Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SOROTAN

Anak Melayu ketua jurutera kapal ronda semasa perang

Hari ini tepat 80 tahun lalu, kerajaan British menyerah kalah dan menyerahkan Singapura kepada Jepun, yang memberi pulau ini sebuah nama baru – Syonan-To, bermaksud Cahaya Pulau Selatan. Ramai daripada penduduk Singapura yang melalui zaman perang itu dan pemerintahan Negara Matahari Terbit mulai hari tersebut pada 1942 telah meninggal dunia. Sempena ulang tahun ke-80 Kejatuhan Singapura itu, BERITA HARIAN menggali semula sejarah dengan menemui sebuah keluarga yang ayah mereka berkhidmat dalam angkatan laut British di Singapura ketika itu dan seorang mangsa yang melalui keperitan hidup pada zaman perang tetapi bangkit kemudiannya untuk membina kehidupan baik buat keluarganya.
Allahyarham Sahat Tahir turut khidmat dalam operasi evakuasi askar British, Australia
Feb 15, 2022 | 05:30 AM



LUKISAN potret seorang lelaki memakai pakaian seragam angkatan laut lengkap dengan tiga pingat di dada kirinya menjadi kebanggaan bagi keluarga pelakon veteran Cik Nurijah Sahat.



Digantung di rumah kakaknya, Cik Nurhati Sahat, ia gambar ayah mereka - Allahyarham Encik Sahat Tahir, seorang askar laut yang berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua (WW2).



Namanya dicatat sebagai pemilik dua daripada tiga pingat itu, yang dipapar dalam pameran Perang Dunia Kedua terkini di Muzium Negara Singapura (NMS). Namun, muzium itu tidak meletak butiran lanjut mengenai hidupnya.



Pingat ketiga diberi Arkib Negara lebih 30 tahun lalu.



Menurut salah seorang anak Allahyarham, Encik Mohamad atau juga dikenali keluarganya sebagai Hasan, ayahnya dilantik menyertai Relawan Simpanan Laut Diraja Negara-Negara Selat (SSRNVR) pada 1936. Pasukan itu dinamakan semula Angkatan Simpanan Laut Diraja Malaya (MRNVR) pada 1941.



Kerana pengalamannya mengendali kapal sejak muda - meskipun tiada kelulusan formal - Allahyarham dijadikan ketua jurutera kapal ronda HMS Panglima semasa perang.



Menurut beberapa sumber, kapal itu adalah satu daripada dua kapal jenis motor-launch sepanjang 75 kaki yang dibina di Singapura pada 1937 bagi SSRNVR oleh syarikat Messrs. Thornycroft Ltd. Satu lagi ialah HMS Pahlawan.



Semasa WW2, HMS Panglima digunakan bagi operasi pengiringan dan perondaan laut sekitar Malaya (sekarang Malaysia) serta evakuasi askar British dan Australia.



Menurut Encik Mohamad, 75 tahun dan pesara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang kini memandu teksi, arwah ayahnya, yang lahir pada 29 Januari 1900, belajar mengendali kapal daripada seorang teman hingga berjaya mendapat pekerjaan sebagai aprentis di syarikat United Engineers.



Beliau kemudian bekerja dengan syarikat Thonycroft - yang membina HMS Panglima dan Pahlawan - sebelum menyertai MRNVR.



"Sebab itu bapa dipilih mengendali kapal itu kerana dia tahu selok-beloknya," kata Encik Mohamad, yang paling rapat dengan ayahnya.



Dalam sebuah laporan Berita Harian pada 1984, Allahyarham berkata HMS Panglima dan HMS Pahlawan setiap satu dilengkapi meriam, dua mesingan dan bom antikapal selam bagi meronda dan menjamin keamanaan perairan Malaya, termasuk Singapura waktu itu.



Laporan itu menambah bahawa kecuali dua atau tiga 'orang putih', termasuk kapten kapal, semua anak kapalnya adalah orang Melayu.



Encik Mohamad berkata: "Antara kisah yang selalu bapa ceritakan ialah kapal Panglima, yang agak kecil sahaja, asyik 'merengek'... eok eok eok



"Jadi semasa bertugas dekat enjin, dia marah kapal itu sambil menghentak kakinya di lantai. 'Hey nama engkau Panglima tapi kenapa kau suka merengek?'



"Lepas itu ia diam dan belayar laju, kata bapa."



HMS Panglima ditenggelam tentera Jepun pada Februari 1942 sewaktu ia menjalankan operasi evakuasi askar asing dari Singapura.



Apabila British kalah dan menyerahkan Singapura kepada Jepun, Encik Mohamad berkata arwah ayahnya pulang ke rumahnya di Bussorah Street.



Namun Allahyarham mendapati isteri sudah bernikah dengan orang lain kerana percaya beliau terkorban apabila mendengar berita kapalnya tenggelam.



Allahyarham kemudian hidup sebagai penjual otak-otak di kampung asalnya di Jalan Hajijah.



Menurut Encik Mohamad, Allahyarham pernah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat oleh Jepun.



"Tak jelas berapa hari dia ditahan tapi mujur dia kemudian dibebaskan," ujar beliau.



Allahyarham berkhidmat dalam MRNVR hingga 1947.



Setahun selepas perang, pada 1946, beliau bernikah dengan seorang ahli stenografi dari Jogjakarta, Indonesia, Allahyarhamha Cik Brianti Mangon Pawiro, menurut Encik Mohamad, anak sulung pasangan itu yang lahir setahun kemudian.



Allahyarham terus berlayar di atas kapal dagang hingga bersara sepenuhnya pada usia 74 tahun.



Beliau meninggal dunia di rumahnya di Blok 4, Bedok South Avenue 1 pada 1987.



Beliau mempunyai 13 anak daripada tiga perkahwinan. Kesemua isteri dan bekas isteri serta empat anak beliau sudah meninggal dunia.



Encik Mohamad berkata keluarganya terdorong memupuk minat sejarah keluarga mereka dalam diri anak dan cucu mereka.



"Orang muda sekarang perlu cuba mengambil tahu tentang sejarah keluarga mereka, tidak semestinya sejarah perang tapi kisah-kisah dulu yang boleh menjadi pengajaran," ujar Cik Nurijah, 59 tahun.



"Jika tidak, apabila mereka sudah tiada, cerita-cerita sebegini akan hilang bersama mereka begitu sahaja."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >