Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Berbasikal demi kumpul dana buat kajian penyakit barah

Didorong apabila kedua-dua orang tua, mertua dan isteri hidap barah
Feb 10, 2023 | 05:30 AM



SATU per satu orang tersayangnya dihimpit ujian penyakit barah.



Bukan sahaja kedua-dua orang tuanya, malah ibu bapa mertuanya juga menghidap penyakit tersebut yang akhirnya meragut nyawa mereka.



Kini, isterinya, Cik Sarida Sannie, 57 tahun, pula sedang berjuang melawan barah buah dada yang melanda buat kali kedua dua tahun lalu.



Melihat satu per satu anggota keluarganya menanggung derita barah, Encik Hasan Malik Abdul Quddoos, 60 tahun, cukup kenal kesan penyakit tersebut ke atas diri pesakit.



Inilah yang telah menggerakkan hatinya untuk menyertai usaha mengumpul derma bagi kajian dan meningkatkan kesedaran mengenai barah melalui kempen CanCycle 2023.



Daya usaha anjuran Pusat Penyelidikan Barah Universiti Nasional Singapura (N2CR), Institut Barah Universiti Nasional, Singapura (NCIS) dan Institut Sains Barah (CSI) Singapura itu menyasarkan matlamat mengumpul $100,000.



Encik Hasan Malik, yang merupakan antara peserta kempen tersebut, sudah berbasikal lebih 300 kilometer sejauh ini dan berjaya mengumpul derma lebih $7,500, jumlah yang melepasi sasaran awalnya iaitu $1,000.



Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Hasan Malik, seorang penasihat guaman, meluahkan kesyukuran atas sifat murah hati yang ditonjolkan orang di sekelilingnya terhadap usaha tersebut.



Berkongsi apa yang mendorongnya menyertai usaha tersebut, Encik Hasan Malik berkata:



"Sepertimana isteri saya telah meraih manfaat daripada penyelidikan (mengenai barah) dahulu, ia merupakan tanggungjawab saya mengumpul dana bagi penyelidikan yang boleh memberi manfaat kepada pesakit masa depan."



Bapa tiga anak yang juga gemar berbasikal itu akur usaha penyelidikan memakan masa, justeru harapannya adalah satu hari nanti kajian bukan sahaja dapat menghasilkan rawatan lebih berkesan malah menemui penawarnya.



Beliau telah menyaksikan bagaimana rawatan seperti kemoterapi amat menjejas mutu kehidupan pesakit barah.



"Jika penyelidikan boleh menghasilkan terapi atau rawatan lebih berkesan dan kurang membebankan pesakit, ia akan memberi manfaat terhadap rawatan bagi pesakit barah pada masa depan," tambahnya.



Isterinya, Cik Sarida pula berkata:



"Menerusi CanCycle, saya mempunyai harapan bahawa akan terdapat lebih banyak pilihan rawatan barah pada masa depan.



"Sebagai seorang pesakit, saya cuba memberi tumpuan kepada perkara positif dan bersatu demi menyokong masyarakat, yang pastinya satu usaha penting."



Sejauh ini, kempen tersebut telah menjana lebih $45,000.



Lebih 90 peserta telah mengambil bahagian dan secara keseluruhannya telah berbasikal sejauh lebih 9,000 kilometer sejak daya usaha itu dilancarkan pada 27 Disember 2022.



Semua hasil kutipan akan disalurkan ke CSI Singapura, NCIS dan Dana Penyelidikan Barah N2CR bagi tujuan penyelidikan penyakit itu bagi menyelamatkan nyawa.



Ia diharap dapat turut menyokong kemajuan teknologi dan rawatan berkesan dengan kesan sampingan yang berkurangan.



Mereka yang berminat menyumbang kepada usaha itu boleh berbuat demikian menerusi laman web, cancycle.sg.



Usaha mengumpul dana itu akan berakhir esok.




"Sepertimana isteri saya telah meraih manfaat daripada penyelidikan (mengenai barah) dahulu, ia merupakan tanggungjawab saya mengumpul dana bagi penyelidikan yang boleh memberi manfaat kepada pesakit masa depan."
- Encik Hasan Malik Abdul Qudoos, peserta kempen CanCycle 2023.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >