



Orang-orang yang segenerasi dengan ibu bapa saya pula kebanyakannya dinamakan dengan satu nama, misalnya, nama ayah saya, 'Awalludin'.



Kini, semakin ramai ibu bapa Melayu yang menamakan anak-anak mereka dengan nama lebih eksotik yang berunsur bukan sahaja Arab, malah India dan Inggeris.



Malah, trend menamakan anak dengan dua atau tiga nama (tidak termasuk nama bapa) yang mula 'hangat' beberapa tahun lalu masih lagi berterusan hari ini.



Bukan itu sahaja, sebutan dan ejaan nama-nama 'anak-anak moden' ini juga semakin unik.



Dalam satu wawancara dengan wadah media Quartz, Laura Wattenberg, pengasas laman menamakan bayi, Baby Name Wizard berkata:



"Saya rasa bagi generasi dahulu, ibu bapa lebih cenderung memastikan nama anak-anak mereka tidak jauh beza dari nama anak-anak lain.



"Namun, dalam sekitar 20 tahun kebelakangan, fokusnya adalah 100 peratus untuk menjadi lebih menonjol.



"Ibu bapa sekarang sangat, sangat khuatir anak-anak mereka 'biasa-biasa' sahaja (dan bukan luarbiasa)."



Jika itu benar, bukankah sekarang merupakan waktu terbaik menamakan anak dengan nama klasik Melayu yang jarang digunakan lagi sehingga hampir pupus?



Hari ini, jika ada murid yang bernama 'Anggun Delima' atau 'Wira Armada', kemungkinan besar dialah satu-satunya murid di sekolah dengan nama tersebut.



Mungkin sesetengah orang Melayu merasakan nama Melayu klasik tidak sedap didengar atau terlalu kuno.



Saya cuba lakukan eksperimen ringkas sendiri di Instagram di mana pilihan dua nama diberikan - satu nama Melayu dan satu nama bukan Melayu - dengan kedua-dua nama membawa makna yang sama.



Soalannya: Nama yang manakah yang akan anda gunakan bagi anak anda?



Keputusannya: Melati (52%) berbanding Jasmine (48%); Mawar (42%) berbanding Rose (58%); Indra (60%) berbanding Malik (40%); Wira (48%) berbanding Fayaz (52%). Meskipun eksperimen tersebut tidaklah saintifik sama sekali, sedikit sebanyak kita dapat lihat bahawa orang kita tidaklah membenci nama-nama klasik Melayu. Mungkinkah pula nama-nama tradisional belum lagi dianggap trendy pada zaman ini?



Apa pun, Melayu, Inggeris mahupun Arab, yang penting nama itu nama yang baik maknanya kerana itulah gelaran kita sehingga pada hari kiamat kelak.



Mawar, Ros atau Wardah, semuanya membawa makna bunga indah yang sama, namun samakah manisnya disebut di bibir?



Terpulang cita rasa masing-masing.




"Kini, semakin ramai ibu bapa Melayu yang menamakan anak-anak mereka dengan nama lebih eksotik yang berunsur bukan sahaja Arab, malah India dan Inggeris. Malah, trend menamakan anak dengan dua atau tiga nama (tidak termasuk nama bapa) yang mula 'hangat' beberapa tahun lalu masih lagi berterusan hari ini. Bukan itu sahaja, sebutan dan ejaan nama-nama 'anak-anak moden' ini juga semakin unik.''
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >