Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bohong di Parlimen: Raeesah didenda $35,000; panel saran rujuk Pritam bagi siasatan lanjut

Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen turut syor rujuk Faisal Manap kepada pihak pendakwa raya
Feb 11, 2022 | 05:30 AM



SEBUAH jawatankuasa Parlimen menyarankan agar mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Cik Raeesah Khan, didenda $35,000 kerana berbohong dalam Parlimen dan melanggar hak istimewa sebagai AP.



Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh dan naib pengerusi WP, Encik Faisal Manap, juga disaran dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi menimbangkan sama ada prosiding jenayah patut dimulakan terhadap mereka, menurut laporan Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) Parlimen semalam.



Ini disebabkan kelakuan Encik Pritam semasa berdepan dengan jawatankuasa itu dan keengganan Encik Faisal menjawab soalan ketika dikemukakan jawatankuasa tersebut.



Saranan itu terkandung dalam satu laporan yang dikeluarkan semalam berikutan beberapa siri perbicaraan yang diadakan sejak Disember tahun lalu bagi meneliti tindak laku Cik Raeesah selepas beliau mengaku berbohong di Parlimen.



Jawatankuasa itu dipengerusikan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, dan enam lagi AP Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan AP Hougang, Encik Dennis Tan, dari WP.



Dalam laporan itu, COP menyatakan ia mendapati Cik Raeesah bersalah kerana menyalahgunakan hak istimewanya kerana berbohong di Parlimen pada 3 Ogos dan mengulanginya lagi pada 4 Oktober tahun lalu.



Cik Raeesah berkata beliau menemani seorang mangsa serangan seksual ke balai polis, dan 'mangsa' dikatakan menangis akibat soalan tidak sensitif polis.



Tetapi kemudian, mantan AP GRC Sengkang itu mengaku bahawa beliau mendengar anekdot itu dalam kumpulan sokongan.



Beliau meletak jawatan sebagai AP pada 30 November lalu.



Akibat kesalahannya itu, jawatankuasa itu menyarankan beliau didenda $25,000 kerana berbohong di Parlimen pada 3 Ogos.



Di atas pembohongan yang diulangi pada 4 Oktober lalu, jawatankuasa itu menyarankan denda tambahan $10,000.



"Jawatankuasa itu menganggap Cik Raeesah bertindak tanpa menghiraukan maruah dan ketertiban Dewan dalam membuat dakwaan serius terhadap polis di Parlimen, yang tidak benar dalam beberapa bahagian dan tidak berasas,'' ujar laporan itu.



Dari 8 Ogos pula, laporan itu menyatakan Cik Raeesah bertindak di bawah bimbingan tiga pemimpin kanan WP bagi 'mengekalkan pembohongan itu'. Pemimpin itu merujuk kepada Encik Pritam, Encik Faisal dan pengerusi WP, Cik Sylvia Lim.



Pada 3 Oktober, ia menyatakan Cik Raeesah terus dibimbing Encik Pritam agar terus berbohong.



COP mengusulkan agar Encik Pritam dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi siasatan selanjutnya jika prosiding jenayah harus dimulakan disebabkan tindakannya terhadap jawatankuasa itu.



Encik Faisal juga akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi siasatan lanjut kerana keengganannya menjawab soalan 'yang berkaitan' dan juga ditimbangkan sama ada prosiding jenayah harus dimulakan.



COP tidak menyarankan sebarang tindakan terhadap Cik Lim kerana kesediaannya memberikan bukti secara sukarela.



Nota tulisan tangannya mengenai prosiding tatatertib WP, yang diserahkannya kepada jawatankuasa semasa memberi keterangan pada 13 Disember, membantu menetapkan 'kedudukan yang agak jelas', kata COP.



Laporan itu menyatakan COP akan menimbangkan sekatan terhadap peranan Encik Pritam, Cik Lim dan Encik Faisal dalam pembohongan Cik Raeesah, serta pembohongan yang diceritakan oleh Cik Lim dan Encik Faisal kepada jawatankuasa semasa di bawah sumpah atau ikrar semasa siasatan jawatankuasa itu.



Tetapi, laporan itu menyatakan ia akan dilakukan selepas tamatnya prosiding jenayah terhadap Encik Pritam oleh pendakwa raya.



"Jawatankuasa memandang serius AP yang menyalahgunakan hak istimewa di Dewan. Setelah meneliti dan menyemak semua bukti dan bertindak di bawah Akta Parlimen (Hak Istimewa, Imuniti dan Kuasa), jawatankuasa menyarankan denda dan lain-lain saranan sejajar dengan kesalahan dan kelakuan tidak wajar itu,'' kata Encik Tan, selaku pengerusi COP.



Mengulas mengenai laporan COP itu, Encik Pritam menyatakan beliau akan menjawab di Parlimen apabila laporan itu dibahaskan yang dijangkakan pada minggu depan.



"Jika Parlimen menerima saranan jawatankuasa, masih terdapat beberapa perkara yang tidak diketahui. Ini termasuk keputusan akhir Pendakwa Raya untuk mendakwa, masa campur tangan sebelum perkara itu dibicarakan, keputusan akhir dan apa-apa hukuman yang dijatuhkan dan prospek kedua-dua Faisal dan saya kehilangan kerusi Parlimen kami dan meletakkan jawatan sebagai AP jika salah seorang daripada kami didenda $2,000 atau lebih,'' kata Encik Pritam, semalam.



Cik Raeesah tidak memberikan komen ketika diminta mengulas mengenai laporan itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >