Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

AP gesa penggunaan dana berhemah, prihatin kesan kewangan bagi generasi masa depan

Feb 25, 2021 | 05:30 AM



ANGGOTA Parlimen (AP) menekankan perlunya terus bersikap berhati-hati dalam penggunaan rizab lampau sedang mereka melahirkan sokongan bagi langkah pemerintah menggunakan rizab itu untuk membiayai Pakej Daya Tahan Covid-19.



Ini lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, dengan perbelanjaan berkaitan pandemik itu kekal tinggi dan diperlukan, dengan pendapatan mungkin akan mengambil masa untuk pulih.



Sedang mereka turut menyokong langkah pemerintah menggunakan pinjaman, mereka juga menekankan perlunya sikap berdisiplin supaya tidak terlalu membebani generasi akan datang.



Ekonomi negara diramalkan pulih tahun ini.



Namun, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat sebelum ini berkata masih terdapat ketidaktentuan yang amat meluas.



Sekiranya keadaan pandemik ini bertambah buruk sekalipun, beliau menekankan bahawa pemerintah bersedia untuk terus melabur dalam bidang baru bagi mempersiap warga memanfaatkan perubahan struktur yang akan berlaku dan melakukan transformasi yang diperlukan.



Semasa bahas Belanjawan semalam, Encik Liang Eng Hwa (Bukit Panjang) berkata pemerintah boleh menangguhkan pelaburan ini hingga kedudukan kewangan Singapura bertambah baik.



Namun, ini akan bermakna Singapura akan kehilangan peluang untuk merangsang keupayaannya awal dan mendahului persaingan sementara ekonomi lain masih berdepan dengan cabaran krisis ini.



Encik Heng sebelum ini berkata pemerintah telah meminta pertimbangan Presiden Halimah Yacob untuk menggunakan rizab lampau jika keadaan Covid-19 bertambah buruk.



Menurut Encik Liang, sementara langkah itu satu pilihan yang boleh dilaksana, beliau turut mengusulkan alternatif kepada langkah tersebut.



"Kita telah menggunakan rizab bagi dua tahun kewangan yang lalu berturut-turut dan kita harus mempertimbang langkah ini sebagai langkah terakhir," ujarnya.



Tambahnya, setiap kali rizab lampau digunakan, ini juga memanfaatkan sebahagian daripada pelaburan kewangan negara dan oleh itu, negara tidak dapat menikmati hasil pulangan pelaburan itu dalam jangka masa panjang.



Sekiranya keadaan fiskal kekal ketat dalam penggal pemerintah ini dan ini adalah pelaburan yang wajar dan penting bagi masa akan datang, beliau mengusulkan agar justifikasi diberi bagi pembiayaan pelaburan yang berhubung dengan usaha Singapura bangkit lebih kukuh menerusi pinjaman bagi tujuan khusus.



Dengan cara ini, beliau berkata Singapura juga dapat meraih manfaat daripada kenyataan imbangan yang kukuh dan kedudukan kredit yang tinggi.



"Adalah penting kita kekal berhemah dan berdisiplin untuk memastikan kita beroperasi secara seimbang dan melindungi rizab kita agar ia dapat terus berkembang bagi generasi akan datang, seperti yang dilakukan generasi sebelum ini buat kita.



"Kita bertuah dapat menangani krisis generasi ini dalam kedudukan kita yang kukuh sekarang," ujar Encik Liang.



Dengan sejumlah rizab yang dikeluarkan dan digunakan dalam usaha Singapura memerangi Covid-19, Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, menyarankan penubuhan Pejabat Belanjawan Parlimen yang bebas sebagai langkah tambahan untuk memastikan penggunaan duit pembayar cukai secara berhemah dan bertanggungjawab.



Tambahnya, langkah ini sejajar dengan seruan Encik Heng bagi pendekatan fiskal yang berhemah selain menambah satu elemen penting sifat tanggungjawab dan ketelusan kepada orang awam.



"Keberkesanan langkah pemerintah harus boleh segera ditentukan. Tanpa pemeriksaan seperti itu, tanggapan bahawa sejumlah besar wang digunakan untuk menangani isu yang keberkesanannya sukar ditentukan mungkin terbentuk," ujar Encik Singh yang juga AP GRC Aljunied.



Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Hazel Poa, pula bertanya sama ada Puan Halimah tahu akan saiz sebenar rizab kewangan Singapura semasa beliau membuat keputusan memberi kelulusan bagi rizab itu dikeluarkan buat tahun kedua berturut-turut.



Menurut beliau, AP diminta mengundi Belanjawan yang memerlukan rizab lampau digunakan.



"Tanpa mengetahui kedudukan kewangan negara kita, adalah sukar untuk membuat keputusan yang baik dan berhemah, dan pastinya bukan keputusan yang termaklum.



"Oleh itu, saya meminta lebih ketelusan berhubung rizab nasional... agar warga Singapura dapat memahami lebih baik sebab sesetengah keputusan yang sukar perlu dibuat seperti menaikkan GST kepada 9 peratus pada masa akan datang," ujarnya.



Cik Foo Mee Har (GRC West Coast) berkata tekad pemerintah ini untuk bangkit lebih kukuh daripada krisis pandemik Covid-19 ini ditekankan pelbagai langkah kewangan yang diumumkan semasa Belanjawan tahun ini.



Bagi menangani keperluan jangka pendek, Pakej Daya Tahan Covid-19 bernilai $11 bilion diumumkan dan akan dibiayai dari rizab lampau buat tahun kedua berturut-turut.



Pemerintah juga berhasrat untuk mengeluarkan bon baru di bawah Akta Pinjaman Pemerintah Bagi Prasarana Penting (Singa) yang diusulkan untuk membiayai pelaburan prasarana jangka panjang yang besar yang memberi manfaat kepada generasi sekarang dan akan datang, seperti laluan MRT dan prasarana bagi melindungi negara dari paras air laut yang meningkat.



Had pinjaman akan ditetapkan pada $90 bilion sebagai perlindungan.



Cik Foo menarik perhatian bahawa pemerintah tidak mengambil pinjaman sejak 1980-an bagi tujuan pembangunan prasarana.



Menurutnya, penggunaan pinjaman untuk membiayai prasarana yang besar dan jangka panjang boleh mengurangkan tekanan untuk menambah pendapatan dan mengelak daripada mengetepikan pelaburan prasarana jangka panjang yang penting.



Dengan kadar faedah yang rendah serta kedudukan kredit AAA Singapura, Cik Foo berkata kos pinjaman itu tidak seharusnya membebani generasi akan datang.



"Sedang saya menyokong penggunaan pinjaman, kita harus bersikap berdisiplin dari segi jumlah yang dipinjam dan tujuan jumlah itu dipinjam.



"Ada hutang baik dan hutang buruk. Kita harus berjaga-jaga agar tidak terjerumus mengikut jejak langkah sesetengah negara lain, dengan beban membayar hutang menjadi komponen utama kewangan negara.



"Adalah tidak berdaya tahan untuk bergantung pada pinjaman untuk membiayai keperluan perbelanjaan yang berulang seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan," ujar Cik Foo.



Ini serupa dengan amalan tidak meminjam wang bagi kegunaan harian.



Namun, beliau berkata seseorang itu biasanya meminjam wang untuk melabur dalam flatnya, menyediakan perumahan jangka panjang bagi keluarga mereka dan sebagai aset bagi hari persaraan mereka.



Cik Foo juga ingin tahu bagaimana had pinjaman $90 bilion itu ditentukan dan sama ada ia akan disesuaikan apabila Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) berkembang.



Beliau juga ingin tahu bagaimana kedudukan kredit AAA Singapura akan terjejas dengan pinjaman itu dan beban pada generasi akan datang untuk membayar semula hutang tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >