Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Amla bakal dipinda, perjelas peranan Muis bagi Wakaf Masyarakat S’pura

Masagos umum pindaan pada Amla semasa temu media setempat, turut kongsi pencapaian M³ dalam pendidikan dan pekerjaan, kesihatan, kekeluargaan
Dec 03, 2023 | 05:30 AM



Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) akan dipinda demi memperuntuk penubuhan wakaf, antaranya untuk memperjelas peranan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam membentuk dan melaksanakan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).

Ia juga akan mengusulkan bagi definisi wakaf diperluas supaya ia merangkumi penderma yang merupakan masyarakat Islam kolektif di Singapura berbanding hanya seorang individu atau keluarga.

WMS, yang diumumkan pada 2020, ialah dana endowmen Islam yang bertujuan menyokong institusi keagamaan, pembangunan asatizah dan program jangka panjang masyarakat menerusi sumbangan Muslim di sini.

Menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM), jurucakap Muis berkata pindaan itu akan membantu menjelaskan peranan lembaga berkanun itu dalam perwujudan dan operasi WMS, selain mempertingkatkan lagi ketelusan dan tadbir urus demi memastikan keyakinan dan penyertaan orang awam dalam WMS.


Mengumumkan pindaan tersebut baru-baru ini, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata ia diputuskan menyusuli konsultasi bersama Pejabat Peguam Negara (AGC) dan bacaan pertama rang undang-undang bagi pindaan akta tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen pada awal 2024.

“Objektif Wakaf Masyarakat Singapura ialah malar hijau dan berpandangan ke hadapan dan akan memenuhi keperluan masyarakat kita,” kata Encik Masagos dalam sesi wawancara akhir tahun dengan media setempat yang merumuskan tentang pencapaian dan hal ehwal masyarakat Melayu/Islam sepanjang 2023.

Sesi wawancara itu, yang turut dihadiri penjawat politik Melayu lain, telah diadakan di Bangunan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada 29 November.

Encik Masagos menjelaskan bahawa WMS sangat diperlukan kerana masyarakat harus mengandalkan aset yang diperoleh atau dihasilkan oleh masyarakat sendiri untuk memenuhi keperluan masyarakat.

Sekiranya dana atau aset diberikan oleh kuasa, negara atau agensi asing, ia boleh menimbulkan keprihatinan tentang pengaruh luar yang menjejas penggunaan wakaf tersebut, yang “tidak mungkin dapat dikendalikan pada masa akan datang”.

Encik Masagos berkata aset cair yang dimiliki masyarakat Melayu/Islam Singapura hari ini berjumlah lebih $2 bilion, termasuk wang tunai, pelaburan dan sebagainya.

Bahkan, jika dilihat pada aset lain seperti pemilikan rumah, beliau menambah bahawa ramai anggota masyarakat telah berjaya memiliki lebih daripada satu rumah, dengan ada yang disewakan.

“Ini adalah aset yang saya fikir boleh kita minta daripada masyarakat untuk menyumbang kepada keperluan pembangunan masyarakat kita,” kata Encik Masagos.

Di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri yang diadakan dalam talian pada 2020, Encik Masagos telah memperkenalkan idea WMS dengan harapan mendorong masyarakat membina aset hartanah mereka dahulu dan mewakafkannya untuk menghasilkan aset cair di masa depan.

Aset cair – seperti wang tunai yang boleh digunakan dengan segera apabila diperlukan – boleh dimanfaatkan untuk pembangunan dan keperluan masyarakat Islam, seperti membiayai gaji asatizah, mewujudkan Kolej Islam Singapura dan memperbaharui pajakan masjid dan madrasah apabila tempoh pajakan tamat.

Satu Kumpulan Kerja Warga diterajui anggota majlis tertinggi Muis, Encik Abu Bakar Mohd Nor, telah ditubuhkan bagi mendapatkan pandangan bernas pakar daripada pelbagai sektor demi mewujudkan sistem atau rangka kerja yang berkesan dalam usaha menggalak masyarakat mewasiatkan hartanah mereka kepada WMS.


Dua panel penasihat – Panel Penasihat Pakar WMS dan Panel Penasihat Masyarakat WMS – juga telah dibentuk bagi mengemukakan saranan bagaimana untuk menggembleng sokongan masyarakat dan mengendali pelaksanaan wakaf itu.


Dalam sesi wawancara akhir tahun, itu, Encik Masagos turut berkongsi tentang pencapaian masyarakat Melayu/Islam dan perkembangan program di bawah M Kuasa Tiga (M³) dalam rangka kerja sebuah Masyarakat Gemilang yang didasari tiga ciri utama – Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan.

Beliau berkata masyarakat Melayu/Islam telah mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang seperti pendidikan dan kadar kebentanan pesalah, dengan semakin ramai bekerjasama antara satu sama lain untuk meningkatkan taraf kedudukan masyarakat.

Bahkan, idea masyarakat bersatu, dengan mereka yang telah mengecapi kejayaan menyumbang kembali, juga seiring dengan mesej sama yang diketengahkan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam gerakan Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Singapore, kata Encik Masagos.


Sedang cabaran baru muncul, masyarakat perlu terus bekerjasama untuk mengharungi apa jua masalah yang dihadapi, tambah beliau.

“Dalam masyarakat, akan sentiasa ada isu dan masalah yang menambah nilai kepada masyarakat. Kita sedar (tentang perkara ini). Pemimpin masyarakat sedar, pemimpin agama sedar, pemimpin politik sedar, bahawa apa jua yang berlaku, apa sahaja yang kita hadapi, kita mesti terus bersatu dan tidak boleh berpecah belah,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >