Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Belah langit berbekal lesen Sijil Juruterbang Rekreasi dari Australia

Jan 09, 2023 | 05:30 AM



LULUSAN Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Encik Mohamed Hanafi Mohamed Akbar, kini bekerja sambilan sebagai barista di Starbucks sambil menunggu untuk meneruskan pengajiannya.



Namun, penggemar kopi itu sebenarnya menanam cita-cita tinggi melangit untuk menjadi juruterbang.



Baru-baru ini, Encik Hanafi, 18 tahun, melangkah setapak lebih dekat kepada impiannya itu apabila beliau dan abangnya, Encik Mohamed Harith Mohamed Akhbar, 20 tahun, meraih lesen Sijil Juruterbang Rekreasi di Australia.



Impian Encik Hanafi untuk terbang di angkasa mula berputik dari kecil lagi apabila datuknya, Encik Mohamed Rashid Buang, yang kini berusia 67 tahun dan bekerja di pelabuhan, sering membawa beliau dan adik-beradiknya ke Lapangan Terbang Changi untuk menjenguk-jenguk pesawat.



"Sejak kami kecil lagi, datuk selalu bawa kami ke lapangan terbang untuk melihat-lihat kapal terbang.



"Dari situlah saya berminat untuk terbang," ujar Encik Hanafi, yang meraih Nitec dalam bidang teknologi aeroangkasa daripada ITE College Central tahun lalu.



Beliau menyertai kursus di sekolah penerbangan swasta Aeroviation Singapore sejak belajar di menengah tiga. Sekolah itu menawarkan program pengenalan penerbangan untuk kanak-kanak seawal tujuh tahun.



Kursus Sijil Juruterbang Rekreasi pula menelan kos lebih $16,650 termasuk kos latihan di Singapura dan Australia, tiket penerbangan, pengangkutan, visa dan insurans. Ia tidak termasuk kos makanan dan perbelanjaan peribadi.



Di bawah fasa pertama kursus sijil itu, Encik Hanafi mengikuti latihan teori serta latihan simulasi penerbangan di Aeroviation yang terletak di Ubi.



Bagi fasa kedua pula, beliau menghabiskan sekitar tiga minggu untuk menjalani latihan penerbangan sebenar di Akademi Juruterbang Rekreasi di Adelaide, Australia.



Untuk meraih lesen Sijil Juruterbang Rekreasi itu, beliau harus terbang 15 jam bersama jurulatih, dan lima jam secara solo.



"Apabila saya berpeluang membuat penerbangan solo, perasaan saya bercampur-baur. Takut ada, ghairah pun ada.



"Saya pun gembira kerana impian datuk saya untuk melihat cucunya membawa kapal terbang akhirnya menjadi nyata," ujar Encik Hanafi.



Datuk dan neneknya juga telah menemani beliau dan abangnya di Australia untuk meraikan kejayaan mereka meraih sijil itu baru-baru ini.



Sijil Juruterbang Rekreasi membolehkan juruterbang terbang dalam jarak 25 batu nautika dari lapangan terbang yang digunakan untuk berlepas, dengan berat berlepas maksimum 600 kilogram dan membawa seorang penumpang.



Jarak penerbangan 25 batu nautika adalah sekitar jarak di antara Lapangan Terbang Changi dengan Lapangan Terbang Senai di Johor Bahru, Malaysia.



Sijil itu merupakan lesen tahap permulaan yang boleh digunakan untuk meraih lesen tahap lebih tinggi seperti lesen juruterbang rekreasi, lesen juruterbang privet dan lesen juruterbang komersial.



Encik Hanafi sebenarnya merancang untuk meraih lesen Sijil Juruterbang Rekreasi itu pada 2020 tetapi rancangan tersebut terpaksa ditangguhkan dek pandemik Covid-19.



Beliau bercita-cita mahu menjadi juruterbang komersial pada masa depan.



Buat masa ini, bekas pelajar Sekolah Menengah Spektra itu sedang menunggu untuk menyambung pelajarannya pada peringkat Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Mekanik.



Abangnya pula kini sedang menyambung pengajiannya pada peringkat Nitec Lanjutan dalam bidang sama, dan sebelum ini juga telah meraih Nitec teknologi aeroangkasa daripada ITE College Central.



Sedang beliau kini mempunyai lesen mengemudi kapal terbang, Encik Hanafi tidak mempunyai lesen memandu dan merancang mendapatkan lesen motosikal dahulu.



Pada 2020, akhbar ini melaporkan seorang pelajar ITE, Cik Haazeqah Nur Atikah Abdullah, telah meraih sijil juruterbang rekreasi daripada Aeroviation pada usia 17 tahun waktu itu.




"Sejak kami kecil lagi, datuk selalu bawa kami ke lapangan terbang untuk melihat-lihat kapal terbang. Dari situlah saya berminat untuk terbang.
Apabila saya berpeluang membuat penerbangan solo, perasaan saya bercampur-baur. Takut ada, ghairah pun ada. Saya pun gembira kerana impian datuk saya untuk melihat cucunya membawa kapal terbang akhirnya menjadi nyata."
- Encik Mohamed Hanafi Mohamed Akbar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >