Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

JALAN tak sekadar melangkah kaki

BERSAMA SUHAIMI MOHSEN

Feb 19, 2023 | 01:02 AM



MEMPERINGATI peristiwa Israk dan Mikraj pada 27 Rejab (bersamaan 18 Februari tahun ini) adalah mengenai perjalanan Nabi pada malam hari (israk) dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin, (seperti dijelaskan dalam ayat pertama surah Al-Isra'), dan mikraj (naik) ke sidratul muntaha, antara lain menerima perintah mewajibkan fardu solat lima waktu.



Dari sudut bahasa, perjalanan adalah daripada kata dasar jalan - gerakan langkah kaki.



Namun, perjalanan israk dan mikraj Nabi adalah dengan mengendera haiwan yang disebut buraq yang bergerak pantas (sejajar dengan makna kilat).



Jalan boleh jadi kata perbuatan (seperti jalan kaki), dan boleh jadi kata nama seperti nama jalan.



Perbendahraan bahasa Melayu memperlihatkan penggunaan jalan dalam pelbagai konteks.



Antara makna JALAN



Satu daripada makna jalan ialah tempat lalu lintas bagi kededua manusia dan kenderaan - terjemahan mudah ke bahasa Inggeris ialah road. Ada jalan bertar, jalan berbatu, jalan tanah dan sebagainya. Misalnya, jalan raya di kawasan bandar semua umumnya bertar, tetapi di kawasan kampung masih banyak jalan tanah dan becak semasa hujan.



Jalan juga menunjukkan pergerakan manusia, kenderaan dan barangan. Misalnya, Ahmad menjaga kesihatan dengan berjalan pantas setiap pagi mengelilingi trak stadium; kereta lama jalan tidak selaju kereta baru; jarum jam berjalan secara automatik atau menggunakan bateri.



Dalam konteks lain, jalan menggambarkan usaha, ikhtiar atau akal. Misalnya, para pemimpin mencari jalan bagaimana mengatasi kekurangan bekalan air; pasangan itu mencari jalan bagaimana mengatasi masalah hutang; peniaga mencari jalan bagaimana meningkatkan penjualannya.



Dalam konteks lain, jalan adalah mengenai perkembangan peristiwa. Misalnya jalan cerita dalam novel itu begitu mengasyikkan; jalan cerita filem itu adalah berdasarkan kisah sebenar.



Dalam satu lagi konteks, jalan menggambarkan kaedah. Misalnya, sekumpulan pemimpin mengambil alih kuasa menerusi jalan belakang (tidak mengikut undang-undang atau peraturan).



Apabila JALAN berganding



Perkataan jalan, apabila digandingkan dengan perkataan lain, menggambarkan keadaan yang berlainan.



Jalan buntu misalnya menggambarkan keadaan jalan yang tidak bersambung atau jalan mati. Misalnya di Kampung Melayu dahulu ada sebatang jalan bernama Jalan Buntu, sejajar dengan keadaan jalan itu - jalan mati yang tidak bersambung dengan jalan lain.



Jalan buntu juga boleh menggambarkan putus ikhtiar atau keadaan yang tidak terhurai. Misalnya, usaha menyelamatkan rumahtangga pasangan itu menemui jalan buntu.



Jalan raya pula menggambarkan keadaan jalan yang besar, biasanya bertar dan dilalui banyak kenderaan.



Jalan besar dan jalan kecil menggambarkan saiz jalan.



Jalan susur ialah jalan kecil bagi kenderaan keluar daripada jalan raya utama untuk ke kawasan tertentu seperti kawasan perindustrian, perumahan dan kawasan persinggahan.



Jalan keluar ialah jalan tempat keluar, dan boleh juga menggambarkan huraian.



Misalnya ramai pemimpin cuba mencarikan jalan keluar dalam peperangan di Ukraine. Jalan fikiran yang rasional menyatakan bahawa tidak ada jalan keluar dalam persengketaan itu kecuali bersetuju untuk ke meja rundingan.



Pemimpin lain yang membantu mencarikan jalan damai pula harus tahu mencari jalan tengah - membuat keputusan dengan menimbangkan pendapat pendapat dan hujah yang berbeza.



Tumpang jalan pula ada ungkapan beradab meminta izin melintas di depan orang tua atau orang sedang berbual, sementara potong jalan ialah mendahului atau mengambil peluang orang lain.



Boleh jalan bermakna boleh bergerak sementara jalan dah cakap pasar bermakna tidak peduli atau tidak kisah.



Namun, jalan juga sudah termaktub dalam lanskap kota Singapura berbilang bangsa... terpampang di banyak jalanan, iaitu nama jalan yang menggambarkan kerencaman bangsa Singapura.



Jadi, bila lapang, boleh jalan-jalan...



Peribahasa JALAN



Banyak peribahasa dan ungkapan berkaitan jalan dalam perbendaharaan bahasa kita.



Antara yang biasa didengar ialah di mana ada kemahuan di situ ada jalan ialah ungkapan menggambarkan jalan keluar akan dapat ditemui dalam sesuatu permasalahan selagi ada usaha sungguh-sungguh untuk menyelesaikannya.



Hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya memberi gambaran hampir serupa: bermakna selagi ada kemahuan, tentu ada jalan.



Segan/malu bertanya sesat jalan bermakna kalau segan/tidak mahu berusaha sukar akan beroleh kemajuan. (Peribahasa lain dengan makna serupa: Malu bertanya sesat di jalan, malu berdayung, perahu hanyut; malu makan, perut lapar).



Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal bermakna kalau tidak mencapai kata sepakat dalam sesuatu perundingan, hendaklah diselidiki semula pokok persoalannya.



Kasih bapa sepanjang jalan, kasih anak sepanjang penggal menggambarkan kasih anak kepada bapa tidak seimbang dengan kasih bapa kepada anak.



Biarlah terjual nyawa, jangan terjual nama adalah ungkapan mengenai sikap tidak takut mati jika di jalan yang benar.



Ungkapan jambatan emas bermakna jalan mencapai bahagia; satu pintu kalau tertutup, sepuluh pintu lagi terbuka bermakna sesuatu perkara yang tidak dapat dirahsiakan lagi; dan boleh juga bermakna pelbagai macam jalan dan usaha mencari rezeki.



Makan keringat orang bermakna mengecap kesenangan dengan jalan memeras orang lain.



Laksana layang-layang salah teraju pula menggambarkan anak muda yang menurut jalan yang salah.



Macam kepiting jalan adalah gambaran orang yang berjalan miring.



Jalan raya titian batu pula adalah mengenai adat atau aturan yang belum berubah.



Terdapat beberapa lagi peribahasa berkaitan jalan yang jarang didengar.



Antaranya: jalan mati lagi dicuba, inikan pula jalan binasa bermakna orang yang berani dan tidak memilih perbuatannya.



Menggali paya menimbun bukit bermakna membantu orang kaya dengan jalan menganiaya orang miskin.



Patah kandar (gandar) di tengah jalan bermakna mendapat kemalangan dalam usaha atau pekerjaan terhalang kerana kematian.



Bagai rumput di tengah jalan, mati segan hidup tak mahu menggambarkan kehidupan yang melarat dan miskin.



Takut mengikut jalan tak beretas bermakna takut melakukan pekerjaan yang belum pernah diperbuat orang.



Adat sepanjang jalan, cupak sepanjang betung (buluh besar) pula bermakna segala perbuatan ada adat dan peraturannya masing-masing; sementara alur bertempuh, jalan berturut bermakna dilakukan menurut adat yang biasa.



Siapa mengaku berak di tengah jalan bermakna orang yang bersalah biasanya tidak mahu mengakui kesalahannya; sementara seperti orang berak di tengah jalan bermakna terlalu pemalu.



Ya sepanjang hari, janji sepanjang jalan menggambarkan keadaan mudah berjanji, tetapi sukar menepatinya.



Seperti aur ditarik songsang pula menggambarkan pekerjaan atau perkara yang sukar diselesaikan kerana sudah salah jalan.



Beberapa istilah JALAN



Jalan pantas bermakna berjalan dengan pantas, sementara jalan pintas ialah jalan terdekat.



Jalan sesat ialah tidak mengikut jalan yang betul atau menyimpang, sementara sesat jalan bermakna tersesat atau tersalah jalan; dan salah jalan bermakna tersilap jalan.



Separuh jalan bermakna sekerat jalan (atau tidak melakukan sesuatu pekerjaan sehingga selesai)



Simpang jalan ialah cabang jalan; meronda ialah berjalan berkeliling kerana berkawal.



Jalan tengah ialah keputusan atau pendapat yang diambil antara dua (atau beberapa) pendapat yang berbeza sementara tengah jalan boleh bermakna sedang berjalan dan boleh juga bermakna berada di tengah jalan (seperti kereta rosak di tengah jalan).



Penunjuk jalan pula ialah mualim atau orang yang menunjukkan jalan; juga bermakna tanda panah menunjukkan jalan.



Sudah jalan bermakna sudah pergi (dalam bahasa pasar, ia juga boleh bermakna sudah mati).




Pantun klasik JALAN



Terdapat senarai pantun klasik berkaitan jalan. Antaranya:



Kiri jalan kanan jalan,

Di tengah ada pohon mengkudu;

Kirim jangan pesan pun jangan,

Sama-sama menanggung rindu.



Buah langsat di Kota Medan,

Dibawa orang dari Belawan;

Kalau sesat di hujung jalan,

Surut ke pangkal jalan.



Buah kuini di dalam timba,

Hendak dibawa ke rumah Cik Kasa;

Jalan mati lagi dicuba,

Inikan pula jalan biasa.



Pokok duku di hujung jalan,

Patah ditimpa si dahan sena;

Sesal dahulu memang pendapatan,

Sesal kemudian haram tak guna.



Sayang merpati di pohon jati,

Jalan menuju rumah Cik Akub;

Kalau tak sampai hajat di hati,

Biarku bujang seumur hidup .



Pandang-pandang kanan dan kiri,

Melintas jalan berkira-kira;

Kurang ringgit boleh dicari,

Kurang akal habis bicara.




Apabila JALAN berimbuhan



Berjalan-jalan pula bermakna bersiar-siar, sama ada berjalan kaki atau menaiki kenderaan. Ia juga boleh bermakna bercuti atau 'makan angin'.



Apabila dibubuh imbuhan, jalan menggambarkan pelbagai keadaan.



Berjalan menggambarkan perbuatan kaki bergerak - seperti berjalan lima kilometer ke tempat kerja dan pulang setiap hari.



Kenderaan yang mengiringi jenazah itu berjalan perlahan-lahan (bermakna bergerak).



Mesyuarat berjalan dengan agak tegang dan mengambil masa (bermakna berlangsung) untuk menghuraikan banyak isu yang telah lama tertunggak.



Berjalan-jalan pula bermakna bersiar-siar, sama ada berjalan kaki atau menaiki kenderaan. Ia juga boleh bermakna bercuti atau makan angin.



Menjalani pula bermakna mengikuti atau melalui program tertentu. Misalnya, umumnya remaja lelaki warga Singapura perlu menjalani Perkhidmatan Negara (NS) apabila mencecah usia 18 tahun.



Menjalankan pula bermakna melakukan, menggerakkan atau mengusahakan sesuatu. Misalnya, Azmi menjalankan perniagaan yang dirintis bapanya dengan membuat pelbagai perubahan sesuai dengan keadaan sezaman; pegawai polis itu menjalankan tugasnya mengawal lalu lintas dengan penuh tekun, walau panas matahari begitu menggigit.



Perjalanan pula menggambarkan keadaan yang dilalui, boleh jadi perjalanan hidup - misalnya perjalanan hidup keluarga Lahuma dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan penuh dengan onak duri; perjalanan ke tempat kerja yang biasanya mengambil masa setengah jam menjadi dua jam akibat kesesakan selepas berlaku kemalangan melibatkan beberapa kenderaan.



Setelah 20 tahun berkhidmat, ketua syarikat bersara dan diganti oleh pemimpin baru yang bertanggungjawab meneruskan perjalanan syarikat dan mengembangkannya.



Ia juga boleh menggambarkan aliran, misalnya perjalanan air di sungai itu kembali deras setelah sampah sarah yang menyekatnya dibersihkan.



Pejalan ialah orang yang berjalan - para pejalan kaki diingatkan supaya berhati-hati kerana permukaan jalan yang licin selepas hujan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >