Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Bakti penasihat seni Madrasah Al-Arabiah diiktiraf

Feb 11, 2023 | 05:30 AM



DALAM tempoh sesingkat tiga tahun sebagai penasihat seni dan reka bentuk bagi Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI), Encik Ayob Ismail telah banyak menyumbang kepada pihak sekolah tersebut.



Antaranya beliau telah menyumbang pemasangan mural bagi acara pembukaan rasmi sekolah itu pada November 2020.



Bercakap kepada Berita Harian baru-baru ini, pensyarah kanan bagi produk pengalaman dan reka bentuk dalaman di Politeknik Nanyang (NYP) itu telah berjaya bekerjasama dengan pelajar serta guru untuk mengendalikan pemasangan mural dengan mereka menggunakan seramik untuk membentuk mural tanah liat tersebut.



"Walaupun pada masa itu masih ketat dengan sekatan peraturan Covid-19, pelajar dan kakitangan cerdas dan kreatif dengan mengambil peluang membina mural bersama," ujar Encik Ayob, 57 tahun, yang turut gembira dapat bersama menonjolkan karya kreatif pelajar bersama asatizah dalam pemasangan mural itu.



Beliau juga antara lain melibatkan diri dalam program jangkauan bagi membantu pelajar menengah merancakkan minat mereka dalam kesenian dan juga menggalak pelajar supaya meneruskan pembelajaran ke peringkat diploma.



Beliau menyelaras jangkauan NYP dengan menyediakan maklumat mengenai peluang posmenengah bagi pelajar, memadankan minat dan bakat mereka.



Penglibatan dan sumbangan Encik Ayob dihargai dan beliau merupakan antara empat penerima yang akan diberi Anugerah Rakan MAI semasa Majlis Haflah tahunan MAI hari ini.



"Alhamdulillah, saya berbesar hati dan menghargai penghormatan anugerah ini. Bagi saya, ini adalah tanda permulaan dalam kerjasama saya dengan MAI," katanya.



Encik Ayob juga terlibat dalam menasihati dan melakarkan reka bentuk makmal Realiti Maya (VR) sekolah itu awal tahun ini.



Dengan kepakarannya, Encik Ayob telah menasihati mengenai fungsi makmal itu dan telah berjaya menambahkan dinamik kepada bilik tersebut.



"Dari segi reka bentuk, kami harus melihat dari pelbagai aspek dan arah.



"Pada asalnya terdapat rintangan, iaitu sebuah lokar di bilik itu dan kami telah berbincang untuk merangkumi lokar tersebut dalam pelan bagi mencapai kesinambungan reka bentuk bilik tersebut," katanya.



Menurut pengetua Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Encik Herman Cher Ma'in: "Pihak madrasah berbesar hati atas penglibatan Encik Ayob sebagai penasihat kepada program seni dan reka bentuk MAI.



"Sebagai penyokong kepada pendidikan seni dan reka bentuk di Singapura, semangat beliau telah meresap kepada pelajar dan guru.



"Para pelajar seronok mempelajari kemahiran baru dan cara-cara baru berkomunikasi melalui seni halus.



"Guru-guru juga mendapat manfaat daripada idea-idea beliau mengenai pedagogi, mengenai bagaimana melibatkan pelajar dengan lebih baik di dalam dan di luar bilik darjah. Dan sesungguhnya beliau merupakan rakan MAI."



Menceritakan rancangannya bersama MAI tahun ini, Encik Ayob berkata mereka dalam perancangan menganjurkan bengkel pada Jun ini bersama pelajar.



"Dengan pengalaman dan ilmu yang saya peroleh, ini juga usaha saya dalam mengongsi apa yang mampu kepada pelajar dan asatizah.



"Saya mahu perhubungan kami bertambah akrab pada masa depan.



"Dalam pada itu, dengan bimbingan dan panduan yang dapat saya hulurkan, pelajar MAI akan memahami dengan lebih mendalam akan keluasan kesenian dan dapat mengejar cita-cita dan minat masing-masing," tambahnya.




PEMBINAAN MURAL



"Walaupun pada masa itu masih ketat dengan sekatan peraturan Covid-19, pelajar dan kakitangan cerdas dan kreatif dengan mengambil peluang membina mural bersama."



PENGIKTIRAFAN



"Alhamdulillah, saya berbesar hati dan menghargai penghormatan anugerah ini. Bagi saya, ini adalah tanda permulaan dalam kerjasama saya dengan MAI."
- Penasihat seni dan reka bentuk bagi Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI), Encik Ayob Ismail.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >