Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Badan Melayu digesa tampil usaha cegah salah guna dadah

Faishal: Bantuan tenaga, kongsi sumber dapat pertingkat bantuan kepada pesalah dan keluarga mereka
Jun 21, 2021 | 05:30 AM



LEBIH banyak badan Melayu/Islam dapat tampil ke depan untuk memberi kerjasama dalam membantu usaha mencegah penyalahgunaan dadah dan memastikan ia tidak berulang dalam kalangan masyarakat, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.



Beliau menjelaskan bahawa dengan memberikan bantuan tenaga serta berkongsi sumber, sokongan kepada banduan, bekas banduan dan keluarga mereka dapat dipertingkatkan.



Dr Faishal berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya di majlis tamat Program Insan Mukmin (IM) yang diadakan secara maya semalam.



Dalam ucapannya, beliau memberi contoh kerjasama antara Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Persatuan Ulama dan Guru- Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam mengendalikan program IM ini di samping memberikan sokongan berterusan kepada para peserta.



"Ini adalah contoh yang baik untuk masyarakat; bagaimana apabila kita bersatu, ia dapat memberikan sokongan menyeluruh kepada para pesalah dan keluarga mereka," kata Dr Faishal.



Meski keadaan Covid-19 masih belum dapat ditangani, Dr Faishal turut menekankan bahawa sokongan ini perlu diteruskan sambil menambah usaha bersama diperlukan untuk membuat perbezaan dalam kehidupan mereka.



Justeru, beliau berkata usaha rakan masyarakat seperti Muis, Pergas dan relawan yang memainkan peranan penting dalam usaha menjalankan program seperti IM amat dihargai.



"Muis dan Pergas telah menjadi rakan kongsi yang berharga dalam usaha kami untuk mencegah kesalahan dari berlaku dan memastikan ia tidak diulang.



"Kami menghargai sokongan berterusan mereka dan berharap dapat meneruskan hubungan yang kuat," tambah Dr Faishal.



Semalam sekitar 13 peserta program IM dipertingkat telah diberi sijil yang menandakan mereka berjaya menamatkan program itu dengan cemerlang.



Program lapan bulan yang bermula pada Oktober lalu, dan merupakan kerjasama antara Pergas dan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) menyasarkan pesalah bentan yang ditahan di bawah rejim Pusat Pemulihan Dadah (DRC).



Program yang mula dirintis pada 2016, terbahagi kepada tiga fasa - yang pertama dan kedua dikendalikan ketika pesalah masih berada di dalam tahanan sementara fasa ketiga dijalankan setelah mereka beralih ke program berasaskan masyarakat (CBP).



Fasa pertama yang bertema muhasabah dan fasa kedua yang bertema taubah dan maghfirah akan diadakan dalam bentuk pembelajaran di dalam kelas.



Fasa ketiga pula akan disertai bekas pesalah setelah mereka dibebaskan dan ia memberi tumpuan pada integrasi bekas pesalah dengan masyarakat dan kegiatannya dijalankan di Masjid Al-Istighfar, yang juga merupakan fasa bimbingan luar.



Sepanjang tempoh ini, peserta akan didampingi relawan masyarakat atau befriender yang akan membantu memudahkan penyertaan mereka dalam pelbagai kegiatan sosial yang dianjurkan masjid.



Dr Faishal menggesa agar peserta yang berjaya menamatkan program IM ini untuk terus mengamalkan apa yang telah diraih dan kekal berhubungan dengan para asatizah yang membimbing mereka untuk mendapat bantuan jika diperlukan.



Bersependapat, Presiden Pergas, Ustaz Hasbi Hassan, pula berkata:



"Saya mengajak semua untuk mengamalkan apa yang telah diraih selama sesi Insan Mukmin ini. Saya syorkan semua graduan untuk terus berzikir dan melaksanakan perintah Allah, terus kuatkan diri supaya meninggalkan larangan-larangan Allah dan juga harus beristiqamah dalam hal-hal harian."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >