Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Akhbar Gen G 2024 diberi nafas baru, pupuk minat bahasa pelajar

Dec 03, 2023 | 05:30 AM



Dekati hati pelajar, dekati bahasa ibunda.

Pendekatan ini menjadi tumpuan Cik Rita Zarina Mohd Nazeer dan Encik Awalludin Abdul Jabbar, dua guru bahasa Melayu sekolah menengah yang gigih memupuk minat pelajar terhadap bahasa Melayu melalui pelbagai wadah, termasuk akhbar pelajar Berita Harian (BH), Gen G.


Kehadiran mereka di acara Hari Penghargaan Guru baru-baru ini di restoran The Malayan Council, Winstedt Road, menjadi satu pengalaman berharga, terutama dengan adanya sesi perkongsian oleh penulis Gen G dan wartawan BH, Encik Muhammad Izwandi Azman.


Dalam perkongsian tersebut, mereka diberikan taklimat mengenai edisi terbaru Gen G, yang bakal diberi nafas baru dan diterbit pada 8 Januari 2024.

“Pembaharuan akhbar Gen G akan memberi guru satu lagi sumber menarik untuk memperkaya bahan bacaan di sekolah. Kami berharap mereka dapat memanfaatkan sumber baru ini bukan sahaja untuk membantu pelajar memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu, tetapi juga pengetahuan mereka tentang perkembangan semasa,” kata Editor BH/BM, Encik Nazry Mokhtar.

Dengan seksyen baru seperti ‘Ehwal Semasa’ yang merangkumi tiga tahap bacaan, Gen G berusaha memenuhi pelbagai keperluan pelajar pada peringkat kemahiran bahasa yang berbeza dan juga mendedahkan kepada isu relevan, kata Encik Izwandi.


Di samping mencakup berita-berita serius dan isu-isu mendalam, menambah unsur-unsur ringan seperti seksyen ‘Tular’ dan ‘Kaki Makan’ adalah penting untuk mendapatkan keseimbangan dan merangsang minat pelajar dalam membaca dan menyumbang kepada akhbar sekolah.

Encik Awalludin, 54 tahun, guru Sekolah Menengah Bedok Green, mengakui bahawa cabaran yang beliau hadapi sewaktu mengajar Bahasa Melayu adalah kurang minat dan kurang pendedahan di kalangan pelajar membaca berita ehwal semasa dalam bahasa tersebut.

“Saya berasa seksyen ‘Tular’ dan ‘Kaki Makan’ yang membincangkan topik santai dan menghiburkan adalah elemen penting dalam menarik perhatian pelajar,” kata beliau yang mempunyai ijazah sarjana dalam bidang pendidikan dari Institut Pendidikan Nasional Universiti Teknologi Nanyang.

Akhbar Gen G lebih sesuai dan mudah digunakan sebagai bahan pembelajaran berbanding surat khabar biasa kerana ia menyampaikan isu semasa dalam format yang lebih menarik dan mudah difahami pelajar, seperti artikel pendek dan grafik, tambah beliau.


Cik Rita, 50 tahun, guru Sekolah Menengah Marsiling, pula mengalu-alukan seksyen ‘Warkah’ yang akan menonjolkan lebih banyak sumbangan artikel dari pelajar.

“Apabila pelajar melihat rakan sebaya mereka dapat menulis dengan baik, ia boleh menjadi pendorong dan inspirasi bahawa mereka juga dapat melakukannya,” ujar ibu empat anak itu.

Sempena sesi perkongsian Gen G semasa acara itu, wartawan video, Encik Abdul Qayyum Sarip, turut mengendalikan bengkel menyunting video dengan aplikasi Capcut.


Dalam kumpulan sekitar lapan orang, guru-guru berusaha untuk mencipta video ulasan makanan yang terbaik, bersaing untuk memenangi hadiah tiket wayang Golden Village.

Mengimbas sesi itu, Cik Rita berkata: “Saya yakin kebolehan mencipta video adalah kemahiran yang penting bagi guru kerana ia dapat memperluas wadah pengajaran, terutama dengan pelajar yang aktif di media sosial seperti TikTok. Dengan memanfaatkan platform ini, pengajaran dapat menjadi lebih dinamik dan menarik.”

Kedua-dua guru menyatakan bahawa memanfaatkan teknologi dalam era digital adalah satu pendekatan yang amat berkesan dalam proses pengajaran.

Pendekatan ini menggambarkan kesediaan mereka untuk menyelaraskan diri dengan perubahan dalam dunia pendidikan, sambil terus berusaha mencari cara inovatif untuk menjadikan pengajaran Bahasa Melayu lebih relevan dan menarik bagi pelajar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >