Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

CATATAN WARTAWAN

Bapa main peranan penting dalam pembesaran anak

Sudah tiba masa pemerintah lanjutkan cuti bapa kepada empat minggu seperti dalam Belanjawan 2023
Feb 20, 2023 | 05:30 AM



SETIAP kali jika saya memberitahu suami bahawa saya perlu bekerja pada hujung minggu, cuti sekolah atau hingga larut malam, beliau tidak pernah mengeluh atau rasa janggal jika perlu menjaga dan menguruskan tiga anak lelaki kami.



Malah ada kalanya, beliau dengan rela hati membawa mereka keluar bersiar-siar, ke taman haiwan, atau bermain bola bersama.



Dan sikapnya bukan hanya apabila anak-anak sudah meningkat dewasa sekarang dengan mereka lebih berdikari.



Tetapi sebaliknya, sikap sedemikian yang lebih terlibat dalam pembesaran anak-anak sudah dapat dilihat sejak anak sulung kami bayi lagi.



Beliau tidak kekok menguruskan segala perihal anak-anak daripada membersihkan bayi, membawa keluar bayi sendirian ataupun bangun malam untuk menguruskan bayi yang sedang sakit.



Saya rasa ini merupakan antara sifat yang dapat kita lihat secara amnya dalam kalangan bapa muda hari ini.



Mereka lebih "hands-on" dalam pembesaran anak-anak, bersama-sama dengan isteri.



Berbanding dengan zaman dahulu di mana hanya ibu sahaja yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam pengasuhan anak sementara si bapa keluar mencari nafkah, keadaannya agak berbeza hari ini.



Kian ramai para ibu yang keluar bekerja demi menokok tambah kepada ekonomi keluarga sedang perbelanjaan anak-anak bertambah apabila mereka semakin membesar.



Di samping itu, lebih ramai kaum ibu juga yang ingin mendaki tangga kerjaya, atau bekerja secara sambilan ataupun berjualan secara kecil-kecilan.



Semua ini menunjukkan bagaimana para bapa ini perlu meluaskan peranan mereka dan tidak boleh sekadar mengharapkan kaum ibu sahaja melakukan segalanya.



Justeru, pengumuman daripada Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bahawa cuti bapa akan ditambah daripada dua minggu kepada empat minggu, amat dialu-alukan.



Ia secara tidak langsung memberi isyarat daripada pemerintah bahawa tanggungjawab membesarkan anak tidak hanya terletak pada bahu kaum ibu sahaja bahkan kaum bapa.



Ia juga bertujuan mengurangkan ketidakseimbangan antara cuti ibu dengan cuti bapa.



Walaupun ia bersifat sukarela buat masa ini, tetapi pemerintah akan menjadikannya mandatori pada masa akan datang.



Menurut Encik Wong, banyak kajian yang dijalankan sama ada pada peringkat antarabangsa atau di Singapura, ia jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai bapa yang lebih peka terhadap pembesaran mereka mempunyai hasil fizikal, kognitif dan pembangunan emosional yang lebih baik.



Dan saya tidak menyangkalnya.



Sepanjang saya membesar, ada nilai-nilai murni yang dapat saya pelajari daripada arwah bapa saya.



Bukan bermakna nilai-nilai tersebut tidak saya raih daripada ibu.



Tetapi seakan ada perbezaan antara ibu yang cakap dengan ayah yang cakap.



Sebagai ayah, kedudukannya dalam keluarga ialah sebagai ketua keluarga, dan secara alami kita mahu dengar, patuhi dan ada kalanya raih inspirasi daripada ketua tersebut.



Arwah bapa saya seorang yang tidak banyak berbual tetapi setiap kali beliau bersuara, ada semacam satu kebijaksanaan atau 'wisdom' yang akan beliau kongsi.



Apa jua minatnya - sama ada dalam ilmu berkaitan politik ataupun sejarah - secara tidak langsung menjadi inspirasi dan dorongan bagi saya untuk meminati bidang tersebut.



Apa jua perbuatan murninya, menjadi iktibar kepada saya agar turut melakukan yang serupa.



Inilah perkembangan menyeluruh yang dapat saya raih.



Tidak bermaksud mereka yang datang daripada keluarga ibu tunggal atau bapa yang sudah tiada, akan ketinggalan dalam aspek ini.



Ada keluarga yang meski suami isteri telah bercerai, tanggungjawab kebapaan itu tetap berterusan.



Meski jika bapa sudah tiada, mereka akan cuba mendapatkan inspirasi 'father figure', atau tokoh bapa, itu daripada ahli keluarga yang terdekat, sama ada pak cik ataupun abang.



Kini, dalam pembesaran anak-anak saya juga saya dapat lihat persamaan yang serupa.



Walaupun saya ibarat 'Menteri Pendidikan' di rumah, tetapi apabila saya memerlukan anak-anak saya dinasihati atau "talk some sense into them", saya akan menyarankan agar suami saya melakukan demikian.



Mungkin cara pertuturannya lebih mudah diserap. Beliau sering memberi pandangan yang bersifat menyeluruh atau daripada sudut yang berbeza.



Yang paling penting sekali, bagi tiga anak lelaki saya, mereka melihat bapa mereka sebagai seseorang yang boleh mereka contohi, yang boleh mereka sanjungi, yang boleh mereka harapkan.



Bak kata pepatah Inggeris popular, 'To the world, you are a dad. But to the family, you are the world,' yang bermaksud daripada pandangan masyarakat dunia, seorang bapa itu hanya sekadar seorang bapa tetapi bagi si anak, bapa itulah dunia bagi mereka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >