Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ERTI PENGORBANAN

Ayah Riz Sunawan gagahi diri urus keperluan anak dan isteri

Pengorbanan orang tua tiada tolok bandingannya. Apa sahaja sanggup dilakukan demi anak. Sempena Hari Raya Aidiladha ini, BERITA HARIAN mengupas pengorbanan tiga insan dalam melayari kehidupan meski berhadapan dengan pelbagai pancaroba. Anak hidapi penyakit saraf motor neuron (MND), isteri hadapi masalah ginjal dan perlukan dialisis
Jul 20, 2021 | 05:30 AM



HATI bapa mana yang tidak merintih, sayu, dan sedih apabila anak lelaki sulung yang dijangka menjaga dan kemungkinan mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga kini tidak lagi mampu melakukan demikian.



Malah tanggungjawab dan peranan yang perlu dipikul kini bertambah meski usia sudah mencecah 71 tahun.



Namun Encik Sunawan Dasuri, bapa mantan pembaca berita, Riz Sunawan atau nama sebenarnya Encik Asri Sunawan, tidak pernah mengeluh, menyesal ataupun merungut.



Kecekalan dan pengorbanan yang beliau tonjolkan demi menjaga anaknya yang menghidapi penyakit saraf motor neuron (MND), memang merupakan satu cerminan seorang bapa yang tidak pernah kenal erti penat demi kebaikan dan kesejahteraan anak kesayangan.



"Apabila kita mengetahui tentang penyakit ini tiga tahun lalu, memang sukar nak diterima juga. Siapa yang tak sedih? Mentelah lagi, ia berlaku kepada anak kita sendiri, darah daging kita.



"Usianya (Riz) sedang meningkat, kerjayanya mantap, tiba-tiba semuanya berubah dengan sekelip mata.



"Asri anak sulung daripada tiga beradik. Saya bayangkan satu hari nanti, dia yang akan mengambil alih peranan saya dan uruskan keluarga, tetapi apakan daya, ini pula sebaliknya.



"Tetapi kita pujuk diri kita sendiri. Mungkin ini satu ujian buat kita," katanya.



Apabila mengetahui anaknya itu memerlukan bantuan pernafasan, Encik Sunawan perlu mempelajari cara bagaimana menguruskannya jika mereka mahu membawa Riz balik ke rumah.



Beliau telah melalui kursus singkat untuk mengetahui bagaimana menggunakan mesin pernafasan ketika di rumah, menyedut keluar air liur, dan bagaimana mengalihkan Riz dari katil ke kerusi roda.



"Pendek kata semua aspek jagaan di rumah perlu saya pelajari terlebih dahulu sebelum doktor rasa yakin dan membenarkan Riz dibawa pulang ke rumah," katanya.



Menurutnya, penjagaannya agak rumit juga kerana perlu menggunakan tiub dan menukar tiub tersebut.



"Memang payah nak pelajari sesuatu yang baru pada usia sebegini tetapi demi anak kita teruskan.



"Tetapi apa yang lebih payah ialah melihat keadaannya. Kadang-kadang, saya tak berani nak tukar tiub bukan apa - sebab tak sampai hati. Yalah, cubit paha kiri, paha kanan terasa juga," katanya.



Mereka turut mendapatkan bantuan pembantu rumah untuk melaksanakan segala keperluan Riz.



Selain mengurus Riz, Encik Sunawan turut memikul tanggungjawab menjaga isterinya, Cik Jamaliah Sujak, 69 tahun, yang mengalami masalah ginjal.



Cik Jamaliah, yang pernah diserang angin ahmar, kini perlu menjalani rawatan dialisis air yang dilakukan di rumah selama 10 jam setiap hari.



Encik Sunawan, seorang pesara, berkata saat yang paling beliau hargai bersama anaknya ialah apabila mereka solat berjemaah bersama.



Riz yang kini anggota badannya sukar bergerak, hanya mampu menggunakan mata sahaja, sambil solat baring di atas katil, yang kedudukan katilnya juga sudah diletak menghala ke arah kiblat.



Bapanya akan solat berjemaah di sebelah katil anaknya itu.



"Doa setiap bapa itu pastinya agar anaknya kembali pulih, seperti mana Allah memberi dugaan ini, kami berdoa agar Dia juga yang mengambilnya.



"Tetapi paling utama, sebagai ayah kita berdoa agar perjalanan hidup anak sempurna, bahagia dan semoga segala amalannya diterima Allah swt," ujar beliau.



Ternyata, kasih sayang seorang ayah itu yang menatang anaknya bagai minyak yang penuh, tidak berakhir apabila anak itu meningkat dewasa.



Malah, ia berterusan selagi hayat dikandung badan.



"Kita tinggal di dunia ini pun sementara. Selagi ada tenaga, selagi ada kekuatan, kita akan terus cuba melakukan seberapa daya yang mungkin.



"Terima kasih kepada semua keluarga dan mereka yang datang berkunjung berjumpa Riz. Terima kasih juga atas segala bantuan yang dihulurkan sama ada dari segi sokongan, wang ringgit ataupun doa.



"Ini yang memberi saya semangat. Apa pun, saya reda dengan segala apa yang terjadi," katanya dengan linangan air mata.




 "Apabila kita mengetahui tentang penyakit ini tiga tahun lalu, memang sukar nak diterima juga. Siapa yang tak sedih?



Asri anak sulung daripada tiga beradik. Saya bayangkan satu hari nanti, dia yang akan mengambil alih peranan saya dan uruskan keluarga, tetapi apakan daya, ini pula sebaliknya...



Pendek kata semua aspek jagaan di rumah perlu saya pelajari terlebih dahulu sebelum doktor rasa yakin dan membenarkan Riz dibawa pulang ke rumah.



Memang payah nak pelajari sesuatu yang baru pada usia sebegini tetapi demi anak kita teruskan."
- Encik Sunawan Dasuri, 71 tahun, seorang pesara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >