Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Belia prihatin soal kerja, wang dan kesejahteraan mental

Dengar podcast #NoTapis tentang kebimbangan belia mengenai peluang kerja dan skim perintis, The Career Starter Lab, yang bakal dilancar NTUC
Jul 14, 2023 | 05:30 AM



Tempoh Perkhidmatan Negara (NS) yang sedang dijalaninya akan tamat sekitar dua bulan lagi. Ini membuat Encik Muhammad Aqmal Mohamad Haris, 22 tahun, gelisah memikirkan sama ada beliau berupaya mendapat pekerjaan sesuai nanti.

Beliau bimbang jika majikan mahukan pekerja yang berpengalaman sedangkan beliau, sebagai anak muda, kurang pengalaman pekerjaan.

Seorang lagi belia, Tengku Darwiis, 25 tahun sudah bekerja sebagai pengurus sukan.

Namun, beliau prihatin akan belia yang tidak tahu apa mereka inginkan tetapi terpaksa mencari pekerjaan selepas tamat pengajian, dan kemudian tidak menyukai pekerjaan yang mereka lakukan.

Mereka adalah antara belia yang berkongsi kebimbangan berhubung soal mencari pekerjaan dan menyesuaikan diri dengan kehidupan bekerja selepas tamat pengajian melalui podcast Berita Harian, #NoTapis, yang dihoskan Penolong Editor Berita, Cik Shahida Sarhid.

Mendengar luahan Tengku Darwiis dan Encik Muhammad Aqmal, tetamu undangan di sesi podcast #NoTapis itu, Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Desmond Tan, berkata bahawa kebimbangan mereka turut dikongsi belia lain menerusi sesi-sesi dialog dan acara mendekati belia anjuran NTUC. 

Kata Encik Tan:

“Para belia seperti Tengku dan Encik Muhammad Aqmal benar-benar prihatin tentang isu mencari pekerjaan. Ia satu langkah besar buat mereka. Antara soalan yang mereka fikirkan ialah apa yang harus dilakukan selepas tamat pengajian? Bagaimanakah pengetahuan dan pengalaman mereka boleh dimanfaatkan dan sektor mana yang harus mereka ceburi? 

“Antara keprihatinan utama belia ialah bukan soal mereka boleh mempelajari tentang pekerjaan itu tetapi apakah pekerjaan sesuai untuk mereka dan bagaimana mereka boleh mendapat pekerjaan yang mereka suka? 

“Ini kerana mereka bukan setakat hendak mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan bahkan mereka juga mahu mempunyai tujuan tatkala bekerja.”

Bagi memahami keperluan, kemahuan dan cabaran para belia, NTUC telah menubuhkan pasukan petugas pada Julai 2022 untuk mendekati sekitar 10,000 belia menerusi sesi dialog dan acara mendekati belia.

Menurut anggota NTUC Muda, Cik Nur Akidah Ramad, 30-an tahun, ada tiga isu utama yang menjadi keprihatinan golongan belia menerusi sesi dialog dan penglibatan NTUC bersama mereka.

Tiga isu itu ialah peluang pekerjaan, kewangan dan kesejahteraan mental. 

Sependapat mengenai tiga isu itu, Encik Muhammad Aqmal berkata:

“Ya, saya fikir tentang kenaikan pangkat dan bagaimana saya boleh kecapinya; dari segi kewangan, saya fikirkan tentang peri pentingnya mempunyai pendapatan stabil jika saya ingin memulakan keluarga atau membeli rumah sendiri; dan di tempat kerja saya, kesihatan mental diberi keutamaan.”

Mengulas tentang tiga isu itu, Encik Tan berkata:

“Tiga keprihatinan utama itu – peluang pekerjaan, kewangan dan kesejahteraan mental – melambangkan keprihatinan anak muda yang akan beralih dari alam sekolah dan perkhidmatan negara ke tempat kerja. 

“Mereka bukan setakat mahu mencari pekerjaan, malah mahu pekerjaan yang menawarkan mereka peluang untuk berkembang, memberi kewangan mencukupi supaya mereka boleh berdikari dan mempunyai keseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan.”

Menurutnya lagi, setiap generasi mempunyai aspirasi sendiri dan anak muda di Singapura hari ini lebih berpendidikan dan mempunyai prospek lebih baik.

“Jadi, mereka ingin tahu bagaimana mereka boleh menyumbang dengan lebih baik kepada ekonomi serta masyarakat dan bersedia bekerja keras,” ujarnya.

Dengan semangat pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, Encik Tan berkata NTUC telah menubuhkan satu skim percubaan yang akan membolehkan anak muda mencuba satu pekerjaan sementara mereka mendapat bimbingan daripada seorang mentor untuk menyokong pekerja lebih muda dengan lebih baik.

Dipanggil The Career Starter Lab (Makmal Permulaan Kerjaya), ia berfungsi seperti percubaan pekerjaan dan akan menyokong lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti, termasuk mereka yang telah tamat NS, tatkala mereka beralih kepada kehidupan bekerja.

Para lulusan akan dipadankan dengan syarikat sesuai.

Mereka akan menjalani program latihan sambil bekerja selama tiga bulan dengan seorang mentor. 

Menurut Encik Tan, NTUC akan bekerjasama dengan Persekutuan Majikan Nasional Singapura (Snef) yang akan menyediakan mentor di tempat kerja bagi program latihan amali dan bimbingan.

NTUC juga mempunyai senarai 100 syarikat yang akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi membantu anak muda yang baru tamat NS. 

Mengulas tentang keunikan The Career Start Lab berbanding program latihan amali lain, Encik Tan menjelaskan antara lain pekerja latihan amali akan dipadankan dengan seorang mentor yang akan membimbing dan memberi mereka pendedahan tentang pekerjaan mereka. 

Pihak NTUC pula akan menyokong majikan yang mengambil pekerja latihan amali itu sebagai pekerja tetap dengan menawarkan dana dan insentif. 

Di samping itu, NTUC juga baru sahaja melancarkan satu keahlian baru – NTUC Starter Membership bagi membantu belia memasuki alam pekerjaan.

Harga keanggotaan ialah $36 setiap tahun bagi belia yang berusia antara 18 dengan 25 tahun.

Cik Nur Akidah menambah bahawa daya usaha sebegini akan memberikan pengalaman latihan amali yang bermutu kepada belia selain mendapatkan pengalaman pekerjaan yang relevan, beralih kepada kehidupan pekerjaan dengan lebih mudah dan mendedahkan mereka kepada kemajuan kerjaya.

“Di NTUC, kami percaya setiap pekerja penting dan kami mahu memastikan bahawa di Singapura, kita mempunyai pekerjaan baik dan bermutu supaya anak muda kita sedar bahawa mereka mempunyai peluang mengejar aspirasi kerjaya mereka,” kata Encik Tan. 

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perincian mengenai NTUC Starter Membership, anda boleh ke laman https://starter.ntuc.org.sg/home

Layari laman podcast #NoTapis menerusi Spotify atau laman beritaharian.sg/podcast untuk ketahui lanjut tentang perbincangan mengenai peluang pekerjaan bagi belia.  




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >