AWAS jika anda menerima e-mel dari Iras yang meminta anda mengemas kini maklumat peribadi.
Ia sebenarnya satu penipuan.
Dalam kenyataannya pada Jumaat, Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) memberi amaran mengenai satu penipuan pancing data yang disebar menerusi e-mel dengan alamat noreply@u.iras.gov.sg.
E-mel itu meminta pembayar cukai mengklik satu pautan untuk mengemas kini butiran peribadi mereka.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengendahkan e-mel pancingan itu dan jangan sama sekali memberi sebarang maklumat peribadi, kad kredit atau butiran akaun bank, membuat pembayaran atau mematuhi sebarang arahan dalam e-mel itu,” kata Iras.
“Mereka yang terjejas penipuan tersebut dinasihatkan supaya membuat laporan polis,” tambah kenyataan itu.
Dalam e-mel itu, penerima diminta mengemas kini butiran dalam akaun mereka dengan mengklik satu pautan yang hanya akan sah sepanjang tempoh 12 jam.
E-mel itu ditandatangani sebagai “Government of Singapore” (Pemerintah Singapura).
E-mel sah dari Iras akan berakhir dengan alamat @iras.gov.sg dan penguasa itu tidak akan meminta maklumat berahsia, termasuk kata laluan, kata laluan sekali (OTP) SingPass, kad kredit dan butiran akaun bank, menerusi e-mel atau pautan web yang tidak dijamin selamat, menurut Iras dalam lamannya.
Di Singapura, pembayar cukai akan menerima notifikasi untuk memfailkan cukai mereka antara Februari dengan Mac menerusi e-mel, SMS atau surat.
Mereka yang perlu membayar cukai kemudian akan memfailkan demikian dari Mac hingga April dan sering menerima bil mereka mulai hujung April.