Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bekalan pertama vaksin Covid-19 tiba

Vaksin dibawa pesawat kargo Boeing 747-400 SIA dari Brussels dan bekalan vaksin pertama Pfizer-BioNTech dihantar ke negara Asia
Dec 22, 2020 | 05:30 AM



BEKALAN pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech selamat tiba di Singapura semalam, perkembangan penting dalam usaha negara pulih daripada pandemik koronavirus.



Vaksin tersebut dibawa SQ7979 pesawat kargo Boeing 747-400 Singapore Airlines (SIA) dari Brussels, Belgium yang mendarat di Lapangan Terbang Changi sekitar 7.30 malam.



Ini merupakan bekalan vaksin Pfizer-BioNTech yang pertama dihantar ke sebuah negara di Asia, menurut SIA dalam kenyataannya.



Menurut SIA, bekalan vaksin itu yang perlu disimpan dalam kotak sejuk khas, diberi keutamaan semasa diangkut ke dalam pesawat di Brussels dan ketika dipunggah keluar setibanya di Changi.



Ia kemudian dipindahkan ke pusat simpanan rantaian-sejuk SATS Coolport, untuk disimpan, sebelum diedarkan.



Menteri Pengangkutan, Encik Ong Ye Kung, yang berada di Lapangan Terbang Changi semalam untuk menyaksikan ketibaan vaksin itu, berkata:



"Kita bersedia melaksanakan perkara ini dan banyak persiapan telah dilakukan untuk memastikan ia berlangsung selancar yang termampu."



Naib Presiden Kanan Kargo SIA, Encik Chin Yau Seng, pula berkata:



"Penghantaran kumpulan vaksin Covid- 19 yang pertama ini ke Singapura merupakan satu detik penting dalam perjuangan menentang Covid-19, dan kami berbesar hati dapat memainkan peranan dalam usaha ini.



"Ia juga menunjukkan kesediaan SIA dan hab udara Singapura bagi tugas penting untuk mengangkut dan mengagihkan vaksin Covid-19 di peringkat antarabangsa."



SIA berkata pihaknya telah menjalankan satu percubaan penghantaran vaksin yang berjaya Sabtu lalu menggunakan laluan penerbangan kargo yang sama.



Selain memastikan kotak sejuk atau thermal shippers, dihantar dengan lancar dan selamat, suhu dalam setiap kotak juga dipantau secara aktif dari mula hingga akhir perjalanan. Ini termasuk memantau kadar ais kering bertukar menjadi karbon dioksida dalam kotak tersebut.



Vaksin Pfizer-BioNTech itu adalah yang pertama diluluskan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Singapura ialah antara negara pertama untuk mendapatkan vaksin ini.



Ia telah digunakan di Britain, Canada dan Amerika Syarikat.



Beberapa vaksin lain dijangka tiba di sini dalam beberapa bulan lagi, sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong minggu lalu.



Vaksin Covid-19 akan ditawarkan percuma dan secara sukarela kepada semua warga dan penduduk jangka panjang di sini.



Singapura telah merancang mengadakan vaksin mencukupi bagi semua orang di Singapura pada suku ketiga tahun depan.



Ia juga telah memperkukuh keupayaanmenyimpan dan mengangkut vaksin Covid-19 dan sedang bersedia menjadi hab bagi pengedaran vaksin ke rantau ini.



Bekalan vaksin dari Eropah dijangka melalui Singapura ke Asia Tenggara dan Pasifik Barat Daya apabila persetujuan bagi undang-undang lebih luas diperolehi.



Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) juga telah menubuhkan pasukan bertindak bagi proses pengangkutan vaksin, yang dianggotai 18 anggota dari sektor kargo udara, termasuk SIA, Sats dan dnata.



Encik Ong berkata penyedia khidmat logistisk seperti DHL, UPS dan FedEx telah menggunakan pelbagai sumber atau menempatkan ibu pejabat serantau mereka di Singapura.



"Kakitangan kami, syarikat logistik kami semua telah dilatih mengikut piawaian WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) untuk mengendalikan semua kargo ini dengan selamat.



"Dari segi kapasiti, kami mempunyai kapasiti besar yang lebih daripada mencukupi untuk menguruskan kargo yang dikawal suhu," kata beliau.



DHL Global Forwarding, anak syarikat syarikat logistik DHL telah mengatur pengambilan vaksin Pfizer-BioNTech dari tapak pembuatan di Puurs, Belgium, di mana kargo itu diiringi pasukan keselamatan di jalan raya dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brussels.



DHL juga mengendalikan pelepasan kastam dan penghantaran vaksin ke lokasi yang ditetapkan di Singapura.



Bercakap kepada media semasa mengadakan lawatan ke Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) semalam, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata Singapura yakin "secara senyap" boleh memanfaatkan keupayaan logistik yang dibina saban tahun untuk memain peranan dalam pengagihan vaksin sedunia, terutama di rantau ini.




"Penyedia khidmat bersepadu kami, seperti DHL, UPS, FedEx, telah menggunakan pelbagai sumber atau menempatkan ibu pejabat serantau mereka di Singapura. Kakitangan kami, syarikat logistik kami semua telah dilatih mengikut piawaian WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) untuk mengendalikan semua kargo ini dengan selamat. Dari segi kapasiti, kami mempunyai kapasiti besar yang lebih daripada mencukupi untuk menguruskan kargo yang dikawal suhu."
- Menteri Pengangkutan, Encik Ong Ye Kung.



Laporan lain:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >