Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN ISU TUDUNG JURURAWAT

Asatizah seru beri pemerintah ruang bincang bersama masyarakat luas

Mar 25, 2021 | 05:30 AM



ASATIZAH mengajak masyarakat Melayu/Islam terus bersabar dan memberi ruang kepada pihak berkuasa berunding dengan masyarakat lebih luas berkaitan isu tudung bagi jururawat.



Mereka juga berharap masyarakat berhemah dan menjaga adab dalam menangani perkara itu, sebagaimana pendekatan sedemikian sejauh ini memberi hasil positif.



Kelmarin, pemerintah berkata peraturan mungkin diubah bagi membolehkan jururawat memakai tudung semasa bekerja sebagai sebahagian pakaian seragam mereka.



Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata pemerintah melihat ada sebab baik jururawat harus dibenarkan memakai tudung jika mereka memilih untuk berbuat demikian.



Namun, pemerintah akan mengambil masa beberapa bulan lagi untuk berunding dengan masyarakat bagi mencari huraian terbaik berhubung perkara tersebut.



Bayangan mengenai perubahan yang bakal dilaksana itu telah diberikan seawal enam bulan lalu, pada 31 Ogos, dalam satu perbincangan tertutup dengan asatizah, kata Encik Shanmugam kelmarin, dalam satu dialog bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).



Pengerusi bersama RRG, Ustaz Ali Mohamed, antara asatizah yang hadir dalam sesi pada Ogos itu.



"Apa yang kita dapat lihat, perbincangan dulu telah memberikan faedah dan buah pemikiran untuk kita terus berjalan (ke depan), dan sama-sama memahami kehendak masyarakat Melayu/Islam di sini.



"Sama ada kita berasa perkara ini berjalan dengan perlahan, itu tidak menjadi masalah kerana kalau kita sama-sama bersabar dan memahami keadaan pemerintah, saya kira satu hari apa yang kita kehendaki akan ada hasilnya," kata Ustaz Ali, semasa ditemui wartawan selepas dialog kelmarin.



Dalam dialog kelmarin, seorang lagi yang hadir pada perbincangan Ogos lalu, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), menjelaskan alasan perbincangan awal itu tidak dapat didedahkan kepada orang awam.



"Sebenarnya ada perbincangan yang libatkan asatizah senior dan junior di peringkat badan seperti Pergas, tapi kita tak maklumkan kepada masyarakat kerana ia masih tertutup.



"Kita tak tahu pendirian pemerintah dan tak mahu mengongsi berita yang belum konkrit.



"Sehingga hari ini bila menteri dah buat pengumuman baru kita boleh cakap secara terbuka dengan masyarakat," kata Ustaz Hasbi, yang juga pengerusi bersama RRG.



Beliau juga setuju akur perbincangan itu harus diadakan secara tertutup sebelum ini memandangkan ia isu sensitif.



Naib pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Ustaz Pasuni Maulan, pula berkata isu sensitif itu boleh membangkitkan emosi, dan "kita tidak boleh bertindak mengikut emosi kerana ia akan menggagalkan kita".



Menurut beliau, sedang perbincangan diadakan secara tertutup, ada orang yang bertanggapan asatizah "menikus" dan takut bersuara.



"Mereka tidak melihat kita bersuara. Kita tidak mahu bersuara dengan cara yang boleh merugikan kita. Setiap perjuangan ada strategi, tapi kalau kita gunakan strategi yang salah, kita tidak akan berjaya," ujarnya.



Namun, Ustaz Pasuni kecewa ada orang menggunakan kata-kata kesat di media sosial dalam usaha mempertahankan isu tersebut.



"Walaupun mereka bertujuan mempertahankan atau mendapatkan hak yang sepatutnya diberikan, ini tidak menghalalkan kata-kata kesat dilemparkan kepada pihak-pihak tertentu.



"Dalam apa juga perjuangan kita, kita mesti menjaga adab kita sebagai orang Islam kerana dengan adab kita, orang boleh menilai siapa kita," ujar Ustaz Pasuni.



Melangkah ke depan, asatizah turut melahirkan rasa yakin akan dapat melihat hasil positif.



Ustaz Zahid Zin meluahkan harapannya sedang perbincangan mengenai isu tudung diteruskan, masyarakat dapat terus bekerjasama demi meraih natijah positif.



"Harapan saya ialah kita bersama dapat membuat keputusan yang baik dan bermanfaat untuk kepentingan masyarakat kita bersama," ujar beliau.



Ustaz Ali ingin melihat masyarakat memupuk adab dan sikap berhemah dalam menjalani kehidupan dalam masyarakat majmuk di Singapura.



"Dalam negara yang mempunyai masyarakat dan agama yang berbagai, banyak kehendak masyarakat dan agama itu sendiri, kalau kita dapat memahami perkara ini dan kita cuba bekerjasama dan berlaku baik antara satu sama lain, saya kira kita akan dapat hidup dengan lebih harmoni," ujarnya.



Ustaz Hasbi pula mengajak masyarakat terus bersabar sedang pemerintah mengambil masa beberapa bulan lagi untuk berunding dengan masyarakat, sebelum mengumumkan perubahan mengenai peraturan tersebut.



"Pesanan kami kepada masyarakat supaya bersabarlah dan menunggu hasil yang baik," tambahnya.




"Setiap perjuangan ada strategi, tapi kalau kita gunakan strategi yang salah, kita tidak akan berjaya... Walaupun mereka (yang menggunakan kata-kata kesat) bertujuan mempertahankan atau mendapatkan hak yang sepatutnya diberikan, ini tidak menghalalkan kata-kata kesat dilemparkan kepada pihak-pihak tertentu. Dalam apa perjuangan kita pun, kita mesti menjaga adab kita sebagai orang Islam kerana dengan adab kita, orang boleh menilai siapa kita."
- Ustaz Pasuni Maulan, naib pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB).




"Sama ada kita berasa perkara ini berjalan dengan perlahan, itu tidak menjadi masalah kerana kalau kita sama-sama bersabar dan memahami keadaan pemerintah, saya kira satu hari apa yang kita hendaki akan ada hasilnya... Dalam negara yang mempunyai masyarakat dan agama yang berbagai, banyak kehendak masyarakat dan agama itu sendiri, kalau kita dapat memahami perkara ini dan kita cuba bekerjasama dan berlaku baik antara satu sama lain, saya kira kita akan dapat hidup dengan lebih harmoni."
- Ustaz Ali Mohamed, pengerusi bersama RRG.




KENYATAAN PERGAS



Tegas tegakkan harmoni agama



Pergas berbesar hati mengetahui mengenai perkembangan positif mengenai pemakaian tudung untuk jururawat Muslim di tempat kerja.



Pertama dan terpenting, kami bersyukur kepada Allah swt kerana membimbing kami dalam setiap langkah, dalam setiap tindakan, dalam setiap kata dan dalam setiap keputusan.



Kerana berita ini memang merupakan kuasa dan rahmat-Nya bahawa perkara baik datang kepada mereka yang sabar dan bersyukur.



"Dan ketika Tuhanmu menyatakan, 'Sekiranya kamu bersyukur, niscaya aku akan meningkatkanmu; tetapi jika kamu menyangkal, sesungguhnya hukumanku sangat berat.'' (Ibrahim 14: 7)



Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pemerintah yang telah mengambil langkah untuk mengkaji semula undang-undang setelah berbincang dengan para asatizah dan pemimpin agama kami selama beberapa bulan lalu.



Kami akan meneruskan usaha kami dalam menyediakan khidmat kepada masyarakat Islam dengan kemampuan terbaik kami dan kami terus bersatu dan tegas dalam menegakkan keharmonian agama.



Kami memohon doa dan sokongan dari anda dengan harapan impian yang kita kongsi ini menjadi kenyataan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >