BAS tanpa pemandu tidak lama lagi mungkin membawa penumpang antara Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Stesen MRT Pioneer yang berdekatan sebagai sebahagian daripada satu uji pandu.
Ia akan merupakan bas 'hijau' hibrid elektrik yang mempunyai bateri, yang akan dicas apabila ada peluang, misalnya ketika ia berhenti di perhentian bas atau depot.
Projek itu satu kerjasama antara Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Institut Penyelidikan Tenaga (ERI@N) NTU, yang menandatangani perjanjian pada Rabu (19 Okt) untuk membangunkan teknologi bas autonomi, atau pandu sendiri, atau tanpa pemandu.
Upacara memeterai perjanjian itu, dalam majlis perasmian Kongres dan Pameran Pengangkutan Antarabangsa Singapura (SITCE) 2016 disaksikan oleh Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Encik Ng Chee Meng.
Di bawah uji pandu itu, ERI@N akan memasang dua bas sedia ada dengan sensor pintar dan membangunkan sensor pandu sendiri yang boleh membantu kenderaan mengemudi keadaan jalan raya dan iklim tempatan Singapura.
Jalan antara NTU dan Taman Cleantech dikenal pasti bagi uji pandu itu bnuat permulaan, dengan rancangan mungkin melanjutkannya ke stesen MRT Pioneer.
Projek ini memperluaskan lagi uji pandu kenderaan autonomi di Singapura. Pada Ogos, LTA menandatangani usahasama dengan dua syarikat, Delphi dan nuTonomy, untuk menguji teknologi kereta tanpa pemandu di daerah perniagaan one-north.