Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Belanjawan persiap ekonomi, tampung perbelanjaan negara masa depan

Heng: Cukai disusun agar lebih adil dan progresif, termasuk menaikkan kadar GST kepada 9% dari 2021 hingga 2025
Feb 20, 2018 | 05:30 AM



CUKAI barangan dan perkhidmatan (GST) akan dinaikkan kepada 9 peratus dari 7 peratus dan dilaksanakan dari 2021 hingga 2025.



Kenaikan itu perlu bagi menampung perbelanjaan penjagaan kesihatan, keselamatan dan prasarana yang dijangka terus meningkat.



Ini diumumkan Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat, dalam Belanjawan 2018 yang dibentangkan di Parlimen semalam bagi meletakkan asas-asas bagi pembangunan negara ini bagi dekad mendatang.



"Perbelanjaan dalam banyak bidang akan meningkat terutama penjagaan kesihatan, prasarana dan keselamatan. Bagi memenuhi keperluan itu, kita perlu merancang dan membuat persediaan lebih awal. Kita perlu cermat dari segi perbelanjaan, berjimat dan tingkatkan pendapatan dengan cara adil dan progresif.



"Ini akan memastikan masa hadapan belanjawan yang mampan dan terjamin,'' ujar Encik Heng.



Beliau menambah bahawa "cara yang bertanggungjawab" bagi menampung perbelanjaan berulang itu ialah melalui pembayaran cukai agar setiap generasi membayar perkongsian mereka dan tidak membebankan generasi masa hadapan.



Tempoh bila GST itu akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan ekonomi, berapa banyak perbelanjaan akan meningkat dan kedudukan cukai sedia ada, tetapi beliau jangkakan ia akan dilaksanakan lebih awal dalam tempoh itu.



Dengan kenaikan kadar GST itu, ia akan memberi pendapatan hampir 0.7 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) setahun.



Bagi menampung kos kenaikan GST bagi keluarga, skim Baucar GST (GSTV) Tetap akan ditingkatkan bagi memberi lebih banyak bantuan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah dan warga emas.



Tahun ini, tokokan $2 bilion diperuntukkan bagi dana GSTV bagi menyokong pembayaran itu.



Satu pakej bagi mengimbangi kenaikan itu akan membantu rakyat Singapura menampung kenaikan GST, dengan keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan menerima lebih banyak sokongan.



Pada masa sama, pemerintah akan terus menyerap GST bagi penjagaan kesihatan dan pendidikan yang mendapat subsidi awam.



Bagi menjadikan sistem cukai lebih adil dan kukuh dalam ekonomi digital, GST bagi khidmat diimport dari luar negara akan juga dilaksanakan dari 1 Januari 2020.



Ini bermakna khidmat digital yang diperolehi dari luar negara seperti khidmat penstriman filem dan muzik dan aplikasi bimbit akan dikenakan GST.



Beralih kepada sokongan keluarga yang lain, Encik Heng berkata usaha berterusan secara kolektif akan dilaksanakan demi memupuk sebuah masyarakat yang prihatin dan bersepadu.



Rangkaian sokongan bagi warga emas akan diluaskan untuk membantu mereka meniti usia senja dalam masyarakat dengan baik.



Keluarga yang membeli flat penjualan semula untuk tinggal sebumbung dengan ibu bapa atau anak mereka akan menerima geran perumahan lebih tinggi.



Dalam sudut ekonomi, Encik Heng berkata Belanjawan tahun ini akan menjadikan inovasi lebih meluas dalam ekonomi selain meningkatkan keupayaan bagi firma dan pekerja.



Sebagai contoh, geran meningkatkan daya penghasilan yang baru diperkenalkan, yang memberi sokongan pembiayaan sehingga 70 peratus bagi melaksanakan huraian teknologi yang diluluskan.



"Belanjawan ini merupakan pelan kewangan strategik dan bersepadu bagi meletakkan Singapura bagi masa hadapan.



"Ia merupakan cara bagi kita mencapai aspirasi rakyat dan melakarkan peta laluan bagi kita mencapai visi bagi Singapura,'' terang beliau.



Walaupun laluan itu tidak mudah disebabkan perubahan teknologi, demografik dan ekonomi sejagat, Encik Heng berkata rakyat Singapura pernah melalui cabaran lebih sukar di masa lampau dan dapat mengharunginya dengan menyatukan rakyat.



"Bersama, kita dapat manfaatkan sumber dan melakar laluan, berusaha bersama demi menjadikan aspirasi hari ini satu realiti di masa hadapan,'' tambah Encik Heng.



* Artikel ini telah disemak bagi menambah ketepatannya.



Laporan penuh Belanjawan 2018:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >