Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PENDEKATAN SERAMPANG BERBILANG MATA DALAM MEMERANGI PENIPUAN PANCING DATA DAN SERANGAN PERDAYAAN

Pemerintah, bank akan perkukuh perlindungan bagi gagalkan penipuan: Wong

Feb 16, 2022 | 05:30 AM



PENGUASA Kewangan Singapura (MAS) dan Persatuan Bank Singapura (ABS) telah meningkatkan usaha melaksana langkah selanjutnya bagi memperkukuh keupayaan bank secara menyeluruh dalam menghalang, mengesan dan memerangi penipuan pancingan data, kata Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.



Menyusuli kes penipuan pancingan data yang menyasarkan pelanggan OCBC Bank, MAS telah mempercepat proses pengukuhan piawaian kawalan antipenipuan di semua bank tempatan.



Encik Wong berkata penipuan terbaru melibatkan OCBC mencerminkan kegigihan penipuan pancingan data melibatkan bank. Penipu terlibat menggunakan "gabungan taktik yang dirancang dengan baik untuk mencapai tahap realisme yang tidak dilihat dalam serangan pancingan data sebelum ini", ujar Encik Wong.



"Oleh itu, pemerintah akan terus mengukuhkan perlindungan dalam saluran perbankan digital dan ekosistem lebih luas untuk membantu menggagalkan ancaman yang dipertingkat ini."



Beliau berkata demikian di Parlimen semalam bagi menjawab 39 soalan yang difailkan Anggota Parlimen (AP) mengenai penipuan pancingan data dan penipuan dalam talian berikutan insiden OCBC itu.



Bagi menangani perkara ini, Encik Wong berkata langkah tambahan, seperti meniadakan pautan boleh diklik dalam SMS atau e-mel yang dihantar kepada pelanggan, diumum kan MAS dan ABS bulan lalu sebagai langkah pertama yang perlu diambil segera.



Walaupun langkah itu mengurangkan risiko penipuan pancingan data, beliau menegaskan ia tidak menghapuskan ancaman itu sama sekali. Encik Wong berkata bank "boleh dan harus berbuat lebih banyak untuk melindungi pelanggan mereka", melebihi langkah segera yang diambil itu.



Beliau, yang juga Timbalan Pengerusi MAS, juga membentangkan lima langkah utama yang sedang dipertimbang pihak berkuasa. Ini termasuk mengukuhkan lagi keupayaan pengawasan penipuan bank untuk mengenal pasti transaksi mencurigakan, termasuk transaksi kad kredit.



Bank juga harus meningkatkan keupayaan mereka untuk segera menyekat transaksi mencurigakan dan menghubungi pelanggan bagi mengesahkan kesahihannya.



Pada masa sama, MAS dan bank sedang menimbangkan memperkenal pengesahan pelanggan tambahan, bagi sebarang perubahan ketara pada akaun pelanggan atau transaksi berisiko tinggi.



Encik Wong berkata ini termasuk perubahan dalam butiran pemegang akaun, mengaktifkan token pada peranti lain, pemindahan dana besar berbanding baki keseluruhannya dan pemindahan ke luar negara



Selain kata laluan dan nombor laluan sekali guna (OTP) sebagai cara pengesahan, Encik Wong berkata bank harus meneroka meluaskan penggunaan teknologi biometrik sebagai cara pengesahan.



"Ini akan menambah satu lagi lapisan keselamatan yang tidak boleh dipancing dengan mudah oleh penipu untuk mengakses akaun pelanggan," ujarnya.



Akhir sekali, Encik Wong berkata bank akan mempercepat peralihan ke arah penggunaan aplikasi perbankan mudah alih bagi pengesahan pelanggan, kebenaran transaksi dan penghantaran pemberitahuan bank.



Jika dilaksana dengan baik, ia akan lebih menyukarkan penipu menyalah guna aplikasi perbankan mudah alih, kata beliau.



Encik Wong menambah bahawa MAS dan bank sedang mengkaji semula penggunaan SMS untuk menghantar OTP, disamping langkah-langkah lain bagi mengurangkan risiko jka amalan ini harus diteruskan.



"Tiada satu langkah yang boleh menjamin keselamatan perbankan digital. Teknik yang digunakan penipu sentiasa berkembang. Inilah sebabnya dalam memerangi penipuan, bank perlu menggunakan gabungan langkah dalam pencegahan, pengesanan, respons dan pemulihan, dan sentiasa menyemak dan menyusun semula langkah-langkah ini," kata Encik Wong lagi.



Dalam ucapannya, Encik Wong juga mendedahkan bahawa Majlis Pembayaran yang dipengerusikan MAS telah mengusahakan rangka kerja bagi perkongsian saksama kerugian yang timbul daripada penipuan.



Menurut beliau, MAS telah menetapkan jangkaan agar bank memberi setiap pelanggan mereka layanan adil apabila meneliti laporan transaksi penipuan.



Beliau menambah bahawa pembayaran muhibah OCBC adalah "tanda muhibah sekali sahaja dan tidak menetapkan preseden umum bagi kes yang boleh terjadi pada masa hadapan".



Di bawah rangka kerja baru ini, kedua-duanya, bank dan pelanggan mereka, mempunyai tanggungjawab masing-masing dan bahagian kerugian yang ditanggung setiap pihak bergantung sama ada dan bagaimana pihak itu telah gagal melaksana tanggungjawabnya.



Encik Wong berkata MAS sedang menerbitkan rangka kerja ini bagi perundingan awam dalam tempoh tiga bulan ini.



"Institusi kewangan harus menanggung bahagian kerugian sewajarnya akibat penipuan, tetapi langkah berhati-hati juga mesti diambil untuk memastikan sebarang pampasan yang dibayar kepada pelanggan tidak melemahkan insentif mereka untuk kekal berwaspada," kata Encik Wong.




APA KATA AP



Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh)



Soalan yang diajukan:



a) Jumlah kes yang telah didakwa di bawah Akta Kawalan penipuan 20J07 dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2012 berkaitan dengan SMS tanpa diminta yang menawarkan peluang pekerjaan, dalam tempoh dua tahun yang lalu?



b) Apakah tindakan lain yang sedang diambil untuk memerangi masalah SMS yang tidak diminta tersebut selain penubuhan 'Do Not Call Registry' pada 2014?



Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol)



Soalan yang diajukan:



a) Sama ada pembayaran muhibah bank OCBC akan menetapkan preseden untuk kejadian sedemikian di masa hadapan?



b) Bagaimana Kementerian akan memastikan bahawa pembayaran ini tidak membawa kepada sikap sambil lewa dalam kewaspadaan terhadap penipuan pancingan data?



c) Sama ada pembayaran muhibah tersebut akan menggalakkan penipu untuk memberi lebih tumpuan kepada bank Singapura?



Encik Christopher de Souza (GRC Holland-Bukit Timah)



Soalan yang diajukan:



a) Apakah pendekatan pelbagai serampang yang diambil oleh MAS dan Pasukan Polis Singapura bersama syarikat telekomunikasi dan bank untuk memerangi penipuan pancingan data?



Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang)



Soalan yang diajukan:



a) Pada tahun-tahun yang lalu, apakah peratusan transaksi tanpa kebenaran yang dibuat pada kad kredit?



b) Apakah peratusan pemulihan jumlah yang terlibat dalam urus niaga yang tidak dibenarkan?



c) Sama ada perlindungan tambahan, di luar kata laluan sekali sahaja, akan diperlukan untuk pelaksanaan oleh institusi kewangan tempatan bagi transaksi kad kredit seperti pemberitahuan mandatori untuk transaksi anomali yang dikenal pasti melalui algoritma komputer.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >